15 Cara Hilangkan Sakit Kepala Yang Anda Wajib Cuba

15 Cara Hilangkan Sakit Kepala Yang Anda Wajib Cuba

Sakit kepala sememangnya satu masalah kesihatan yang sering dihadapi oleh semua tanpa mengira usia.

Meskipun ia mudah ditangani menggunakan ubat tahan sakit, namun terdapat pelbagai cara yang anda boleh praktikkan untuk melegakan sakit kepala.

Ayuh kita semak beberapa cara hilangkan sakit kepala yang anda boleh cuba di rumah.

Cara Hilangkan Sakit Kepala
Sumber : NDTV.com

15 Petua & Tips Serta Cara Hilangkan Sakit Kepala

1. Urutan

Cara ini merupakan kaedah yang paling popular bagi meredakan sakit kepala. Urutan seperti di leher, bahu serta dahi boleh mengurangkan ketegangan otot dan seterusnya melegakan sakit kepala yang dialami.

Anda boleh semak beberapa kaedah urutan berdasarkan sakit kepala yang dialami.

Cara Hilangkan Sakit Kepala

2. Minum Air Secukupnya

Sakit kepala juga boleh disebabkan oleh dehidrasi. Oleh itu, anda sangat digalakkan untuk minum air secukupnya setiap hari bagi mengelakkan masalah sakit kepala.

Anda juga disarankan untuk mengelak makanan serta minuman yang boleh menyebabkan dehidrasi seperti alkohol, minuman bergula serta kopi.

3. Gunakan Pek Ais

Sekiranya anda menghadapi migrain, anda juga boleh cuba letakkan pek sejuk pada dahi anda. Jika tiada pek sejuk, gunakan ketulan ais yang dibalut tuala atau sebungkus kacang peak beku. Tekapkannya pada kepala anda selama 15 minit kemudian berehat selama 15 minit.

Selain itu, anda juga boleh cuba mandi menggunakan air sejuk untuk mengurangkan sakit kepala.

4. Limau Kasturi

Antara petua yang orang lama sering sarankan untuk redakan sakit kepala adalah dengan menggunakan limau kasturi.

Caranya ialah dengan membelah dua limau kasturi kemudian perahnya atas kepala sambil diramaskan pada rambut. Urutkan sedikit pada bahagian kepala yang terasa sakit.

Setelah selesai, anda boleh gunakan kulit limau tadi dan masukkan dalam mangkuk berisi air kemudian jiruskan atas kepala.

Cara Hilangkan Sakit Kepala

5. Kurangkan Tekanan Pada Kulit Kepala

Mungkin anda tidak sedari yang anda sendiri boleh berikan tekanan pada kulit kepala. Kajian menunjukkan bahawa individu wanita yang melonggarkan ikatan rambut mereka akan kehilangan rasa sakit kepala selepas itu.

Oleh itu, jika boleh kurangkan ikat rambut atau ikat rambut secara longgar sahaja. Elakkan mengikat rambut terlalu ketat.

Selain itu, pemakaian aksesori seperti topi, headband atau goggle yang terlalu ketat juga boleh menyumbang kepada sakit kepala.

Sekiranya anda bertudung, anda digalakkan untuk buka sebentar tudung untuk berikan pengudaraan kepada kepala dan mengurangkan sakit kepala.

6. Halia

Memetik HelloDoktor, halia mempunyai manfaat bagi mengurangkan kesakitan kepala. Terdapat juga penemuan yang mendapati halia mempunyai fungsi yang hampir sama seperti preskripsi ubatan migrain.

Selain menambah hirisan halia pada the atau air kosong panas, anda juga boleh mendapatkan suplemen halia untuk diamalkan setiap hari.

7. Gunakan Lampu Malap

Cahaya yang terlalu terang termasuk dari skrin komputer atau gadget boleh menyebabkan sakit kepala serta migrain.

Jika boleh, anda boleh tambah skrin anti-silau untuk gadget dan gunakan lampu yang lebih malap untuk elakkan sakit kepala.

Tips ini juga sangat baik untuk diamalkan oleh anda yang banyak melakukan kerja di komputer atau laptop.

Cara Hilangkan Sakit Kepala
Sumber : CBC

8. Berhenti Merokok

Adakah anda seorang perokok dan sering alami sakit kepala? Selain tidak memberikan sebarang manfaat pada kesihatan, rokok juga mengandungi beberapa bahan kimia yang boleh menyebabkan rangsangan pada saraf otak dan seterusnya membuatkan seseorang mudah sakit kepala.

Jadi, berhentilah daripada merokok dan anda akan dapati masalah sakit kepala akan berkurangan.

9. Pudina

Satu pemerhatian juga mendapati aroma menthol yang segar pada pudina juga dapat membantu meredakan otot-otot serta saraf dan sekaligus mengurangkan sakit kepala.

Anda juga boleh sapukan minyak pudina di sekitar dahi atau kepala. Minum teh pudina juga adalah idea yang baik untuk legakan sakit kepala.

10. Cuka Epal & Madu Asli

Jika di rumah anda ada cuka epal dan madu asli, anda boleh cuba campurkan 1 sudu besar cuka epal dan 1 sudu besar madu asli ke dalam air suam. Seeloknya, gunakan sudu plastik untuk cedok madu, ya!

Kacaukan sehingga sebati dan minum. Kemudian, jangan lupa untuk terus bilas mulut dengan air masak kerana kandungan asid dalam cuka epal adalah agak tinggi.

Cara Hilangkan Sakit Kepala
Sumber : siraplimau.com

11. Elakkan Makanan Tinggi Histamin

Histamin merupakan bahan kimia yang dihasilkan oleh tubuh sebagai tindak balas kepada alergi. Sesetengah orang mungkin sensitif terhadap histamin sehingga mengakibatkan sakit kepala.

Oleh itu, anda mungkin boleh kurangkan pengambilan makanan tinggi histamin seperti ikan masin, keju lama, dan wain bagi menangani masalah ini.

12. Teh Herba

Antara cara hilangkan sakit kepala yang anda boleh amalkan ialah dengan mengambil teh herba seperti teh peppermint atau teh chamomile bagi meredakan sakit kepala.

The dengan khasiat herba ini mampu menenangkan dan membuat seseorang lebih relaks dan seterusnya mengurangkan rasa sakit kepala yang dialami.

Sumber :Times of India

13. Aktiviti Yang Redakan Stres

Stres boleh menjadi punca utama sakit kepala. Jadi, untuk meredakannya anda boleh cuba amalkan aktiviti yang mampu meredakan stres seperti meditasi, yoga dan pernafasan dalam-dalam bagi mengurangkan sakit kepala.

14. Ambil Supplemen Vitamin B

Beberapa kajian mendapati vitamin B terutamanya B2 (riboflavin), B9 (asid folik) serta B12 dapat membantu meredakan migrain serta sakit kepala.

Jadi, sekiranya anda sering sakit kepala, adalah idea yang baik untuk mula amalkan pengambilan suplemen vitamin B.

15. Dapatkan Rehat Yang Mencukupi

Akhir sekali, jangan lupa untuk dapatkan rehat yang mencukupi kerana kurang tidur boleh menjadi satu faktor terjadinya sakit kepala.

Semoga perkongsian mengenai petua serta cara hilangkan sakit kepala bermanfaat untuk anda.

Sekiranya sakit kepala tetap berulang atau teruk sehingga kerap mengganggu aktiviti harian anda, jangan berlengah untuk berjumpa doktor.

Pemeriksaan daripada doktor dapat membantu anda kenalpasti punca sakit kepala. Pakar perubatan juga dapat mengesyorkan kaedah rawatan serta ubat yang sesuai untuk kurangkan rasa sakit kepala yang anda alami.

Baca Juga : Skim Perubatan MADANI : Perkhidmatan Kesihatan Percuma B40

SHARE DI WHATSAPP ATAU MEDIA SOSIAL:

Sertai Komuniti Kami

Dapatkan UPDATE terkini lebih pantas terus ke emel anda!