Doa Naik Kenderaan & Adab Bermusafir

Berdoa adalah sebahagian daripada amalan harian umat Islam. Dalam setiap perkara yang kita lakukan, kita meletakkan pengharapan kepada Allah agar segala urusan dipermudahkan dan diberkati.

Islam sangat menggalakkan umatnya untuk bermusafir bagi mengambil pengajaran daripada kejadian alam.

Dalam pada itu, Islam turut mengajar umatnya untuk berdoa terutamanya ketika musafir, sama ada bagi perjalanan yang jauh atau yang dekat. Begitu juga ditekankan untuk berdoa ketika menaiki kenderaan.

doa naik kenderaan

Berdasarkan perkongsian daripada Mufti Wilayah Persekutuan, doa ketika bermusafir dinaskan oleh Allah Taala sendiri di dalam al-Quran dengan firman-Nya:

وَالَّذِي خَلَقَ الْأَزْوَاجَ كُلَّهَا وَجَعَلَ لَكُم مِّنَ الْفُلْكِ وَالْأَنْعَامِ مَا تَرْكَبُونَ (12)  لِتَسْتَوُوا عَلَىٰ ظُهُورِهِ ثُمَّ تَذْكُرُوا نِعْمَةَ رَبِّكُمْ إِذَا اسْتَوَيْتُمْ عَلَيْهِ وَتَقُولُوا سُبْحَانَ الَّذِي سَخَّرَ لَنَا هَٰذَا وَمَا كُنَّا لَهُ مُقْرِنِينَ (13) وَإِنَّا إِلَىٰ رَبِّنَا لَمُنقَلِبُونَ (14)

Maksudnya: Dan (Dia lah) yang menciptakan sekalian makhluk yang berbagai jenisnya; dan Ia mengadakan bagi kamu kapal-kapal dan binatang ternak yang kamu dapat mengenderainya, Supaya kamu duduk tetap di atasnya; kemudian kamu mengingati nikmat Tuhan kamu apabila kamu duduk tetap di atasnya, serta kamu (bersyukur dengan) mengucapkan:” Maha Suci Tuhan yang telah memudahkan kenderaan ini untuk kami, sedang kami sebelum itu tidak terdaya menguasainya -“Dan sesungguhnya kepada Tuhan kamilah, kami akan kembali!”

(Surah al-Zukhruf, 43:12-14)

Ayat ini jelas menunjukkan kekuasaan Allah dalam memudahkan urusan perjalanan kita dan hanya kepada Allah sajalah kita bergantung harap.

Meskipun seseorang itu terlatih untuk mengendalikan sesebuah kenderaan, namun hakikatnya hanya Allah yang menguasai setiap sesuatu dan mampu memberikan kemudahan kepada hamba-Nya.

Hal ini diperkuatkan dengan hadis Nabi SAW yang menyebut suatu amalan apabila keluar daripada rumah.

Daripada Anas bin Malik RA, bahawa sesungguhnya Nabi SAW bersabda: Seorang lelaki (termasuk perempuan) apabila dia keluar daripada rumahnya, lalu dia berkata

بِاسْمِ اللهِ، تَوَكَّلْتُ عَلَى اللهِ، لَا حَوْلَ وَلَا قُوَّةَ إِلَّا بِاللهِ

Maksudnya: “Dengan Nama Allah, aku bertawakkal kepada-Nya, dan tiada daya dan kekuatan melainkan daripada Allah.”

Maka akan dikatakan kepadanya (yakni para malaikat akan mendoakannya): “Sesungguhnya kamu akan diberi hidayah, dicukupkan (keperluan) dan dipelihara (dalam musafir agar selamat sampai dan selamat kembali).” Lalu syaitan-syaitan akan menjauhkan diri daripadanya, sedang syaitan yang lain berkata: “Mana mungkin engkau boleh menghadapi seorang lelaki yang sudah dipandu dengan hidayah, dicukupkan dan dipelihara!”

Justeru, dengan berdoa sebelum menaiki kenderaan, ia akan membawa keberkatan dalam perjalanan dan InsyaAllah keselamatan serta keamanan untuk sampai ke destinasi yang dituju.

Baca Juga : Koleksi Doa Pembuka Majlis & Doa Selamat Ringkas

Doa Naik Kenderaan

Berikut dikongsikan doa naik kenderaan yang anda boleh amalkan sebelum memulakan perjalanan :

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمَـٰنِ الرَّحِيمِ

سُبْحَانَ الَّذِى سَخَّرَ لَنَا هَذَا وَمَا كُنَّا لَهُ مُقْرِنِينَ، وَإِنَّا إِلَى رَبِّنَا لَمُنْقَلِبُونَ.

(al-Zukhruf 13-14)

Maksudnya: “Segala puji bagi Allah, Maha suci tuhan yang telah memudahkan kenderaan ini untuk kami, sedang kami sebelum ini tidak terdaya menguasainya.”

doa naik kenderaan

Supaya tujuan perjalanan kita tertunai, maka bacalah ayat al-Kursi sebagaimana pesanan Rasulullah SAW kepada Saidina Ali,

يا علي: إذا خرجتَ منْ منزلك تريدُ حاجةً فاقْرَأ آية الكرسي، فَإن حاجتك تقضى إن شاء الله تعالى

Yang bermaksud: “Wahai Ali, jika kamu keluar dari rumah untuk hajat yang sangat penting maka bacalah ayat al-Kursi nescaya hajat kamu akan tercapai dengan keizinan Allah swt.

[Dipetik daripada kitab al-Wasoya karangan Muhyiddin Abi Abdullah al-Hatami al-Ta’ie al-Andalusi (Ibnu Arabi)]

Adab Bermusafir

Di samping berdoa sebelum menaiki kenderaan, umat Islam juga digalakkan untuk mengamalkan adab-adab bermusafir iaitu :

  1. Utamakan orang yang lebih memerlukan
  2. Menghormati penumpang lain
  3. Menjaga kebersihan sekeliling
  4. Banyakkan bersabar dan elakkan dari mengeluar kata-kata negatif
  5. Banyakkan berselawat dan berzikir dalam kenderaan
  6. Berdisiplin di jalan raya – patuhi had laju, hormati pemandu lain
  7. Tidak berebut-rebut semasa menaiki kenderaan

Semoga perkongsian doa naik kenderaan ini bermanfaat untuk anda amalkan ketika ingin bermusafir. Selamat beramal!  

Sumber : Mufti Wilayah Persekutuan, Mufti Negeri Sembilan

SHARE DI WHATSAPP ATAU MEDIA SOSIAL:

Sertai Komuniti Kami

Dapatkan UPDATE terkini lebih pantas terus ke emel anda!