Insentif Awal Penjawat Awam 2024 (Belanjawan 2024)

Insentif Awal Penjawat Awam 2024 (Bonus Penjawat Awam Dalam Belanjawan 2024)

Pastinya ramai yang menunggu-nunggu pengumuman mengenai kenaikan gaji bagi penjawat awam dalam pembentangan Belanjawan 2024.

Hal ini terjadi kerana sebelum ini media terlebih dahulu telah melaporkan bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pernah mengumumkan bahawa kerajaan akan menaikkan gaji penjawat awam dalam jumlah yang kecil buat sementara waktu sebelum kenaikan berkala bagi setiap 10 tahun diselesaikan selewat-lewatnya tahun depan.

Beliau turut memberitahu bahawa kenaikan gaji bagi penjawat awam sepatutnya telah dinaikkan sejak dua tahun lalu, namun ia tidak dilaksanakan oleh kerajaan sebelum ini.

Untuk rekod, kali terakhir kadar gaji penjawat awam dinaikkan adalah pada 2013 iaitu 10 tahun lalu.

Ketika itu, ia turut melibatkan faedah pemindahan gaji semua penjawat awam sebanyak satu kenaikan gaji tahunan (KGT) mulai 1 Julai 2013 dengan kenaikan antara RM 80 hingga RM 320.

Menurut Anwar, kerajaan sewajarnya bersedia untuk menaikkan gaji penjawat awam dengan perlaksanaan kenaikan kadar gaji 8 peratus bagi gred 40 dan ke bawah dan 5 peratus bagi gred 41 hingga gred 54.

Kadar minimum kenaikan kadar gaji yang ditetapkan adalah sebanyak RM200. Perubahan kadar gaji ini juga akan turut melibatkan penyelarasan pencen pesara yang akan menikmati pencen bulanan yang lebih baik.

Berikut dikongsikan dengan lebih lanjut maklumat terkini mengenai isu ini yang telah dibahaskan dalam Belanjawan 2024.

Belanjawan 2024 : Insentif Awal Penjawat Awam 2024

Insentif Awal Penjawat Awam 2024

Penjawat awam yang tergolong dalam gred 56 dan ke bawah termasuk lantikan kontrak bakal terima Bayaran Insentif Awal sebanyak RM 2,000 pada akhir Februari 2024.

Pada masa yang sama, kerajaan Madani turut mengumumkan pemberian insentif sebanyak RM 1,000 kepada pesara kerajaan termasuk veteran berpencen serta veteran tidak berpencen.

Kerajaan juga bersetuju untuk memberikan Bayaran Insentif Awal Kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) kepada penjawat awam dan pesara ini sementara menunggu Kajian SSPA yang dijangka dimuktamadkan pada penghujung tahun hadapan.

Insentif Awal Penjawat Awam 2024

Tarikh Bayaran Insentif Penjawat Awam 2024

Untuk makluman, bayaran insentif ini akan dilaksanakan pada akhir Februari 2024 bagi meringankan beban para penjawat awam dalam menghadapi persediaan sekolah anak-anak dan perayaan menjelang bulan Ramadan dan Syawal.

Cadangan Kenaikan Gaji Oleh CUEPACS

Menyentuh isu ini, CUEPACS atau Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam telah mengutarakan cadangan kepada kerajaan untuk menaikkan gaji penjawat awam sebanyak RM 300, bonus minimum satu bulan setengah yang kali terakhir diterima pada 2012 dan selepas itu hanya diberikan bantuan khas kewangan.

Diskaun sekurang-kurangnya 30 peratus bagi pembayaran cukai pendapatan kepada semua penjawat awam dan meningkatkan jumlah pengiraan pencen kepada jumlah tahun perkhidmatan hingga 35 tahun bagi memaksimumkan pencen bakal diterima penjawat awam.

Cuepacs menyifatkan ia antara permohonan sangat wajar bagi membantu penjawat awam menghadapi peningkatan kos sara hidup semasa.

Pada masa yang sama, CUEPACS turut menyifatkan pemberian insentif sebanyak RM 2,000 oleh kerajaan bagi semua penjawat awam gred 56 dan ke bawah sebagai langkah yang terbaik.

Presiden Cuepacs, Datuk Dr Adnan Mat berkata, ia insentif terbaik seumpamanya sepanjang tempoh 10 tahun yang lalu kerana sebelum ini bayaran insentif di sekitar RM500 atau RM600 dan paling tinggi RM700.

Diharap supaya Belanjawan Madani 2024 dapat menjadi titik peristiwa penting bagi mengiktiraf sumbangan serta menyantuni harapan semua penjawat awam dengan menyediakan buah tangan sewajarnya.

Ini juga penting sebagai satu bentuk suntikan motivasi dan semangat agar mereka dapat terus memberikan perkhidmatan yang terbaik buat kerajaan dan rakyat Malaysia.

Sumber : Harian Metro, Berita Harian

Baca Juga : Sumbangan Asas Rahmah 2024 (SARA) – Bantuan Tambahan STR

SHARE DI WHATSAPP ATAU MEDIA SOSIAL:

Sertai Komuniti Kami

Dapatkan UPDATE terkini lebih pantas terus ke emel anda!