Pelitup Muka Bukan Perubatan Perlu Penandaan MS Sirim Bermula Jan 2023

Pelitup Muka Bukan Perubatan Perlu Penandaan MS Sirim Bermula Jan 2023 ~ Untuk makluman, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memaklumkan bahawa semua pengilang dan pengimport pelitup muka bukan perubatan perlu membuat permohonan perakuan serta penandaan MS SIRIM daripada SIRIM QAS International Sdn Bhd.

Perkara ini adalah selaras dengan pewartaan Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan) Pelitup Muka Bukan Perubatan 2022 di bawah Akta Perihal Dagangan 2011 pada hari ini.

Pewartaan Pelitup Muka Perlu Penandaan MS Sirim

Pewartaan tersebut bertujuan untuk memastikan pelitup muka bukan perubatan yang dihasilkan sama ada dalam negara atau diimport mematuhi standard keselamatan yang telah ditetapkan menerusi perintah itu.

Penandaan MS SIRIM hendaklah diletakkan pada kotak atau bungkusan yang mudah dilihat pengguna.

Pelitup Muka Bukan Perubatan

Harga Jualan?

Mengenai isu kenaikan harga, SIRIM sudah memberi jaminan kos penandaan yang rendah akan dikenakan ke atas pengilang dan pengimport, yang tidak akan menjejaskan harga jualan runcit.

Tarikh Penguatkuasaan

Tarikh penguatkuasaan pengilang atau pengimport pelitup muka bukan perubatan perlu membuat permohonan perakuan dan penandaan SIRIM QAS International Sdn. Bhd. selaku Pihak Berkuasa Yang Berwibawa dilantik oleh KPDNHEP pada mulanya dikuatkuasakan pada 4 Julai 2022.

Namun setelah mendapat maklumbalas orang ramai, tarikh penguatkuasaan ini telah ditangguh ke JANUARI 2023.

Kegagalan mematuhi perintah tersebut boleh menyebabkan mana-mana syarikat dikenakan denda tidak melebihi RM200,000 manakala bagi kesalahan kali kedua atau berikutnya boleh dikenakan denda tidak melebihi RM500,000.

Bagi individu pula, denda yang dikenakan tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali, dan bagi kesalahan kali kedua atau berikutnya, boleh didenda tidak melebihi RM250,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Walaubagaimanapun, pengguna tidak akan dikenakan apa-apa tindakan sekiranya menggunakan pelitup muka bukan perubatan tanpa penandaan SIRIM.

Sumber: Bernama, Astro Awani, KPDNHEP

SHARE DI WHATSAPP ATAU MEDIA SOSIAL:

Sertai Komuniti Kami

Dapatkan UPDATE terkini lebih pantas terus ke emel anda!