Puasa Tasu’a : Niat Puasa Hari ke-9 Muharam

Seperti yang kita sedia maklum, bulan Muharam juga cukup sinonim dengan sambutan Hari ‘Asyura iaitu hari ke-10 Muharam.

Pada hari tersebut, ramai umat Islam mengambil peluang untuk berpuasa kerana fadhilat serta hikmah besar yang ada padanya.

Bulan Muharam membawa maksud ‘Bulan Terlarang’. Dalam kalangan orang Arab, bulan ini bukan sahaja dianggap suci malah mereka juga dilarang untuk melakukan sebarang kekasaran, pembunuhan atau peperangan.

Bulan pertama dalam kalendar Hijrah ini juga merupakan bulan yang paling afdhal untuk berpuasa sunat setelah bulan Ramadan.

Puasa Tasu’a

Dari Abu Qatadah : Seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah tentang puasa ‘Asyura, Baginda menjawab:

Maksudnya : Aku berharap ke atas Allah agar dapat mengampunkan dosa setahun yang berlalu. [HR Muslim 1162]

Dalam kita berpuasa pada 10 Muharam, kita juga sangat digalakkan untuk turut berpuasa pada 9 dan 11 Muharam bagi menyelisihi amalan kaum Yahudi.

Perkara ini dijelaskan dalam sebuah hadis yang bermaksud :

Ketika Rasulullah berpuasa pada Hari Asyura dan menyuruh orang ramai berpuasa, maka para sahabat bertanya: Ya Rasulullah! ‘Asyura adalah hari yang diagung-agungkan oleh orang-orang Yahudi dan Nasrani. Maka baginda bersabda: Jika datang tahun hadapan kita akan berpuasa pada Hari Tasu’a (hari ke-9 di bulan Muharam).

(Berkata Ibn Abbas : Belum tiba tahun hadapan, Rasulullah telah wafat”. [HR Muslim 1916 ]

Menurut Imam Syafie, disunatkan berpuasa pada 9 Muharam kerana Rasulullah SAW telah berniat untuk berpuasa pada tahun yang akan datang dengan berpuasa 9 dan 10 Muharam.

Niat Puasa Tasu’a

Tasu’a berasal dari perkataan bahasa Arab iaitu  تِسْعَة (tis’ah) yang bermaksud sembilan.

Berikut dikongsikan niat puasa Tasu’a untuk panduan anda :

Lafaz Niat Puasa Sunat Tasu’a
نَوَيْتُ صَوْمَ تَاسُعَاء سُنَّةً لِلّٰهِ تَعَالَى

Maksudnya: “Sahaja aku puasa sunat hari Tasu’a pada hari esok kerana Allah Ta’ala”.

Puasa Tasu’a

 Anjuran Berpuasa pada 9, 10 dan 11 Muharam

Kaedah melaksanakan puasa Asyura telah dijelaskan oleh para ulama kepada tiga iaitu pertama; berpuasa sehari sebelumnya atau sehari selepasnya. Kedua; berpuasa pada 10 Muharam secara tunggal. Ketiga; berpuasa sehari dan selepasnya.

Ibn Qayyim al-Jauziyyah menjelaskan dengan kaedah iaitu :

  • Berpuasa pada hari sebelumnya dan juga hari selepasnya.
  • Berpuasa pada 9 dan 10 Muharam sahaja.
  • Berpuasa pada 10 Muharam sahaja.

 (Zaad al-Ma’ad: 2/72).

Demikianlah disunatkan berpuasa sunat pada hari ‘Asyura dengan diiringi berpuasa pada 9 Muharam atau pada 11 Muharam untuk menyelisihi dan berbeza dengan golongan Yahudi.

Ada juga ulama yang berpendapat sekiranya tidak dapat berpuasa pada 9 Muharam, maka seseorang itu disunatkan untuk berpuasa pada 10 dan 11 Muharam.

Namun, tidak salah untuk seseorang itu berpuasa pada 10 Muharam sahaja.

Menurut Imam Ibnu Hajar di dalam karya beliau ‘Tuhfah al-Muhtaj’:
قول المتن (وعاشوراء) ولا بأس بإفراده
Maksudnya: Teks (Al-Minhaj) menyebut: “…dan (disunatkan berpuasa) Asyura’ dan tidak mengapa hanya berpuasa pada hari itu sahaja.”

Berdasarkan kenyataan di atas, Mazhab Syafi’e mengharuskan untuk berpuasa pada 10 muharam sahaja walaupun tanpa diiringi dengan puasa pada 9 Muharam.

Namun, yang lebih afdhal adalah berpuasa sehari sebelum Asyura iaitu 9 Muharam. Jika tidak dapat berpuasa, maka boleh digantikan pada 11 Muharam. Wallahu’alam.

Sumber : AlHijrah Online, MyHadith, Mufti Wilayah Persekutuan

SHARE DI WHATSAPP ATAU MEDIA SOSIAL:

Sertai Komuniti Kami

Dapatkan UPDATE terkini lebih pantas terus ke emel anda!