Cukai Vape 2023 Berkuatkuasa 1 April Ini

Bermula 1 April 2023, kerajaan telah menguatkuasakan cukai ke atas penjualan cecair vape untuk rokok elektronik (e-rokok) pada kadar 40 sen setiap mililiter (ml).

Perlaksanaan cukai ini diumumkan menerusi notis warta Kerajaan Persekutuan yang dikeluarkan semalam oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Berdasarkan notis warta tersebut, duti baharu itu berkuat kuasa berikutan bermulanya Perintah Duti Eksais (Pindaan) 2023.

Datuk Seri Anwar yang juga merupakan Menteri Kewangan menyatakan dalam Belanjawan 2023 bahawa duti eksais ini mampu menjana sehingga RM 2 billion berikutan penggunaan vape yang meluas di seluruh negara.

Tambah beliau lagi, perlaksanaan duti ini adalah langkah untuk membendung penggunaan rokok elektronik itu.

cukai vape 2023

Sementara itu, Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa menyatakan nikotin termasuk tembakau, tampalan dan gula-gula getah, cecair dan gel nikotin kini dikecualikan daripada Akta Racun 1952.

Pengecualian itu terpakai ke atas tampalan dan gula-gula getah nikotin yang didaftarkan di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.

Sebelum ini, nikotin (dengan pengecualian kepada tembakau) diklasifikasikan sebagai racun Kumpulan C dan hanya boleh dijual oleh doktor dan ahli farmasi.

Berdasarkan pengecualian ini, sediaan cecai atau gel yang mengandungi nikotin untuk tujuan merokok menggunakan rokok elektronik atau peranti pengewapan elektronik kini adalah suatu barangan berduti eksais dan dikawal di bawah Akta Eksais 1976 (Akta 176).

“Akta Eksais 1976 memperuntukkan kawalan antaranya dengan melesenkan aktiviti pengilangan dan penggudangan yang melibatkan sediaan ini. Mana-mana orang yang mengilang barangan berduti eksais tanpa lesen boleh dikenakan tindakan undang-undang,” ulas Dr Zaliha.

cukai vape 2023

KKM Akan Bentangkan RUU Baharu Susulan Pengenalan Cukai Vape 2023

Bagi memastikan terdapat kawalan menyeluruh terhadap cecair vape, KKM bakal membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) baharu yang akan mengawal selia perkara tersebut.

Jelas beliau, KKM bercadang untuk membentangkan RUU baharu tersebut pada Mesyuarat Kedua, Penggal Kedua, Parlimen Kelima Belas yang dijangka akan berlangsung pada bulan Mei 2023.

“KKM telah menjalankan sesi libat urus berkenaan dasar yang telah ditetapkan di bawah RUU baharu ini termasuk peruntukan Generasi Penamat Rokok kepada semua pihak berkepentingan seperti ahli Parlimen, badan bukan kerajaan, badan profesional dan pihak lain yang berkaitan,” katanya.

Tambah Zaliha, KKM akan mempergiatkan kempen advokasi kesedaran bahaya merokok termasuk penggunaan rokok elektronik atau vape melalui Pelan Generational Endgame Anti Rokok (Gegar).

“Ia adalah dengan meneruskan pelaksanaan program pencegahan merokok dan intervensi berhenti merokok di sekolah dan institusi pengajian tinggi melalui kerjasama bersama Kementerian Pendidikan, Kementerian Pengajian Tinggi, Yayasan Sukarelawan Siswazah, Majlis Belia Malaysia dan badan-badan bukan kerajaan yang berkaitan,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Zaliha turut menjamin bahawa Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 akan tetap diteruskan.

SHARE DI WHATSAPP ATAU MEDIA SOSIAL:

Sertai Komuniti Kami

Dapatkan UPDATE terkini lebih pantas terus ke emel anda!