Puasa Asyura : Cara Niat & Keistimewaan Berpuasa Pada Bulan Muharam

Selain sinonim dengan Tahun Baru Hijrah, bulan Muharam juga sering dikaitkan dengan Puasa Asyura.

Imam Nawawi juga menyatakan bahawa bulan Muharam merupakan antara bulan yang paling utama umat Islam memperbanyak puasa sunat termasuklah pada Hari Tasu’a (hari ke-9 Muharam) dan Hari Asyura (hari ke-10).

Ikuti perkongsian kami dengan lebih lanjut untuk ketahui mengenai amalan berpuasa pada Hari Asyura serta kelebihannya.

Keistimewaan dan Anjuran Berpuasa Pada Bulan Muharam

Selain menjadi bulan pertama dalam kalendar Hijri, bulan Muharam juga terkandung banyak peristiwa penting dalam Islam. Ini juga termasuk peristiwa penghijrahan Nabi Muhamad SAW dari Kota Mekah ke Madinah pada 622 Masihi lalu.

Selain itu, bulan Muharam juga merupakan salah satu daripada empat bulan yang mulia di sisi Allah SWT.

Memetik Surah at-Taubah, ayat 36, Allah SWT berfirman yang bermaksud,

Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi (hukum) Allah ialah dua belas bulan, (yang ditetapkan) dalam Kitab Allah semasa Ia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan yang dihormati. 

Di samping itu, Imam Ibnu Kathir turut menyatakan bahawa orang yang berbuat maksiat serta kezaliman pada bulan-bulan tersebut akan ‘dilipat gandakan’ dosanya oleh Allah SWT.

Puasa Asyura

Dari Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud : “Puasa yang paling utama setelah Ramadhan adalah puasa di bulan Allah, iaitu MUHARRAM. Sedangkan solat yang paling utama setelah solat fardhu adalah solat malam.”

(Hadis riwayat muslim, 1163)

Puasa Asyura

Umat Islam disunatkan untuk berpuasa pada 10 Muharam. Terdapat juga hadis yang menjelaskan fadilatnya yang mampu menghapuskan dosa-dosa setahun yang lalu.

Antaranya adalah sebuah riwayat daripada Abu Qatadah R.A. bahawasanya Rasulullah S.A.W bersabda:

صِيَامُ يَوْمِ عَاشُورَاءَ إِنِّي أَحْتَسِبُ عَلَى اللَّهِ أَنْ يُكَفِّرَ السَّنَةَ الَّتِي قَبْلَهُ

Maksudnya: Berpuasa pada hari ‘Asyura sesungguhnya aku mengharapkan kepada Allah supaya ia dapat menghapuskan dosa-dosa setahun sebelumnya.

Riwayat Ibn Majah (1738)

Perintah Untuk Menyelisihi Amalan Kaum Yahudi

Walaupun kita digalakkan untuk berpuasa pada 10 Muharram, akan tetapi kita juga turut diperintahkan untuk mengikutinya dengan berpuasa pada hari sebelum ataupun hari selepasnya.

Ini adalah bertujuan untuk menyelisihi golongan Yahudi yang hanya berpuasa pada 10 Muharram secara tunggal. Hal ini berdasarkan sebuah riwayat daripada Ibn Abbas R.Anhuma beliau berkata bahawa Nabi S.A.W bersabda:

صُومُوا يَوْمَ عَاشُورَاءَ، وَخَالِفُوا فِيهِ الْيَهُودَ، صُومُوا قَبْلَهُ يَوْمًا، أَوْ بَعْدَهُ يَوْمًا

Maksudnya: Berpuasalah kalian pada hari ‘Asyura dan berbezalah dengan golongan Yahudi. Berpuasalah sehari sebelumnya ataupun sehari selepasnya.

Riwayat Ahmad (2154)

Ada juga ulama yang berpendapat sekiranya tidak dapat berpuasa pada 9 Muharam, maka seseorang itu disunatkan untuk berpuasa pada 10 dan 11 Muharam.

Namun, tidak salah untuk seseorang itu berpuasa pada 10 Muharam sahaja.

Menurut Imam Ibnu Hajar di dalam karya beliau ‘Tuhfah al-Muhtaj’:
قول المتن (وعاشوراء) ولا بأس بإفراده
Maksudnya: Teks (Al-Minhaj) menyebut: “…dan (disunatkan berpuasa) Asyura’ dan tidak mengapa hanya berpuasa pada hari itu sahaja.”

Berdasarkan kenyataan di atas, Mazhab Syafi’e mengharuskan untuk berpuasa pada 10 muharam sahaja walaupun tanpa diiringi dengan puasa pada 9 Muharam.

Namun, yang lebih afdhal adalah berpuasa sehari sebelum Asyura iaitu 9 Muharam. Jika tidak dapat berpuasa, maka boleh digantikan pada 11 Muharam. Wallahu’alam.

Pendapat Para Fuqaha

Menurut perkongsian daripada Mufti Wilayah Persekutuan, terdapat beberapa pendapat para fuqaha berkaitan isu mengikuti puasa hari ‘Asyura dengan berpuasa sehari ataupun selepasnya.

Sebahagian para ulama mengatakan bahawa cara mengerjakan puasa ‘Asyura itu ada tiga keadaan seperti berikut:

  • Berpuasa sehari sebelumnya atau sehari selepasnya.
  • Berpuasa padanya (10 Muharram) secara tunggal.
  • Berpuasa sehari dan selepasnya.

Manakala cara terbaik serta paling lengkap untuk melakukannya adalah sebagaimana turutan yang disebutkan oleh Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah di dalam kitabnya Zaad al-Ma’ad (2/72) dengan cara seperti berikut:

  • Berpuasa pada hari sebelumnya dan juga hari selepasnya.
  • Berpuasa pada 9 dan 10 Muharram sahaja.
  • Berpuasa pada 10 Muharram sahaja.

Jadual Puasa Sunat Muharam

Selain Puasa Asyura, anda juga digalakkan untuk berpuasa pada hari-hari lain pada bulan Muharam. Berikut dikongsikan infografik dari Masjid Wilayah Persekutuan mengenai tarikh yang digalakkan untuk berpuasa.

Tarikh Puasa Asyura 2023 / 1445 H

Untuk makluman, tarikh untuk melaksanakan Puasa Asyura (10 Muharam 1445) jatuh pada 28 Julai 2023.

Namun, anda juga digalakkan untuk berpuasa pada hari sebelum dan selepasnya iaitu :

  • Puasa Tasu’a (9 Muharam 1445H) : 27 JULAI 2023
  • Puasa 11 Muharram 1445H : 29 JULAI 2023

Niat Puasa Asyura

i) Niat Puasa Hari Tasu’a (9 Muharram)

نَوَيْتُ صَوْم تَاسُعَاء سُنَّة لله تَعَالى

Maksud:

Sahaja aku puasa sunat Tasu’a kerana Allah Ta’ala.

ii) Niat Puasa Hari ‘Asyura (10 Muharram)

نويت صوم عشر سنة لله تعالى

Maksud:

Sahaja aku puasa sunat ‘Asyura kerana Allah Ta’ala.

Sumber : JAKIM, Mufti WP

Baca Juga : Bulan Islam 2023 / 1444H & Kelebihan Bulan Hijriah

SHARE DI WHATSAPP ATAU MEDIA SOSIAL:

Sertai Komuniti Kami

Dapatkan UPDATE terkini lebih pantas terus ke emel anda!