Program Khas Ijazah Luar Negara (PKILN) Tajaan JPA

Terkini permohonan Program Khas Ijazah Luar Negara (PKILN) Tajaan JPA telah dibuka.

Sukacita Jabatan Perkhidmatan Awam mempelawa pelajar cemerlang lepasan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) / Matrikulasi / Persediaan untuk memohon penajaan di bawah Program Khas Ijazah Luar Negara Tahun 2022. Permohonan adalah secara dalam talian yang akan dibuka mulai 15 Julai 2022, 5.00 petang sehingga 24 Julai 2022, 5.00 petang

Apa Itu Program Khas Ijazah Luar Negara

program ijazah luar negara jpa 2022

Permohonan adalah dipelawa kepada pelajar cemerlang lepasan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) / Matrikulasi / Persediaan untuk menyambung pelajaran bagi pengajian Ijazah Pertama dalam bidangbidang yang dikenal pasti di universiti-universiti terkemuka dunia dalam bentuk Pinjaman Boleh Ubah (PBU).

Syarat Permohonan

Calon-calon yang berminat mestilah memenuhi syarat umum dan khusus permohonan seperti berikut:

Syarat Umum

  • Warganegara Malaysia;
  • Lulus pemeriksaan kesihatan;
  • Ibu dan/atau bapa tidak disenarai hitam oleh JPA atau sedang dalam tindakan undang-undang oleh JPA;
  • Tidak menerima bantuan kewangan/tajaan dari mana-mana agensi untuk peringkat atau pengajian yang sama;
  • Tamat pengajian program persediaan yang dikenal pasti (rujuk perincian di perenggan 2.2) pada tahun 2022 dengan keputusan minimum yang ditetapkan;
  • Umur tidak melebihi 22 tahun pada tahun permohonan (atau 23 tahun bagi pelajar peralihan); Pelajar telah mendapat tawaran bersyarat / tanpa syarat daripada universiti untuk mengikuti pengajian peringkat Ijazah Pertama secara sepenuh masa; dan
  • Pelajar perlu memulakan pengajian sebelum atau pada  31 Disember 2022.

Syarat Khusus

Memenuhi syarat akademik minimum yang ditetapkan seperti berikut:

Program PersediaanSyarat Akademik Minimum
Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM)Purata Nilaian Gred Kumulatif (PNGK) 3.50 / 4.00
Matrikulasi Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM)PNGK 3.50 / 4.00
A-Level dari pusat / kolej persediaan / IPTS tempatan14 / 15 mata (tanpa C)
International Baccalaureate Diploma Programme (IB) dari pusat / kolej persediaan / IPTS tempatan  35 / 45 mata

Peringkat Pengajian

Pelajar-pelajar yang ditawarkan penajaan akan ditaja bagi pengajian peringkat Ijazah Pertama secara sepenuh masa dalam bidang dan institusi yang ditetapkan sahaja.

Tempat Pengajian

Pilihan institusi pengajian bagi program penajaan ini adalah universiti-universiti terkemuka dunia di ranking Top 100 dalam Times Higher Education (THE) World University Rankings, Quacquarelli Symonds (QS) World University Rankings, atau Academic Ranking of World Universities (ARWU) berdasarkan kedudukan universiti, di negara-negara yang dikenal pasti sahaja. Senarai universiti adalah seperti di LAMPIRAN 1.

Bidang Pengajian

  • Penajaan di bawah program ini akan memberi tumpuan kepada bidang-bidang yang dikenal pasti bagi memenuhi keperluan strategik Perkhidmatan Awam dan Negara.
  • Program ini mensasarkan penajaan di dalam bidang Kejuruteraan dan Sains & Teknologi yang seiring Dasar Sains, Teknologi dan Industri Negara (DSTIN) 2021-2030 serta Rangka Kerja 10-10 Malaysian Science, Technology, Innovation and Economy (MySTIE) Framework iaitu bidang teknologi teras (DeepTech) seperti kecerdasan buatan (Artificial Intelligence), Internet of Things (IOT), blockchain,bahan dan teknologi termaju (Advanced Material) dan analitik data raya (Big Data Analytic). Ini juga termasuk ekonomi hijau (Green Economy) yang melibatkan sektor-sektor utama antaranya pembinaan, gunatenaga, pertanian dan pengangkutan.
  • Kursus-kursus yang diikuti di peringkat Ijazah Pertama hendaklah mendapat akreditasi penuh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dan mendapat pengiktirafan penuh Badan-badan Profesional bagi kursus-kursus profesional.

Bidang Pengajian Yang Tidak Ditaja

Bidang pengajian yang tidak ditaja adalah perubatan, pergigian, farmasi pendidikan, kejururawatan, kursus yang mewajibkan pelajar mengambil lesen seperti lesen penerbangan dan kursus profesional seperti ACCA dan Certified in Legal Practice (CLP).

Mekanisma Perjanjian

Perjanjian pinjaman dikuatkuasakan mengikut empat (4) keadaan PBU seperti berikut:

  • Pinjaman ditukar kepada biasiswa penuh dan dikecualikan daripada bayaran balik sekiranya pelajar berkhidmat dalam Perkhidmatan Awam setelah tamat pengajian;
  • Bayaran balik sebanyak 25% daripada jumlah pinjaman yang diterima sekiranya pelajar berkhidmat dalam syarikat berkaitan Kerajaan (GLC) setelah tamat pengajian;
  • Bayaran balik sebanyak 50% daripada jumlah pinjaman yang diterima sekiranya pelajar berkhidmat dengan syarikat swasta dalam negara setelah tamat pengajian; dan
  • Selain daripada keadaan seperti di atas, pelajar dikehendaki membayar balik sepenuhnya nilai pinjaman.

Cara Permohonan

Permohonan dibuka secara dalam talian di laman sesawang eSILA https://esilav2.jpa.gov.my selama sepuluh (10) hari mulai 15 Julai 2022 (Jumaat) jam 5.00 petang sehingga 24 Julai 2022 (Ahad) jam 5.00 petang.

Calon boleh merujuk maklumat program dan Frequently Ask Question (FAQ) yang dimuat naik di laman sesawang eSILA bagi maklumat lanjut berhubung program yang ditawarkan. Calon dibenarkan mendaftar, mengemas kini / meminda maklumat permohonan sebelum tarikh tutup permohonan.

Calon hendaklah memastikan proses permohonan telah sempurna dengan mencetak Slip Pengesahan Permohonan Program Khas Ijazah Luar Negara Tahun 2022 sebagai bukti permohonan lengkap telah dibuat

Student Assessment Centre (SAC)

Calon-calon yang memohon program penajaan ini DAN melepasi syarat- syarat permohonan yang telah ditetapkan dikehendaki untuk menghadiri sesi Student Assessment Centre (SAC) yang dijadualkan pada pertengahan Ogos 2022. Calon boleh menyemak Portal eSILA dari semasa ke semasa untuk mengetahui maklumat mengenai tarikh dan tempat SAC.

Semakan Keputusan Permohonan

Keputusan permohonan penajaan ini dijangka akan diumumkan melalui laman sesawang eSILA https://esilav2.jpa.gov.my pada minggu ke-2 bulan September 2022. Jika terdapat sebarang perubahan pengumuman tarikh keputusan, ia akan dimaklumkan dalam laman sesawang eSILA. Sekiranya pelajar tidak menerima sebarang notifikasi dalam tempoh 90 hari selepas tarikh keputusan, permohonan adalah dianggap tidak berjaya.

Maklumat Lanjut

Pertanyaan mengenai Program Khas Ijazah Luar Negara (PKILN) Tajaan JPA dan masalah teknikal boleh dibuat dengan menghubungi talian call centre iaitu 03-8885 3297 mulai 18 sehingga 22 Julai 2022 (5 hari) dari jam 9.00 pagi hingga jam 4.30 petang.

Calon juga boleh mengemukakan pertanyaan menerusi e-mel [email protected] (e-mel ini hanya aktif dalam tempoh permohonan dibuka sahaja).

SHARE DI WHATSAPP ATAU MEDIA SOSIAL:

Sertai Komuniti Kami

Dapatkan UPDATE terkini lebih pantas terus ke emel anda!