Puasa Arafah : Lafaz Niat & Kelebihan / Ganjaran

Bulan Zulhijjah bukan sahaja sinonim dengan ibadah haji serta korban, malah ramai umat Islam yang berlumba-lumba untuk banyakkan beribadah dan melakukan amalan sunat seperti puasa Arafah dan berdoa.

Tambahan pula, Hari Arafah adalah waktu yang mustajab untuk umat Islam berdoa.

Baca Juga : Hari Arafah : Tarikh Wukuf & Cuti Umum 2023

Keistimewaan Bulan Zulhijjah

Ramai yang berpuasa sunat dari 1 hingga 9 Zulhijjah. Meskipun tiada kelebihan khusus bagi puasa hari pertama hingga kelapan, namun terdapat manfaat yang cukup besar bagi sesiapa yang berpuasa pada 9 Zulhijjah iaitu Hari Arafah.

Pada hari tersebut, seluruh umat Islam yang menunaikan haji sedang berkumpul di Padang Arafah untuk melakukan ibadah wukuf.

Bagi yang tidak berpeluang untuk melakukan haji, adalah sangat digalakkan untuk banyakkan ibadah seperti berdoa, berzikir dan membaca Al-Quran.

Ini juga selaras dengan hadis Rasulullah SAW.

Daripada Ibnu Abbas r.a., Nabi Muhammad SAW bersabda:

مَا مِنْ أَيَّامٍ الْعَمَلُ الصَّالِحُ فِيهَا أَحَبُّ إِلَى اللهِ مِنْ هَذِهِ الأَيَّامِ يَعْنِي أَيَّامَ الْعَشْرِ، قَالُوا: يَا رَسُولَ اللهِ، وَلاَ الْجِهَادُ فِي سَبِيلِ اللهِ؟ قَالَ: وَلاَ الْجِهَادُ فِي سَبِيلِ اللهِ، إِلاَّ رَجُلٌ خَرَجَ بِنَفْسِهِ وَمَالِهِ، فَلَمْ يَرْجِعْ مِنْ ذَلِكَ بِشَيْءٍ

Maksudnya: “Tiada hari-hari yang amalan soleh paling disukai oleh Allah untuk dilakukan melainkan hari-hari ini iaitu Baginda memasukkan 10 hari terawal Zulhijjah. Para sahabat bertanya, “Wahai Rasulullah, walaupun jihad di jalan Allah tidak dapat menandinginya?” Baginda bersabda, “Walaupun jihad di jalan Allah tidak dapat menandinginya, melainkan seorang lelaki yang keluar berjihad bersama hartanya, kemudian dia langsung tidak kembali.”

[HR Al-Bukhari, hadis sahih]

Antara kelebihan puasa Arafah adalah :

  1. Puasa Arafah adalah satu peluang yang diberikan oleh Allah SWT supaya umat Islam memperoleh pengampunan yang besar. Ia juga merupakan hari keampunan dan pelepasan dari api neraka.
  2. Peluang bagi mereka yang tidak berkesempatan melakukan ibadat haji supaya mereka merebut fadilat yang dijanjikan pada hari Arafah.
  3. Hari 9 Zulhijjah termasuk dalam 10 hari terawal bulan Zulhijjah. Sepanjang tempoh ini, segala amalan kebaikan yang dikerjakan akan diberi ganjaran yang lebih besar berbanding apabila dilakukan pada bulan-bulan yang lain.
  4. Digalakkan juga perbanyakkan doa menurut riwayat Imam Malik, Rasulullah bersabda : “Sebaik-baik doa adalah pada hari Arafah”.

صِيَامُ يَوْمِ عَرَفَةَ إِنِّي أَحْتَسِبُ عَلَى اللَّهِ أَنْ يُكَفِّرَ السَّنَةَ الَّتِي قَبْلَهُ وَالسَّنَةَ الَّتِي بَعْدَهُ

“Puasa hari ‘Arafah, aku berharap kepada Allah supaya Dia dapat menghapuskan dosa-dosa setahun sebelumnya dan juga setahun sesudahnya.”

(Sunan al-Tirmizi, no. 680, hadis hasan)

Tarikh Hari Arafah di Malaysia 2023

Untuk makluman, tarikh Hari Arafah / Hari Wuquf pada tahun ini adalah jatuh pada 9 Zulhijjah 1444 iaitu 27 Jun 2023.

Kelebihan Hari Arafah

Berdasarkan sebuah hadis sahih, Hari Arafah merupakan hari di mana Allah SWT sendiri mendekati hamba-hambaNya.

Sabda Rasulullah ﷺ:

ما من يوم أكثر من أن يعتق الله فيه عبدا من النار من يوم عرفة، وإنه ليدنو ثم يباهي بهم الملائكة فيقول: ما أراد هؤلاء؟

“Tidak ada hari yang paling banyak Allah membebaskan hambanya dari neraka seperti Hari Arafah. Pada hari tersebut Allah mendekati mereka dan berbangga dengan mereka (hamba-hambanya) di sisi malaikat dan berkata: Apa yang mereka mahukan?” (Sahih Muslim)

Tarikh Puasa Arafah 2023

Disebabkan Arab Saudi mengumumkan Hari Arafah sehari lebih awal berbanding Malaysia, mungkin ada yang tertanya-tanya Hari Arafah di Malaysia?

Seperti Hari Raya Aidilfitri, penetapan tarikh Hari Arafah juga adalah berdasarkan rukyah di negara masing-masing. Anda boleh rujuk kenyataan daripada Mufti Selangor berkenaan isu ini.

Puasa Arafah

Niat Puasa Sunat Hari Arafah

Lafaz niat bagi puasa sunat Hari Arafah adalah seperti berikut :

نَوَيْتُ صَوْمَ عَرَفَةَ سُنَّةً لِّلِه تَعَالَى

Maksud : Saya berniat puasa sunat ‘Arafah kerana Allah Taala.

Puasa Arafah
Sumber : Facebook Ustazah Asma’ Harun

Waktu Mustajab Berdoa Pada Hari Arafah

Setiap kali tibanya Hari Arafah, pasti ada yang tertanya-tanya jangka waktu yang tepat untuk mereka berdoa. Ada juga yang mahu samakan waktu berdoa dengan waktu wukuf di padang Arafah.

Sebenarnya, tiada waktu yang spesifik ditetapkan untuk umat Islam berdoa pada hari tersebut. Ini sesuai dengan sabda Nabi SAW :

خَيْرُ الدُّعَاءِ دُعَاءُ يَوْمِ عَرَفَةَ

Maksudnya: “Sebaik-baik doa ialah doa yang dibaca pada hari Arafah..”

Dalam hadis ini, dapatlah kita simpulkan bahawa Nabi SAW tidak menyatakan sebaik-baik doa adalah ketika waktu wukuf, sebaliknya pada sepanjang Hari Arafah. Dengan erti kata lain, sepanjang 9 Zulhijjah adalah waktu yang mustajab untuk berdoa.

Namun, bagi yang berpeluang untuk mengerjakan haji di Mekah, mereka perlu laksanakan ibadah wukuf di padang Arafah.

Sabda Nabi s.a.w:

الحج عرفة

Maksudnya: “Haji itu (berwukuf) di padang Arafah.”

Waktu wukuf bermula dari tergelincir matahari (masuk waktu Zuhur/waktu di Arab Saudi) hari ke 9 Zulhijjah sehingga terbit fajar 10 Zulhijjah.

Oleh itu, orang yang mengerjakan haji digalakkan untuk berdoa sepanjang waktu wukuf kerana ketika itu merupakan gabungan yang sangat cantik iaitu berada pada 9 Zulhijjah dan dalam keadaan berwukuf di padang Arafah. Maka insyaAllah mustajab doa berganda-ganda.

Jadi, jelaslah di sini bahawa sepanjang hari Arafah merupakan hari doa mustajab. Cuma bagi orang yang mengerjakan haji ada keistimewaan tersendiri dalam mencari doa mustajab yang lebih mustajab.

Sementara itu, ‘bagi mereka yang tidak mengerjakan haji juga ada cara tersendiri untuk mencari doa mustajab yang lebih mustajab pada hari Arafah iaitu dengan berpuasa pada hari berkenaan.

Nabi S.A.W bersabda:

ثَلاثَةٌ لا تُرَدُّ دَعْوَتُهُمْ الإِمَامُ الْعَادِلُ وَالصَّائِمُ حِينَ يُفْطِرُ وَدَعْوَةُ الْمَظْلُومِ..

Maksudnya: ” Tiga doa yang tidak akan ditolak Allah (bermaksud sangat mustajab) iaitu doa seorang pemimpin yang adil, doa orang berpuasa sehingga dia berbuka dan doa orang yang dizalimi..”

Kesimpulannya, hari Arafah adalah satu hari yang cukup mesra dalam bulan Zulhijjah. Jadi, umat Islam haruslah merebut peluang agar tidak termasuk dalam kalangan orang-orang yang rugi. Semoga Allah memberi kita taufik dan hidayah dalam melaksanakan setiap amalan yang dilakukan.

Sumber :

Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

Pusat Pungutan Zakat

SHARE DI WHATSAPP ATAU MEDIA SOSIAL:

Sertai Komuniti Kami

Dapatkan UPDATE terkini lebih pantas terus ke emel anda!