I-lindung KWSP : Coverage Dan Cara Permohonan

Terkini, permohonan i-lindung KWSP kini boleh dibuat secara online. Kumpulan Wang Simpanan Pekerja telah melancarkan platform i-Lindung di bawah Pelan Perlindungan Ahli untuk membolehkan ahli membeli produk insurans dan takaful menggunakan Akaun 2.

Pengerusi KWSP, Tan Sri Ahmad Badri Mohd. Zahir berkata, penawaran perlindungan yang disediakan adalah daripada harga serendah RM30 setahun, bagi perlindungan berjumlah RM10,000

“Ini bersamaan dengan bayaran kurang RM3 sebulan.” Katanya dalam siding akhbar selepas majlis pelancaran yang disempurnakan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz di sini.

Pembelian perlindungan menerusi platform i-Lindung tidak memerlukan pemeriksaan perubatan selain menyediakan sebut harga serta-merta

Untuk cara permohonan dan apakah  pelan perlindungan yang terdapat pada pelan terbaru KWSP ini boleh boleh lihat seperti maklumat dibawah

Apa Itu I-lindung KWSP

i-Lindung adalah sebuah platform layan diri di dalam i-Akaun (Ahli) yang digunakan untuk tujuan pembelian produk perlindungan di bawah Pelan Perlindungan Ahli (PPA). Melalui PPA, ahli dibenarkan membeli produk insurans/ takaful daripada Syarikat Insurans & Takaful (SIT) yang diluluskan oleh KWSP. Ini adalah untuk menyediakan pilihan kepada ahli dalam mendapatkan perlindungan bagi membantu ahli berdepan dengan tempoh sukar atau kejadian yang tidak diingini pada masa hadapan.

Syarat Kelayakan

i-lindung kwsp
  • Warganegara malaysia
  • Pengguna i-akaun (ahli)
  • Mempunyai baki simpanan di dalam Akaun KWSP

Jenis Perlindungan yang ditawarkan

Buat masa ini, terdapat dua pelan yang ditaswarkan oleh KWSP kepada ahli-ahlinya iaitu ;

  • Perlindungan Hayat
  • Perlindungan Penyakit Kritikal

Ciri-Ciri Utama i-lindung

i lindung kwsp
  • Proses yang lancer -cara yang mudah untuk mendapatkan perlindungan tanpa keperluan pemeriksaan kesihatan
  • Sebut harga serta-merta -dapatkan sebut harga bagi setiap produk yang ditawarkan secara dalam talian
  • Paparan keseluruhan -memaparkan maklumat berkaitan polisi/sijil yang dibeli secara keseluruhan
  • Bila-bila masa dan di mana sahaja -kelebihan untuk mendapatkan produk pada bila-bila masa dan di mana jua

Cara Permohonan

  • Log masuk ke i-Akaun (Ahli) >
  • klik pada tab i-Lindung >
  • pilih produk yang ditawarkan oleh SIT >
  • Lengkapkan maklumat di portal SIT >
  •  Kebenaran untuk potongan dari Akaun KWSP >
  •  Penerimaan penyata maklumat dari SIT.

Maklumat Lanjut

Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan dan maklumat lanjut mengenai I lindung KWSP layari website https://www.kwsp.gov.my/

Soalan Lazim (F.A.Q)

Apakah itu i-Lindung?

i-Lindung adalah platform layan diri di dalam i-Akaun (Ahli) untuk memberi kemudahan bagi pembelian produk perlindungan di bawah Pelan Perlindungan Ahli yang membenarkan ahli untuk melakukan pengeluaran dari Akaun 2 bagi membeli produk insurans dan menyertai produk takaful dari syarikat insurans dan pengendali takaful yang diluluskan oleh KWSP.

Apakah kelayakan untuk membeli produk di bawah i-Lindung?

  1. Mempunyai baki yang mencukupi di dalam Akaun 2;
  2. Warganegara Malaysia; dan
  3. Pengguna i-Akaun (Ahli).

Jika saya berumur 55 tahun dan ke atas, adakah saya layak untuk membeli produk di bawah i-Lindung?

Ya, anda layak membeli produk di bawah i-Lindung selagi anda mempunyai minima RM100 di dalam Akaun 55 dan/atau Akaun Emas, berdasarkan syarat lingkungan had umur penyertaan bagi produk yang ditawarkan oleh Syarikat Insurans dan Pengendali Takaful (“SIT”).

Bolehkah saya membeli produk di bawah i-Lindung dengan ejen insurans/takaful?

Tidak, pembelian produk di bawah i-Lindung hanya boleh dibuat secara dalam talian melalui i-Akaun (Ahli).

Bolehkah saya membeli produk insurans jika saya pemegang akaun Simpanan Shariah?

Tiada halangan untuk membeli jika anda adalah pemegang akaun Simpanan Shariah. Walau bagaimanapun, ahli beragama islam amat disarankan untuk menyertai produk takaful kerana Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam telah memutuskan bahawa insurans konvensional adalah suatu muamalah yang tidak patuh syariah (haram).

Apakah jenis perlindungan yang ditawarkan di bawah i-Lindung?

Perlindungan yang ditawarkan di bawah i-Lindung terdiri daripada perlindungan hayat dan penyakit kritikal.

Apakah tempoh perlindungan bagi produk yang ditawarkan di bawah i-Lindung?

Buat masa ini, perlindungan yang ditawarkan adalah selama 1 tahun

Adakah terdapat nilai tunai/elemen simpanan untuk produk yang ditawarkan di bawah i-Lindung?

Tidak, produk yang ditawarkan hanya terhad kepada perlindungan asas.

Bagaimanakah jumlah premium/sumbangan ditentukan untuk produk yang ditawarkan di bawah i-Lindung?

Premium/sumbangan adalah bergantung kepada SIT dan produk yang dipilih. Faktor-faktor yang akan menentukan harga adalah tertakluk kepada umur (umur pada hari jadi berikutnya/umur pada hari jadi terakhir bergantung pada SIT), jantina, status perokok (jika ada) dan jumlah perlindungan yang dipilih semasa permohonan.

Bolehkah saya membeli produk yang ditawarkan di bawah i-Lindung untuk pasangan dan anak-anak saya?

Buat masa ini, ahli hanya boleh membeli untuk diri sendiri sahaja.

Adakah saya perlu menjalani pemeriksaan perubatan atau kesihatan untuk membeli produk di bawah i-Lindung?

Tidak, anda tidak perlu menjalani pemeriksaan perubatan atau kesihatan. Namun, anda perlu menjawab beberapa soalan kesihatan (pengunderaitan) yang disediakan oleh SIT, jika perlu.

Adakah produk yang ditawarkan di bawah i-Lindung layak menikmati pelepasan cukai?

Ya, premium/sumbangan yang ditolak daripada Akaun KWSP anda layak mendapat pelepasan cukai, seperti yang ditetapkan di dalam peraturan cukai Malaysia semasa dan tertakluk kepada kelulusan Lembaga Hasil Dalam Negeri.

Bolehkah produk yang bukan dibawah i-Lindung digunakan untuk menyambung bayaran premium/sumbangan bagi polisi/sijil yang sedia ada?

Tidak, pengeluaran melalui Akaun KWSP hanya boleh digunakan untuk membeli produk di bawah i-Lindung.

Apakah langkah untuk menyempurnakan transaksi melalui i-Lindung?

Log masuk ke i-Akaun (Ahli) > klik pada tab i-Lindung > pilih produk yang ditawarkan oleh SIT > lengkapkan maklumat di portal SIT > kebenaran untuk potongan dari Akaun KWSP > penerimaan penyata maklumat dari SIT.

Bilakah perlindungan bagi polisi/sijil saya bermula?

Perlindungan akan bermula pada hari polisi/sijil anda telah dikeluarkan oleh SIT. Polisi/sijil anda akan dihantar melalui e-mel oleh SIT dan juga boleh didapati dalam Pelan Perlindungan Saya di bawah i-Lindung.

Bilakah pembayaran akan dibuat kepada SIT?

Setelah permohonan diluluskan, pembayaran kepada SIT tidak akan dilakukan serta-merta dan mungkin memakan masa beberapa hari. Walau bagaimanapun, status polisi/sijil anda akan kekal aktif kecuali pembayaran ditolak. Sekiranya pembayaran ditolak, polisi/sijil yang dibeli akan dibatalkan oleh SIT.

Anda dinasihatkan untuk menyemak status permohonan pembayaran anda di bahagian Sejarah Transaksi di i-Lindung untuk memastikan tiada komplikasi terhadap status polisi/sijil anda.

Bolehkah saya membatalkan polisi/sijil setelah melakukan pembelian?

Anda boleh membatalkan polisi/sijil anda pada bila-bila masa melalui SIT berkenaan. Sekiranya anda membatalkan polisi/sijil anda dalam tempoh 15 hari yang pertama selepas perlindungan bermula, SIT akan memulangkan premium/sumbangan yang telah dibayar. Walau bagaimanapun, sekiranya anda memilih untuk membatalkan polisi/sijil anda selepas 15 hari, SIT akan mengembalikan bahagian yang belum digunakan, tertakluk kepada pengiraan yang ditentukan oleh SIT.

Sila ambil perhatian bahawa anda tidak lagi mendapat perlindungan setelah pembatalan dilakukan. Anda dinasihatkan untuk mempertimbangkan dengan teliti adakah pembatalan perlindungan adalah keputusan yang terbaik untuk anda.

Untuk maklumat lebih lanjut, anda boleh menghubungi khidmat pelanggan SIT tersebut atau merujuk pada dokumen polisi/sijil anda. Selain itu, anda juga boleh merujuk di bahagian Pelan Perlindungan Saya di bawah i-Lindung.

Berapa lamakah masa diambil untuk memaparkan jumlah pemulangan didalam Akaun 2 KWSP saya?

Ia akan mengambil masa tujuh (7) hari bekerja setelah SIT meluluskan proses pembatalan polisi/sijil anda dan memaklumkan ke KWSP. Tempoh kelulusan proses pembatalan polisi/sijil adalah berbeza diantara SIT. Untuk maklumat lebih lanjut, anda juga boleh menghubungi khidmat pelanggan SIT berkenaan.

Mengapakah ianya penting untuk membuat penamaan?

Penamaan adalah penting untuk melindung orang yang tersayang dan memastikan mereka menerima manfaat seperti yang anda inginkan tanpa sebarang kelewatan. Tanpa penamaan, manfaat di bawah polisi/sijil akan dibayar oleh SIT kepada pelaksana atau pentadbir anda yang sah untuk mengagihkan wang tersebut mengikut undang-undang pengagihan yang berkaitan. Proses ini mungkin akan memakan masa.

Adalah penting bagi penama mengetahui polisi/sijil yang dibeli oleh anda.

Bolehkah saya melakukan Hibah untuk polisi/sijil yang telah dibeli?

Hibah, yang bermaksud hadiah atau pemberian secara sukarela tanpa balasan, hanya terpakai bagi penamaan di bawah produk takaful. Dengan menamakan orang yang tersayang sebagai benefisiari di bawah hibah bersyarat, manfaat akan dibayar oleh Pengendali Takaful tanpa melalui prosedur pewarisan atau Faraid yang lazimnya memakan masa yang panjang.

Bagaimanakah cara untuk membuat penamaan atau tuntutan bagi polisi/sijil yang telah dibeli?

Anda boleh melakukan penamaan atau tuntutan melalui SIT tersebut. Untuk maklumat lebih lanjut, anda boleh menghubungi khidmat pelanggan SIT tersebut atau merujuk dokumen polisi/sijil anda. Selain itu, anda juga boleh merujuk di bahagian Pelan Perlindungan Saya di bawah i-Lindung.

Apakah yang akan diterima jika tiada tuntutan dibuat sepanjang tempoh polisi/sijil saya?

Produk yang ditawarkan di bawah i-Lindung tidak mempunyai manfaat matang.

SHARE DI WHATSAPP ATAU MEDIA SOSIAL:

Sertai Komuniti Kami

Dapatkan UPDATE terkini lebih pantas terus ke emel anda!