Pembatalan Penyelarasan Pencen 2% Kepada Pesara (JPA)

Sebagaimana keputusan Mahkamah Persekutuan pada 27 Jun 2023, pesara akan menerima amaun pencen asal.

Sementara itu, Penghargaan Khas Kepada Pesara (PKKP) pula diberikan mulai Julai hingga Disember. Ini menjadikan jumlah bayaran pencen yang diterima sama seperti Jun 2023.

Ikuti perkongsian kami untuk ketahui dengan lebih lanjut mengenai keputusan Mahkamah Persekutuan serta maklumat terkini yang pesara terlibat perlu tahu.

Bantuan Penghargaan Khas Kepada Pesara (PKPP)

Kerajaan telah mengummkan Bantuan Penghargaan Khas Kepada Pesara (PKKP) bagi memastikan pencen dan pencen terbitan diterima golongan pesara tidak berkurangan.

Keputusan ini juga adalah susulan kepada keputusan mahkamah yang membatalkan penyelarasan kenaikan pencen tahunan sebanyak dua peratus.

Pengarah Bahagian Pencen Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Datuk Mohd Shaiful Ibrahim, berkata PKKP adalah satu bentuk pembayaran khas disebabkan perbezaan amaun pencen semasa dengan pencen asal susulan keputusan dibuat mahkamah itu.

Katanya, ia untuk menjadikan amaun diterima pesara pada Julai hingga Disember tahun ini, sama sepertimana amaun pencen semasa yang diterima.

Pada 27 Jun 2023 lalu, Mahkamah Persekutuan telah mengekalkan keputusan Mahkamah Rayuan yang mengisytiharkan undang-undang pencen yang dipinda sebagai terbatal dan tidak sah, selepas menolak rayuan kerajaan untuk membatalkan keputusan itu.

Mohd Shaiful berkata, susulan keputusan Mahkamah Persekutuan berkaitan Akta Penyelarasan Pencen (Pindaan) 2013 itu, pegawai awam yang bersara sebelum 2013, maka bayaran pencennya dikembalikan kepada amaun pencen asal pada Disember 2012.

Untuk pegawai awam yang bersara mulai tahun ini, bayaran pencennya dikembalikan kepada amaun pencen semasa bersara.

“Kerajaan telah memutuskan supaya pencen dan pencen terbitan dibayar dengan mengguna pakai amaun pencen asal dan ditambah dengan bantuan khas PKKP bagi Julai hingga Disember ini.

Beliau juga berkata, bantuan khas PKKP itu tidak memberi implikasi kepada kewangan negara, memandangkan jumlah itu telah diperuntukkan dalam Belanjawan 2023.

Selain itu, pesara juga tidak perlu membuat pembayaran balik kenaikan dua peratus yang sudah diberikan mulai tahun ini, kerana keputusan mahkamah menyatakan kerajaan tidak boleh mengutip balik penyelarasan pencen tahunan dua peratus yang telah dibayar sebelum ini.

Ditanya sama ada PKKP itu akan diteruskan untuk tahun hadapan, Mohd Shaiful berkata, ia akan dikaji dan dibincangkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Semakan Semula Sistem Saraan Perkhidmatan Awam, yang akan dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam masa terdekat.

“Bagi penyelarasan pencen seterusnya, kajian akan dilaksanakan bersekali dengan cadangan semakan semula sistem saraan perkhidmatan awam bersama dengan Kementerian Kewangan, untuk melihat kesan kepada pesara,” katanya.

Menurutnya, kali terakhir penyelarasan pencen dibuat ialah pada 2012 iaitu antara tujuh hingga 13 peratus mengikut gred, dan kemudiannya diselaraskan oleh kerajaan ketika itu dengan memberikan kenaikan tahunan dua peratus tanpa perlu menunggu pelaksanaan semakan gaji.

“Terdapat sejumlah 874,842 pesara setakat 31 Dis 2022,” katanya. – BERNAMA

penyelarasan pencen

Soalan Lazim Penjelasan Pembatalan Penyelarasan Pencen 2% Kepada Pesara

Apakah kesan keputusan Mahkamah Persekutuan terhadap pesara?

Bayaran pencen kepada semua pesara perlu dikembalikan kepada amaun pencen asal iaitu:
(a) pegawai awam yang bersara sebelum 2013 – bayaran pencen dikembalikan kepada amaun Disember 2012; dan
(b) pegawai awam yang bersara mulai 2013 – bayaran pencen dikembalikan kepada amaun asal semasa bersara

Adakah pesara perlu membuat pembayaran semula kenaikan pencen dua peratus (2%) yang telah diberikan mulai tahun 2013?

Tidak perlu. Mahkamah Persekutuan telah memutuskan bahawa Kerajaan tidak boleh mengutip balik penyelarasan pencen tahunan sebanyak 2% yang telah dibayar sebelum ini.

Apa yang dimaksudkan dengan bantuan khas sebagai Penghargaan Khas Kepada Pesara (PKKP)?

PKKP adalah inisiatif Kerajaan untuk mengharmonikan pelaksanaan keputusan Mahkamah Persekutuan dengan memelihara kebajikan pesara.

PKKP merupakan pembayaran perbezaan amaun pencen semasa dengan amaun pencen asal bagi menjadikan amaun yang diterima oleh pesara setiap bulan, sama seperti amaun pencen semasa.

Sebagai contoh, sekiranya amaun pencen asal pesara pada bulan Disember 2012 ialah sebanyak RM1,413.49, manakala amaun pencen bulan Jun 2023 ialah sebanyak RM1,757.43, pengiraan PKKP adalah seperti berikut:
Amaun pencen asal + bantuan khas PKKP = amaun semasa = RM1,413.49 + RM343.94 = RM1,757.43

Sehingga bila PKKP dibayar kepada pesara?

Bayaran akan dibuat bermula pada bulan Julai 2023 hingga Disember 2023.

Adakah pesara terus menerima PKKP pada Januari 2024?

Tidak, walau bagaimanapun, perkara ini akan dikaji bersekali dengan cadangan sistem saraan perkhidmatan awam yang akan dipengerusikan oleh Y.A.B. Perdana Menteri.

Bilakah penyelarasan pencen bagi pesara-pesara akan dibuat?

Penyelarasan pencen akan dibuat selaras dengan pelaksanaan semakan gaji pegawai Perkhidmatan Awam.

Adakah Kerajaan bercadang untuk melaksanakan semakan gaji pegawai Perkhidmatan Awam dalam masa yang terdekat ini?

Kerajaan sedang dalam tindakan menyediakan cadangan semakan semula gaji pegawai Perkhidmatan Awam. Walau bagaimanapun, sebarang pertimbangan terhadap syor semakan gaji adalah tertakluk kepada kemampuan kewangan Negara.

Maklumat Lanjut

Untuk keterangan lanjut mengenai penyelarasan pencen, sila layari laman rasmi Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) di https://www.jpa.gov.my

Baca Juga : Tarikh & Jadual Bayaran Pencen 2023 Untuk Pesara Kerajaan

SHARE DI WHATSAPP ATAU MEDIA SOSIAL:

Sertai Komuniti Kami

Dapatkan UPDATE terkini lebih pantas terus ke emel anda!