Biodata Lee Zii Jia, Atlet Badminton Negara
Nama Lee Zii Jia sering menjadi tumpuan setiap kali berlangsungnya temasya sukan antarabangsa.
Sejak berusia 13 tahun, beliau telah menunjukkan bakat yang luarbiasa dalam sukan badminton. Ayuh kita kenali atlet badminton negara ini dengan lebih lanjut.
Biodata Lee Zii Jia, Atlet Badminton Negara
Nama Penuh : Lee Zii Jia
Tarikh Lahir : 29 Mac 1998
Umur : 25 tahun (2023)
Tempat Lahir : Alor Setar, Kedah
Tinggi : 186 cm
Berat : 78 kg
Ibu bapa : Lee Chee Hin & Leow Siet Peng
Pendidikan : Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Keat Hwa, Alor Setar, Kedah, Sekolah Sukan Bukit Jalil
Pencapaian
- 2022 Thailand Open (pingat emas)
- 2022 Badminton Asia Championships (pingat emas)
- 2021 All England (pingat emas)
- 2019 Sukan SEA (pingat emas)
- 2016 World Junior Championships (pingat perak- bergu campuran), (pingat gangsa-individu lelaki)
Perjalanan Karier Lee Zii Jia
Atlet kelahiran Kedah ini telah mula didedahkan pada dunia badminton seawal usia 6 tahun lagi.
Ketika itu, bapanya hanya berniat mengajak Lee Zii Jia untuk beriadah di kelab badminton semata-mata. Namun, lama kelamaan Lee makin jatuh cinta pada sukan tersebut dan mengambil keputusan untuk melibatkan diri secara lebih serius.
Lee mula bermain badminton secara profesional pada usianya 13 tahun. Bakat beliau terserlah apabila dinobatkan sebagai juara junior di Terbuka Badminton Perak dan Selangor pada 2015. Kejayaan ini sekaligus membuka haluan kepada Lee untuk menyertai Persatuan Badminton Malaysia (BAM).
Beliau merangkul kemenangan peringkat antarabangsa ketika usianya 19 tahun iaitu pingat gangsa dalam temasya Victor Polish International 2017.
Nama Zii Jia turut menjadi sebutan apabila berjaya menjuarai kejohanan badminton All England 2021 sambil menewaskan juara bertahan dari Denmark, Viktor Axelson.
Kemenangan ini turut menjadikan atlet dari Alor Setar ini sebagai pemain badminton Malaysia kedua memenangi gelaran tersebut selepas Lee Chong Wei pada 2017.
Atas pencapaian yang cukup cemerlang, Zii Jia juga pernah dianggap sebagai pengganti kepada jaguh badminton negara, Datuk Wira Lee Chong Wei.
Namun, beliau enggan disamakan dengan atlet senior itu. Sebaliknya, beliau melihat Lee Chong Wei sebagai idola yang sering memberikan semangat dan nasihat kepadanya.
Temasya Sukan Olimpik Tokyo 2020 merupakan acara Olimpik pertama yang disertai oleh Lee bagi acara badminton individu lelaki namun tewas di tangan Chen Long yang mewakili China.
Namun begitu, Zii Jia tidak berputus asa dan optimistik untuk merangkul emas bagi Sukan Olimpik Paris 2024.
Pada awal 2022, Zii Jia dilaporkan telah meletakkan jawatan sebagai pemain badminton bagi Persatuan Badminton Malaysia (BAM) kerana ingin menguruskan karier sukannya secara bebas.
Yang terkini, Zii Jia berjaya mara ke suku akhir bagi acara individu lelaki pada Sukan Asia Hangzhou 2023 setelah menumbangkan juara dunia dari Thailand, Vitidsarn Kunlavut.
Berdasarkan ranking dunia, Lee Zii Jia kini mengungguli tempat ke-16 setakat ini.
Sama-sama kita berikan sokongan kepada atlet negara. Untuk ketahui perkembangan terkini mengenai Lee Zii Jia, sila ikuti laman media sosialnya di Facebook dan Instagram.
Baca Juga : Aaron Chia, Soh Wooi Yik : Profil & Biodata Pemain Badminton Malaysia