Niat Puasa Zulhijjah, Tarikh-Tarikh Puasa & Fadhilatnya

Sedar tak sedar, bulan Zulhijjah kembali lagi – Selain sinonim dengan sambutan Hari Raya Aidiladha dan ibadah haji, ramai yang berebut untuk melakukan amalan sunat seperti puasa sunat dalam bulan ini.  

Untuk makluman, umat Islam di Malaysia akan menyambut Hari Raya Aidiladha pada 29 Jun 2023 (Khamis). Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja dalam kenyataannya melalui telah mengisytiharkan 1 Zulhijjah 1444H bersamaan 20 Jun 2023.

Puasa Zulhijjah

Keistimewaan Bulan Zulhijjah

Antara ibadah yang ramai umat Islam lakukan pada bulan Zulhijjah adalah puasa sunat dari 1 hingga 9 Zulhijjah.

Terdapat banyak fadhilat yang menanti umat Islam yang melaksanakan ibadah sunat pada bulan ini.

Ikuti perkongsian kami untuk ketahui dengan lebih lanjut mengenai puasa Zulhijjah.

Puasa Hari Tarwiyah dan Kelebihannya

Hari Tarwiyah merupakan hari kelapan Zulhijjah. Menurut Imam Ibn Qudamah di dalam kitabnya, terdapat dua sebab mengapa hari tersebut dipanggil hari Tarwiyah.

  • Para jemaah haji setelah berihram akan menuju ke Mina untuk bermalam. Ini kerana, pada keesokan harinya, mereka akan menuju ke Arafah. Ketika di Mina, para jemaah ini mempersiapkan air sebagai bekalan untuk dibawa ketika berwukuf di Arafah. Mempersiapkan air ini diistilahkan dengan Yatarowwaun (يتروون).
  • Selain itu, dinamakan juga dengan “Tarwiyah” adalah disebabkan pada malam tersebut, Nabi Ibrahim AS telah bermimpi buatkali yang pertama daripada Allah SWT agar menyembelih anaknya Nabi Ismail AS. Seharian Baginda AS berfikir dan tertanya-tanya kepada dirinya, apakah perintah itu datangnya daripada Allah SWT atau daripada syaitan. Tertanya-tanya itu juga diistilahkan dengan Yurowwi (يروي) dan itu adalah di antara sebab 8 Zul al-Hijjah dinamakan dengan hari Tarwiyyah. [Lihat: al-Mughni, 3/249]

Terdapat sebuah hadis yang menyatakan bahawa berpuasa pada hari tersebut akan menghapuskan dosa selama setahun.

Tarikh Hari Arafah 2023

Hari Arafah pada tahun ini jatuh pada 28 Jun 2023 di Malaysia.

Hari kesembilan pada bulan ini juga merupakan Hari Arafah di mana seluruh umat Islam yang sedang menunaikan haji sedang berkumpul di Padang Arafah. Selain merupakan waktu mustajab untuk berdoa, ramai yang tidak melepaskan peluang untuk berpuasa pada Hari Arafah kerana ganjarannya yang mampu menghapuskan dosa selama 2 tahun.

Dikatakan bahawa Rasululah SAW telah bersabda,

صَوْمُ يَوْمِ التَّرْوِيَةِ كَفَّارَةُ سَنَةٍ، وَصَوْمُ يَوْمِ عَرفَةَ كَفَّارَةُ سَنَتَيْنِ

Maksudnya: Puasa pada hari Tarwiyah akan menghapuskan (dosa) selama setahun dan puasa pada hari Arafah pula akan menghapuskan (dosa) selama dua tahun.

Hadith ini diriwayatkan oleh Imam al-Dailami di dalam kitabnya Musnad al-Firdaus [2/248].

Puasa Zulhijjah

NOTA: Para ulama berbeza pandangan dalam menilai hadith ini. Sebahagian mereka menilai status hadith ini adalah dhaif sebagaimana yang dinilai oleh Imam al-Suyuthi dan juga Imam al-Busiri. Tambahan pula, terdapat perawi di dalam sanad hadith ini dianggap sebagai pendusta. Sementara itu juga, terdapat perawi yang dinilai sebagai majhul (tidak dikenali). Ini kerana, Imam Ibn al-Jauzi menilai hadith ini sebagai palsu dan begitu juga Imam al-Syaukani serta Imam Ibn ‘Arraq al-Kinani.

Walaupun begitu, sebahagian ulama yang menilai hadith ini sebagai dhaif telah menjadikannya (hadith ini) sebagai dalil terhadap kelebihan berpuasa pada hari Tarwiyah. Ini kerana, sebahagian ulama membenarkan seseorang untuk beramal dengan hadith yang dha’if (lemah) di dalam bab fadhail al-A’mal selagimana ia tidak berkaitan dengan permasalahan aqidah atau hukum.

Baca Juga : Puasa Arafah : Lafaz Niat & Fadhilatnya

Seterusnya, umat Islam yang berkemampuan digalakkan untuk melaksanakan ibadah Korban pada Hari Tasyriq.

Selain itu, kita juga digalakkan untuk mengagungkan kebesaran Allah dengan perbanyakkan berzikir, bertahmid, bertasbih, bertahlil dan berzikir.

Daripada Ibnu Abbas r.a., Nabi Muhammad SAW bersabda:

مَا مِنْ أَيَّامٍ الْعَمَلُ الصَّالِحُ فِيهَا أَحَبُّ إِلَى اللهِ مِنْ هَذِهِ الأَيَّامِ يَعْنِي أَيَّامَ الْعَشْرِ، قَالُوا: يَا رَسُولَ اللهِ، وَلاَ الْجِهَادُ فِي سَبِيلِ اللهِ؟ قَالَ: وَلاَ الْجِهَادُ فِي سَبِيلِ اللهِ، إِلاَّ رَجُلٌ خَرَجَ بِنَفْسِهِ وَمَالِهِ، فَلَمْ يَرْجِعْ مِنْ ذَلِكَ بِشَيْءٍ

Maksudnya: Tiada hari-hari yang amalan soleh paling disukai oleh Allah untuk dilakukan melainkan hari-hari ini iaitu Baginda memasukkan 10 hari terawal Zulhijjah. Para sahabat bertanya, “Wahai Rasulullah, walaupun jihad di jalan Allah tidak dapat menandinginya?” Baginda bersabda, “Walaupun jihad di jalan Allah tidak dapat menandinginya, melainkan seorang lelaki yang keluar berjihad bersama hartanya, kemudian dia langsung tidak kembali.

[HR al-Bukhari, hadis sahih]

Tarikh-Tarikh Penting Puasa Zulhijjah 2023

Berikut disenaraikan tarikh penting bagi puasa sunat Zulhijjah :

  • 1 Zulhijjah = Selasa, 20.06.2023
  • 2 Zulhijjah = Rabu, 21.06.2023
  • 3 Zulhijjah = Khamis, 22.06.2023
  • 4 Zulhijjah = Jumaat, 23.06.2023
  • 5 Zulhijjah = Sabtu, 24.06.2023
  • 6 Zulhijjah = Ahad, 25.06.2023
  • 7 Zulhijjah = Isnin, 26.06.2023
  • 8 Zulhijjah = Selasa, 27.06.2023
  • 9 Zulhijjah = Rabu, 28.06.2023

Berikut pula merupakan hari yang diharamkan puasa.

  • Hari Raya Aidiladha : 10 Zulhijjah = Khamis, 29/06/2023
  • Hari Tasyrik : 11 Zulhijjah = Jumaat, 30/06/2021
  • Hari Tasyrik : 12 Zulhijjah = Sabtu, 1/07/2023
  • Hari Tasyrik : 13 Zulhijjah = Ahad, 2/07/2023

Niat Puasa Zulhijjah, Tarwiyah & Arafah

Niat Puasa Sunat Zulhijjah
(1-7 Zulhijjah)

نَوَيْتُ صَوْمَ شَهْرِ ذِيْ الْحِجَّةِ سُنَّةً لِلَّهِ تَعَالَى
“Sahaja aku puasa sunat di bulan Zulhijjah kerana Allah Ta’ala”

Niat Puasa Sunat Tarwiyah
(8 Zulhijjah)

نَوَيْتُ صَوْمَ تَرْوِيَةَ سُنَّةً لِلَّهِ تَعَالَى
“Sahaja aku niat puasa sunat Tarwiyah kerana Allah Ta’ala”

Niat Puasa Sunat Hari Arafah
(9 Zulhijjah)

نَوَيْتُ صَوْمَ غَدٍ مِنْ يَوْمِ الْعَرْفَةَ سُنَّةً لِلَّهِ تَعَالَى
“Sahaja aku niat puasa sunat hari Arafah kerana Allah Ta’ala”

Semoga perkongsian ini dapat melancarkan lagi ibadah puasa sunat pada bulan Zulhijjah kali ini. Selamat beramal!

SHARE DI WHATSAPP ATAU MEDIA SOSIAL:

Sertai Komuniti Kami

Dapatkan UPDATE terkini lebih pantas terus ke emel anda!