Batik Malaysia : Sejarah Ringkas & Jenis Batik Tempatan

Malaysia kaya dengan kekayaan budaya dan seni warisan yang tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas. Antara karya seni yang masih segar sehingga ke hari ini adalah Batik Malaysia.

Kain yang biasa dihasilkan dengan corak flora dan abstrak ini merupakan salah satu khazanah berharga negara. Sebagai rakyat Malaysia, adalah penting untuk kita ketahui serba sedikit mengenai seni batik tempatan.

Oleh itu, ayuh kita kenali seni batik dengan lebih dekat.

Definisi Batik Malaysia

Batik Malaysia merupakan seni kraf hasil kerja tangan sepenuhnya atau sebahagiannya yang mempunyai motif beridentitikan seni dan budaya masyarakat Malaysia melalui proses pembuatan batik dengan menggunakan lilin batik atau bahan serta teknik halangan warna bagi menghasilkan reka corak.

Sejarah Ringkas Pembuatan Batik di Malaysia

Alatan membuat batik tertua yang ditemui di Malaysia adalah berusia 4,000 tahun di Gua Harimau, Perak.

Artifak tersebut menunjukkan proses pembatikan terawal melalui penggunaan batu sebagai bahan pencetak corak.

Seterusnya, perusahaan batik mula berkembang di negeri Kelantan. Antara tahun 1911 hingga 1928, didapati usaha-usaha membatik berada pada peringkat asas.

Seterusnya pada tahun 1928 hingga 1940an, didapati tercipta perusahaan untuk menghasilkan bati dalam pelbagai cara. Kedua-dua fasa ini menjadi asas penting kepada industri kain batik tempatan.  

Hari Batik Malaysia (3 Disember)

Batik Malaysia

Bagi memperkasakan industri kraf batik tempatan dan menyemarakkan pemakaian batik Malaysia, tanggal 3 Disember telah dipilih sebagai Hari Batik Malaysia.

Pemilihan tarikh ini juga dilakukan sebagai tanda penghargaan atas sumbangan, sokongan serta minat yang ditonjolkan oleh Allahyarhamah Tun Datin Paduka Seri Endon Mahmood, iaitu isteri kepada Perdana Menteri Malaysia Kelima, Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Pada 3 Disember 2003, Allahyarhamah telah memulakan sebuah Gerakan Malaysian Batik-Crafted for the World untuk membawa batik tempatan ke persada antarabangsa.

Pada hari tersebut, seluruh rakyat Malaysia digalakkan untuk memakai pakaian batik tempatan.

Bagi memartabatkan lagi rekaan seni batik, Piala Seri Endon turut diadakan saban tahun. Pertandingan berprestij tersebut menawarkan hadiah yang cukup lumayan buat para pereka fesyen tanah air berbakat dalam mengetengahkan batik tempatan dengan sentuhan kreatif.

Batik Malaysia

Jenis Batik-Batik di Malaysia

Batik Malaysia secara asasnya terdiri daripada 4 jenis batik iaitu :

  1. Batik lukis
  2. Batik terap
  3. Batik sutera saring
  4. Batik alternatif.

1. Batik Lukis

Batik lukis atau batik canting mula diperkenalkan pada era 1970an dari teknik mencanting atau melukis batik di Indonesia.

Batik jenis ini biasanya dilakarkan terus di kain dasar putih. Seterusnya, lilin akan digunakan untuk membuat reka corak.

Batik lukis menerapkan beberapa corak seperti bunga-bungaan, geometri, abstrak atau gabungan.

Batik Malaysia

5 Ciri Bantik Lukis/ Canting adalah :

  1. Kejelasan warna dan corak sama di bahagian hadapan dan belakang.
  2. Susunan cantuman corak batik canting biasanya tidak tepat sepenuhnya.
  3. Terdapat kesan serapan warna pada terapan corak yang dihasilkan melalui proses melilin.
  4. Peletakan reka corak motif canting yang tidak konsisten.
  5. Warna dan corak yang penuh sehingga tepi kain.

2. Batik Terap/ Blok

Batik terap atau batik blok merupakan salah satu teknik penghasilan batik menerusi kaedah menerap atau mencetak, menyusun dan mengolak reka corak menggunakan peralatan berukir atau bercorak.

Dahulunya blok batik dihasilkan daripada umbut pisang atau kayu. Seiring dengan perkembangan teknologi, blok batik kini dilakukan menerusi bahan yang lebih tahan lasak seperti zink dan besi.

Batik Malaysia

Ciri-Ciri Batik Terap

  • Kejelasan warna dan corak sama di bahagian hadapan dan belakang kain.
  • Pengulangan proses terapan sehingga tepi kain .
  • Pengulangan reka corak pada setiap produk biasanya tidak konsisten.
  • Terdapat kesan serapan warna pada garisan corak yang dihasilkan melalui proses melilin.

3. Batik Sutera Saring/Skrin/Stensil

Penghasilan batik sutera saring terbahagi kepada dua iaitu skrin warna dan skrin lilin.

Mencetak merupakan proses mereka corak di atas permukaan kain dengan menggunakan blok sutera saring yang telah siap dilukis dengan rekaan corak berpandukan jumlah warna yang dikehendaki.

Penggunaan blok sutera saring ini adalah sama bilangan dengan jumlah sebenar warna yang diperlukan untuk mencetak.

Batik Malaysia

4. Batik Alternatif

Batik jenis ini dihasilkan menerusi proses aplikasi bahan dan peralatan alternatif sebagai teknik halangan warna untuk menghasilkan reka corak ke atas fabrik seperti Batik Cetakan Kreatif, batik Clay, Batik Linut dan sebagainya.

Selain 4 jenis batik ini, terdapat juga batik Malaysia dengan identiti khas Sarawak dan Sabah yang dipengaruhi oleh etnik budaya masyarakat di sana.

Ayuh kita sama-sama meraikan warisan batik negara yang serba indah ini dengan mengenakan pakaian serta aksesori bermotifkan batik tempatan.

Untuk keterangan lanjut mengenai seni batik tempatan, sila layari laman web kraftangan.gov.my.

Baca Juga : Pemakaian Baju Batik Malaysia Penjawat Awam Wajib

SHARE DI WHATSAPP ATAU MEDIA SOSIAL:

Sertai Komuniti Kami

Dapatkan UPDATE terkini lebih pantas terus ke emel anda!