Subsidi Ayam Tamat Bermula November Ini

Kerajaan hari ini telah mengumumkan penamatan subsidi ayam bermula 1 November 2023 iaitu Rabu ini.

Meskipun begitu, kerajaan memberi jaminan bahawa penjualan ayam akan berada di bawah harga siling selepas kawalan dan subsidi ditamatkan sepenuhnya.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata penamatan subsidi ayam secara pukal ini adalah untuk mengurangkan ketirisan subsidi yang turut dinikmati oleh warga asing dan golongan berpendapatan tinggi.

subsidi ayam

Pada masa yang sama, Mohamad berkata subsidi dan kawalan harga bagi telur ayam gred A, B dan C akan diteruskan mengikut mekanisme sedia ada bagi mengelakkan kenaikan harga.

“Kalau ditarik subsidi itu..harga telur dijangka akan naik lebih kurang 10 sen, maka akan berlaku (kenaikan sebab) bila beli telur bukan sebiji, tetapi sepapan dan lebih kurang RM3 (kenaikan jika sepapan),” katanya.

Tambah beliau lagi, penamatan subsidi ayam bakal mengambil kira situasi serta trend semasa bekalan serta harga ladang dan kos pengeluaran ayam sudah mulai stabil.

“Ia (penamatan subsidi ayam) adalah selaras dengan pendekatan penyasaran semula subsidi secara berfasa yang dilaksanakan kerajaan,” katanya dalam sidang media penamatan kawalan harga dan subsidi ayam di sini hari ini.

Beliau berkata kerajaan telah pun mengeluarkan subsidi keseluruhan sebanyak RM 3.8 bilion bagi menampung kos ayam dan telur sehingga Februari tahun ini.

subsidi ayam

Mansuh Subsidi Ayam, Kerajaan Akan Pantau Orang Tengah

Mohamad Sabu juga berkata kerajaan akan terus bekerjasama dengan semua pihak bagi memastikan status bekalan serta harga ayam di ladang berada dalam keadaan yang stabil dan yang lebih penting tidak membebankan rakyat.

“Di samping itu, melalui sesi libat urus bersama pemain industri pada 22 Okt 2023, kerajaan telah mendapatkan komitmen daripada pihak industri supaya harga ayam di ladang yang dikeluarkan tidak mencatatkan kenaikan yang ketara sehingga membebankan pengguna,” tambah beliau.

Bagi memastikan tiada aktiviti pengambilan untung secara berlebihan dan manipulasi harga oleh peniaga yang tak bertanggungjawab di peringkat runcit, Mohamad berkata Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup akan melaksanakan pemantauan dan penguatkuasaan melalui Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

“Kerajaan akan terus memberi tumpuan untuk memperkasa industri penternakan ayam melalui bantuan insentif dari segi pembiayaan dana pusingan kepada penternak bersaiz kecil dan sederhana dan skim mikro kredit sebagai bantuan modal pusingan kepada penternak komuniti serta program transformasi reban ayam terbuka kepada reban ayam tertutup.

“Langkah ini akan memberi peningkatan dari segi akses bekalan secara terus daripada penternak komuniti kepada pemborong di pasaran,” katanya.

Untuk rekod, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Belanjawan 2024 telah mengumumkan pengapungan harga telur dan ayam setelah mendapati trend semasa menunjukkan bekalan kedua-dua sumber makanan itu kini stabil.

Anwar berkata pelaksanaan ini membolehkan pasaran tempatan dapat berfungsi semula dengan bebas bagi memastikan keterjaminan bekalan ayam dan telur di pasaran.

Sumber : Bernama, Utusan Malaysia

SHARE DI WHATSAPP ATAU MEDIA SOSIAL:

Sertai Komuniti Kami

Dapatkan UPDATE terkini lebih pantas terus ke emel anda!