Panduan Temu Duga Kerja: Tips & Soalan Yang Selalu Ditanya

Selain daripada menyediakan resume atau cover letter, pemohon kerja juga perlu bersedia dengan tips dan soalan yang dijangka ditanya di dalam sesi temu duga jika dipanggil.

Temu duga ialah sesi tanya dan jawab yang dilakukan antara majikan dan pemohon kerja.

Sesi temu duga kerja merupakan proses yang lazimnya dilakukan oleh para majikan sebelum mengambil seseorang bekerja di dalam sesebuah syarikat, agensi, jabatan, atau sebagainya.

Di samping itu, temu duga adalah biasanya merupakan proses terakhir yang perlu dilakukan sebelum majikan membuat keputusan untuk mengambil seorang pekerja.

Oleh itu, adalah penting untuk seseorang pemohon memberikan prestasi yang baik dalam temu duga mereka untuk melayakkan mereka mendapat pekerjaan tersebut.

Tips Temu Duga

Persediaan dan panduan temu duga terbahagi kepada 3 perkara iaitu persediaan sebelum, semasa, dan selepas temu duga.

i) Sebelum Temu Duga

  • Buat kajian dan maklumat mengenai jawatan yang dipohon.
  • Pastikan berpakaian sesuai dan memberikan imej yang baik yang dapat menarik minat penemuduga.
  • Rancang perjalanan dan datang lebih awal iaitu selewat-lewatnya 10-15 minit sebelum temu duga.
  • Pastikan segala portfolio dan dokumen telah disediakan.

ii) Semasa Temu Duga

  • Berikan ucapan salam atau selamat (mengikut waktu temu duga) sewaktu di panggil masuk ke bilik temu duga.
  • Duduk dengan betul dan tertib.
  • Fokus dan jaga perhatian (eye contact) kepada perkataan yang ditanya.
  • Tunjukkan keyakinan diri semasa menjawab soalan dan elakkan menjawab dengan jawapan yang berulang-ulang dan meleret-leret.
  • Minta penemuduga untuk mengulang soalan yang ditanyakan sekiranya soalan tidak jelas. Gunakan perkataan “minta maaf boleh ulang soalan” atau “maaf saya kurang jelas dengan soalan tuan.”
  • Gunakan nada suara yang betul.
  • Berikan jawapan yang ringkas dan umum sekiranya soalan-soalan yang bersifat politik dan kepartian.

iii) Selepas Temu Duga

  • Ucapkan terima kasih dan salam selepas berakhir sesi temu duga.
  • Berdoa semoga permohonan kerja tersebut berjaya diperolehi.

Soalan Temu Duga

Untuk pengetahuan pemohon kerja, terdapat beberapa soalan lazim yang sering ditanya di dalam sesi temu duga iaitu:

1) Ceritakan serba sedikit tentang diri anda

Jika pemohon kerja ditanya mengenai perkara ini, ceritakan tentang diri secara ringkas dan kaitkan 3 perkara ini dengan permohonan kerja yang dipohon iaitu:

  • Pencapaian
  • Bakat istimewa
  • Keunikan anda

2) Kenapa ingin bekerja di sini?

Untuk menjawab soalan ini, pemohon kerja perlu mengambil tahu juga serba sedikit tentang syarikat, jawatan dan skop kerja yang dimohon.

3) Apakah peranan anda di tempat kerja terdahulu?

Bagi soalan ini, pemohon kerja perlu menghuraikan tanggungjawab anda dalam jawatan yang lalu dan secara spesifik dan positif.

Berikan juga pencapaian (jika ada) yang telah diperoleh dan diterima semasa bekerja di tempat terdahulu.

4) Apakah yang dilakukan semasa menganggur?

Pemohon perlu menjawab dengan jujur masa yang dimanfaatkan seperti melakukan aktiviti pengembaraan, membantu ibu ayah, atau melakukan kerja separuh masa dan lain-lain.

Penemu duga ingin melihat komitmen dan penggunaan masa oleh penemu duga ketika mereka menganggur.

5) Mengapa pemohon perlu dilantik untuk jawatan ini?

Pemohon perlu menyatakan kelebihan dan pengalaman mereka sekiranya mereka dipilih untuk dilantik ke jawatan ini.

Jika kurang pengalaman, yakinkan panel bahawa mahu belajar dan melakukan yang terbaik sekiranya diberi peluang memegang jawatan tersebut.

6) Apakah jangkaan gaji sekiranya dilantik?

Pemohon perlu membuat research mengenai tengok gaji dan jawatan yang dipohon sebelum datang ke tempat temu duga.

Jangkaan gaji yang terbaik adalah tidak terlalu rendah dan tidak terlalu tinggi.

7) Contoh keadaan mencabar dan cara mengatasinya

Jika soalan ini ditanya, pemohon perlu memberikan situasi yang pernah dihadapi serta cara menangani masalah tersebut.

Jawapan yang diberikan perlulah logik dan rasional yang dapat meyakinkan para penemu duga.

8) Kenapa ingin berpindah tempat kerja

Jawapan yang sesuai untuk dijawab jika soalan ini ditanya adalah untuk mencari peluang pekerjaan yang lebih baik serta menimba pengalaman baharu di tempat kerja baharu.

9) Di manakah anda lihat diri anda dalam tempoh masa 5 tahun?

Beritahu mengenai cita-cita dan impian anda di syarikat tersebut dalam masa 5 tahun lagi.

Penemu duga ingin melihat pemohon mempunyai cita-cita yang tinggi dan mahu memajukan diri mereka di syarikat tersebut.

10) Bagaimanakah menangani situasi tekanan atau stress dalam pekerjaan?

Pilih jawapan yang menunjukkan bahawa pemohon dapat menangani situasi tekanan secara produktif dan positif.

Jadikan tekanan sebagai sesuatu yang positif untuk mempelajari sesuatu perkara dengan lebih lagi.

Kongsikan juga tips menangani stress yang diamalkan (jika ada) seperti mengambil nafas yang dalam selama 10 saat dan sebagainya.

Info Lanjut

Untuk info lebih lanjut mengenai tips dan soalan temu duga, sila tonton video di pautan: https://www.youtube.com/watch?v=xOrgiHakYnw.

SHARE DI WHATSAPP ATAU MEDIA SOSIAL:

Sertai Komuniti Kami

Dapatkan UPDATE terkini lebih pantas terus ke emel anda!