Dasar Pendidikan Digital 2023 KPM : Obejktif, Teras & Strategi
Kementerian Pendidikan Malaysia baru sahaja mengumumkan Dasar Pendidikan Digital 2023 bakal dilaksanakan bagi menyediakan generasi celik digital.
Dalam satu majlis rasmi, Menteri Pendidikan YB Fadhlina Sidek berkata, Dasar Pendidikan Digital terdiri daripada empat objektif, enam teras, 18 strategi dan 41 inisiatif.
Dengan satu matlamat yang jelas, DPD dilaksanakan bagi melahirkan generasi fasih digital yang berdaya saing.
DPD juga akan menjadi panduan kepada semua pihak berkepentingan untuk mendepani era digital.
Dasar Pendidikan Digital KPM
Maksud pendidikan digital merangkumi pembelajaran mengenai pengetahuan, kemahiran dan nilai berkaitan dengan teknologi digital serta pengajaran dan pembelajaran (PdP) yang menggunakan teknologi digital secara bersepadu, kreatif dan inovatif untuk melahirkan generasi fasih digital.
Apa itu Dasar Pendidikan Digital ?
Dasar Pendidikan Digital (DPD) merupakan pernyataan komitmen Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang dilancarkan pada 28 November 2023.
Baca juga : Maksud Karamah Insaniah KPM : Konsep & Program Pelaksanaan
Dasar ini digubal agar sejajar dengan pelbagai agenda nasional termasuklah konsep ;
- Membangun Negara MADANI
- Rangka Tindakan (Blueprint) Ekonomi Digital Malaysia (MyDIGITAL)
- Dasar Revolusi Perindustrian Keempat (4IR) Negara
- Jalinan Digital Negara (JENDELA)
- Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013–2025 dan
- Dasar Sains Teknologi dan Inovasi Negara (DSTIN) 2021–2030
Visi & Misi
Visi Dasar Pendidikan Digital adalah untuk melahirkan generasi fasih digital yang berdaya saing berdasarkan empat objektif utama
Objektif
Dasar Pendidikan Digital di Malaysia dibentuk bagi mencapai beberapa objektif utama KPM,iaitu;
- Membangunkan murid fasih digital untuk memenuhi keperluan era digital.
- Mengupayakan pendidik dan pemimpin pendidikan untuk mengintegrasikan teknologi digital dalam ekosistem pendidikan
- Memperkukuh infrastruktur, infostruktur dan kandungan pendidikan digital
- Mengoptimumkan pelibatan aktif rakan strategik sebagai pemangkin pendidikan digital
Selain itu, dasar pendidikan digital negara ini juga bertujuan untuk memperkukuh infrastruktur, infostruktur, dan kandungan pendidikan digital, serta mengoptimalkan penglibatan rakan strategik di semua peringkat pendidikan, termasuk prasekolah
6 Teras Dasar Pendidikan Digital
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah menetapkan enam teras dalam pelaksanaan Dasar Pendidikan Digital iaitu;
- Teras 1 : Murid Fasih Digital
- Teras 2 : Pendidik Kompeten Digital
- Teras 3 : Budaya Kepemimpinan Digital Berwawasan
- Teras 4 : Pengupayaan Infrastruktur dan Infostruktur
- Teras 5 : Kandungan Digital Berkualiti
- Teras 6 : Rakan Strategik yang Komited
Dasar Pendidikan Digital (DPD) merupakan komitmen kerajaan kepada pembangunan pendidikan yang mampan bagi menggalakkan penggunaan teknologi digital secara bersepadu, kreatif, inovatif,bertanggungjawab dan beretika dalam sistem pendidikan dari peringkat prasekolah hingga lepasan menengah.
Keberhasilan pelaksanaan dasar ini juga dapat menyokong dan berkesinambungan dengan aspirasi Lonjakan 9: “Pembelajaran Dalam Talian Tahap Global” di bawah Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015 – 2025 (Pendidikan Tinggi), iaitu model pembelajaran bersepadu (blended learning) akan menjadi pendekatan pedagogi utama semua institusi pendidikan tinggi.
Kerjasama pihak berkepentingan amat diperlukan bagi mengoptimumkan manfaat pendidikan digital. Penggemblengan tenaga perlu dipertingkatkan untuk memupuk, memugar serta menyuburkan ekosistem pendidikan digital bagi melahirkan generasi fasih digital yang berdaya saing pada masa hadapan.
Strategi Dasar Pendidikan Digital Negara
Untuk memastikan pelaksanaan dasar ini dapat dilaksanakan dengan berkesan, 18 strategi telah disusun bagi menyokong enam teras asas DPD.
Cabaran Pelaksanaan
Setiap pembaharuan dasar, sudah pastinya akan terdapat cabaran-cabaran yang bakal dihadapi. Melalui garis masa Garis Masa Pelaksanaan Transformasi Pendidikan Digital KPM di Malaysia yang bermula sejak 1980
Tiga komponen utama menjadi teras bagi mewujudkan persekitaran pembelajaran yang mampan seperti yang berikut:
- Komponen infrastruktur dan teknologi merangkumi peranti,capaian,kesalinghubungan digital serta ruang dan kemudahan pembelajaran
- Komponen infostruktur merangkumi kandungan pembelajaran, pedagogi,latihan, penyelidikan, aplikasi dan pelantar pembelajaran
- Komponen sinergi pihak berkepentingan merangkumi murid, pendidik,pemimpin sekolah, ibu bapa, komuniti dan rakan strategik sama ada dalam sektor awam mahupun sektor swasta
Cabaran yang memerlukan perubahan ini merupakan asas untuk merangka teras, strategi dan inisiatif dalam DPD. Terdapat enam keperluan bagi menghadapi cabaran ini, iaitu:
- Keperluan menghasilkan murid yang berbakat dan berupaya menggunakan teknologi digital
- Keperluan menyediakan guru yang berkemahiran digital untuk melaksanakan PdP
- Keperluan kepemimpinan institusi pendidikan yang berwawasan
- Keperluan mewujudkan persekitaran yang kaya teknologi (technology-rich environment)
- Keperluan mengintegrasikan teknologi digital bagi membentuk kurikulum
- Keperluan memperkasakan sokongan rakan strategik
Baca juga buku Guru Hebat Penjana Transformasi Pendidikan Negara
Maklumat Lanjut
Maklumat lanjut mengenai Dasar Pendidikan Digital (DPD) ini anda boleh muat turun melalui file PDF yang disediakan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia menerusi pautan berikut https://www.moe.gov.my/muat-turun/dasar/
Atau anda juga boleh layari laman sosial KPM di ;
- Facebook : @KemPendidikan
- Instagram : @kempendidikan
- X : @KemPendidikan