Menu Rahmah : Hidangan Seimbang Dengan Harga Mampu Milik
Menu Rahmah
Program Menu Rahmah telah dilancarkan pada 31 Januari 2023 sambil menyasarkan keperluan makanan harian bagi golongan berpendapatan rendah.
Pelancaran program ini telah disempurnakan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan kos sara hidup Datuk Seri Salahuddin Ayub di Subang Jaya, Selangor.
Ikuti perkongsian kami untuk ketahui mengenai program ini secara lebih lanjut.
Baca Juga : Semakan STR 2023 Kemaskini Bantuan Tunai Rahmah
Apa Itu Menu Rahmah?
Menu Rahmah ialah hidangan tengah hari atau malam yang seimbang dan lengkap dengan karbohidrat daripada nasi, sumber protein seperti ayam atau ikan dan sayuran.
Menu ini ditawarkan pada harga yang cukup berpatutan iaitu RM 5.00 sepinggan.
Program pemakanan yang diperkenalkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) ini dilancarkan bagi mengurangkan kos sara hidup rakyat.
Memetik dari Bernama, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata orang ramai kini boleh menikmati makanan tengah hari dan malam masing-masing pada harga RM 5.00 di hampir 15,000 premis makanan di seluruh negara melalui Program Menu Rahmah.
Untuk makluman, program ini adalah kerjasama antara kerajaan dengan pemain industri makanan dan minuman iaitu :
- Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (PRESMA),
- Persatuan Pengusaha Restoran India Malaysia (PRIMAS),
- Persatuan Pengusaha Tomyam Malaysia,
- Malaysia Singapore Coffee Shop Proprietors General Association (MCSPGA),
- Bumiputra Retailers Organization (BRO),
- Malaysia Retail Chain Association (MRCA), dan
- Malaysia Retailers Association (MRA).
Untuk makluman, Menu Rahmah merupakan salah satu daripada Inisiatif Payung Rahmah iaitu 5 program pelan jangka pendek bagi membantu golongan rentan di Malaysia.
5 program utama yang diperkenalkan dalam inisiatif ini adalah :
- Jualan Rahmah
- Pakej Rahmah
- Kafe Rahmah
- Bakul Rahmah
- Menu Rahmah
Lokasi Menu Rahmah Di Mydin dan Serata Negeri
Mydin Malaysia merupakan pusat membeli-belah pertama yang membawakan Menu Rahmah untuk semua pelanggan.
Dengan harga serendah RM 4.90, pelanggan berpeluang untuk nikmati hidangan lengkap buat santapan tengah hari atau malam. Lazat, seimbang dan menjimatkan!
Set Menu Rahmah yang ditawarkan di Mydin adalah seperti berikut :
Isnin : Nasi putih + ayam masak kicap + kacang panjang goreng + air minuman 500 ml
Selasa : Nasi putih + ikan kembung goreng + tauge masak lemak + air minuman 500 ml
Rabu : Nasi putih + ayam goreng kunyit + bayam goreng + air minuman 500 ml
Khamis : Nasi putih + sambal ikan + kubis goreng + air minuman 500 ml
Jumaat : Nasi putih + kari ayam + tauge goreng + air minuman 500 ml
Sabtu : Nasi putih + ikan masak kicap + kangkung goreng belacan + air minuman 500 ml
Ahad : Nasi putih + ayam sambal + kubis goreng + air minuman 500 ml
Bukan sahaja Mydin, malah sejak Menu Rahmah diperkenalkan, banyak restoran serta cawangan yang mula menawarkan menu dengan harga rendah.
Menerusi tinjauan di laman sosial, didapati beberapa restoran sudah mula mengajak orang ramai untuk nikmati Menu Rahmah di premis mereka.
Berdasarkan perkongsian daripada Facebook Datuk Seri Salahuddin Ayub, beberapa jenama terkemuka seperti Chatime dan Mios Kitchen juga turut mengambil bahagian dalam menawarkan menu khas dengan harga berpatutan.
Di samping itu, sekitar 4,000 restoran di bawah Koperasi Pengusaha Restoran India Malaysia (PRIMAS) difahamkan turut terlibat dalam program ini. Senarai penuh premis yang terlibat akan dimaklumkan oleh KPDN dalam waktu terdekat ini.
Maklumat Lanjut
Untuk ketahui perkembangan serta maklumat terkini mengenai program ini, sila ikuti laman Facebook rasmi KPDN.