Doa Dhuha & Panduan Solat Sunat Dhuha Lengkap  

Doa Dhuha & Panduan Solat Sunat Dhuha Lengkap  

Solat sunat Dhuha merupakan satu ibadah yang sangat digalakkan di kalangan umat Islam.

Ia juga sering dikenali sebagai salah satu amalan pembuka rezeki dan terkandung banyak fadhilatnya.

Kelebihan Solat Sunat Dhuha

Terdapat pelbagai hadis yang menyatakan kelebihan solat sunat Dhuha untuk diamalkan oleh umat Islam setiap hari.

Antara kelebihannya adalah :

i. Merupakan wasiat oleh Nabi Muhammad SAW

Nabi SAW telah mewasiatkan kepada Abu Hurairah RA agar tidak meninggalkan solat Dhuha ini:

أَوْصَانِيْ خَلِيلِي صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِثَلاَثٍ: صِيَامِ ثَلاَثَةِ أَيَّامٍ مِنْ كُلِّ شَهْرٍ، وَرَكْعَتَي الضُّحَى، وَأَنْ أُوتِرَ قَبْلَ أَنْ أَنَامَ

Maksudnya: “Kekasihku (Muhammad SAW) mengingatkan akan daku supaya melakukan tiga perkara iaitu: berpuasa tiga hari pada setiap bulan, melaksanakan solat Dhuha sebanyak dua rakaat dan melakukan solat Witir sebelum tidur.” [Riwayat al-Bukhari (1880) dan Muslim (721)]

Doa Dhuha & Panduan Solat Sunat Dhuha Lengkap  

ii. Menyamai Sedekah Terhadap 360 Sendi

Selain itu, dua rakaat solat Dhuha memiliki fadhilat pahala yang menyamai sedekah terhadap 360 sendi di dalam badan kita.

Hadith ini diriwayatkan oleh Imam Muslim:

Daripada Abi Zar RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

يُصْبِحُ عَلَى كُلِّ سُلَامَى مِنْ أَحَدِكُمْ صَدَقَةٌ، فَكُلُّ تَسْبِيحَةٍ صَدَقَةٌ، وَكُلُّ تَحْمِيدَةٍ صَدَقَةٌ، وَكُلُّ تَهْلِيلَةٍ صَدَقَةٌ، وَكُلُّ تَكْبِيرَةٍ صَدَقَةٌ، وَأَمْرٌ بِالْمَعْرُوفِ صَدَقَةٌ، وَنَهْيٌ عَنِ الْمُنْكَرِ صَدَقَةٌ، وَيُجْزِئُ مِنْ ذَلِكَ رَكْعَتَانِ يَرْكَعُهُمَا مِنَ الضُّحَى

Maksudnya: “Pada pagi hari, setiap sendi salah seorang daripada kamu memerlukan kepada sedekah. Maka setiap tasbih (subhanallah) itu adalah sedekah, setiap tahmid (alhamdulillah) itu adalah sedekah, setiap takbir (allahuakbar) itu adalah sedekah, menyuruh berbuat perkara yang baik adalah sedekah, melarang daripada perkara yang mungkar adalah sedekah. Dan semua itu cukup (bersedekah kepada semua sendi itu) dengan dua rakaat yang telah didirikan oleh seseorang itu daripada solat Dhuha.” [Riwayat Muslim (720)]

iii. Diberi Kecukupan

Daripada Nu’aim bin Hammar RA, bahawa Nabi SAW meriwayatkan daripada Allah SWT, firman Allah SWT:

يَا ابْنَ آدَمَ، لَا تُعْجِزْنِي مِنْ أَرْبَعِ رَكَعَاتٍ فِي أَوَّلِ نَهَارِكَ، أَكْفِكَ آخِرَهُ

Maksudnya: “Wahai anak Adam! Janganlah kamu tinggalkan untukku 4 rakaat pada awal siangmu. Nescaya aku akan cukupkan bagimu di akhir siangmu.” 

[Riwayat al-Tirmizi (475) dan Abu Daud (1289)][Hadith ini dinilai hasan gharib oleh Imam al-Tirmizi. Adapun Syeikh Syu’aib al-Arna’outh menilai hadith ini sebagai sahih kerana perawi-perawinya adalah thiqah]

Berikut dikongsikan panduan lengkap bagi solat sunat Dhuha serta panduan doa Dhuha sebagai rujukan.

Baca Juga : Cara Mandi Wajib : Rukun & Panduan Lengkap (JAKIM)

Waktu Solat Dhuha

Waktu solat sunat Dhuha boleh dilaksanakan bermula pada terbitnya matahari (selepas waktu syuruk/ sekitar jam 8.00 pagi) sehingga sebelum tergelincir matahari (sebelum masuk waktu Zohor).

Bilangan Rakaat Solat Sunat Dhuha

Solat sunat ini boleh dilakukan dengan dua rakaat paling sedikit, kemudian empat, enam lapan sehingga 12 rakaat paling banyak.

Menurut Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, bilangan rakaat paling afdhal bagi Solat Sunat Dhuha adalah sebanyak 8 rakaat, berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ummu Hani’ bin Abi Thalib R.Anha beliau berkata :

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم يَوْمَ الْفَتْحِ صَلَّى سُبْحَةَ الضُّحَى ثَمَانِيَ رَكَعَاتٍ يُسَلِّمُ مِنْ كُلِّ رَكْعَتَيْنِ

Maksudnya : Sesungguhnya Rasulullah S.A.W melaksanakan solat dhuha pada hari Fathu Makkah (pembukaan kota Makkah) sebanyak lapan rakaat yang mana baginda memberi salam setiap kali selepas dua rakaat.

Riwayat Abu Daud (1290)

Imam Al-Nawawi berkata : Para ashab kami dan jumhur ulama berdalilkan dengan hadis ini dalam menyatakan istihbab (galakan) melakukan Solat Sunat Dhuha sebanyak lapan rakaat.

doa dhuha

 Cara Solat Dhuha Serta Doa Dhuha

Berikut merupakan panduan solat sunat Dhuha serta doa lengkap :

1. Lafaz Niat

أُصَلِّي سُنَّةَ الضُّحَي رَكْعَتَين ِللهِ تَعَاليَ

Bacaan Rumi : Usollii sunnatadh-dhuhaa rak’ataini lillaahi ta’aalaa

Ertinya: ”Sahaja aku Solat Sunat Dhuha dua rakaat, kerana Allah Taala.”

2. Membaca Surah Al-Fatihah

Setelah takbiratul ihram, baca surah al-Fatihah seperti biasa.

3. Membaca Surah

Ringkasnya, kita boleh membaca mana-mana surah yang dihafal dalam semua solat sunat.

Namun antara surah-surah yang dianjurkan ulama dalam solat dhuha ialah:

  • Ayat Kursi (Rakaat Pertama) dan Al-Ikhlas (Rakaat Kedua) atau;
  • As-Syams (Rakaat Pertama) dan Ad-Dhuha (Rakaat Kedua) atau;
  • Al-lail (Rakaat Pertama) dan Al-Insyirah (Rakaat Kedua).

Kemudian solat diteruskan seperti biasa sehingga cukup 2 rakaat.

4. Bacaan Semasa Sujud Akhir

Pada sujud akhir sebelum tahiyat akhir, boleh dibacakan zikir berikut:

Bacaan Rumi : Wahab Li Ya Wahhab Ilman Wa Hikmatan War Zurqni Ya Razzaq Kulli Musahala

Maksudnya: Berikan kepadaku, wahai Tuhan yang Maha Memberi akan ilmu dan hikmah & murahkanlah rezeki kepadaku, wahai Tuhan yang Maha Pemberi Rezeki. Jadikanlah ia mudah bagiku.

Nota : Bacaan ini tidak wajib. Solat sunat tetap sah walaupun tidak tidak dibacakan zikir semasa sujud.

Selepas melengkapkan solat mengikut bilangan rakaat yang diinginkan, ucapkan istighfar.

Doa Dhuha

Seterusnya, anda boleh bacakan doa Dhuha seperti yang sering dibacakan oleh Rasulullah SAW.

Menurut hadis sahih dari ‘Aisyah radhiyallahu ‘anha, ia berkata bahawa Rasulullah SAW, di mana diriwayatkan selesai solat Dhuha, baginda membaca doa Dhuha / mengucapkan,

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِي، وَتُبْ عَلَيَّ، إِنَّكَ أَنْتَ التَّوَّابُ الرَّحِيْمِ

Bacaan Rumi : Allahummagh fir lii wa tub ‘alayya, innaka antat tawwabur rahiim

Ertinya: Ya Allah, ampunilah aku dan terimalah taubatku, sesungguhnya Engkau Maha Penerima Taubat lagi Maha Penyayang) sampai baginda membacanya seratus kali.

(HR. Bukhari dalam Al-Adab Al-Mufrad, no. 619. Syaikh Al-Albani mengatakan bahwa hadis ini sanadnya sahih.)

Anda juga boleh membacakan doa dhuha ini:

اَللهُمَّ اِنَّ الضُّحَآءَ ضُحَاءُكَ،
وَالْبَهَاءَ بَهَاءُكَ،
وَالْجَمَالَ جَمَالُكَ، وَالْقُوَّةَ قُوَّتُكَ،
وَالْقُدْرَةَ قُدْرَتُكَ،
وَالْعِصْمَةَ عِصْمَتُكَ.
اَللهُمَّ اِنْ كَانَ رِزْقَى فِى السَّمَآءِ فَأَنْزِلْهُ
وَاِنْ كَانَ فِى اْلاَرْضِ فَأَخْرِجْهُ
وَاِنْ كَانَ مُعَسَّرًا فَيَسِّرْهُ
وَاِنْ كَانَ حَرَامًا فَطَهِّرْهُ
وَاِنْ كَانَ بَعِيْدًا فَقَرِّبْهُ
بِحَقِّ ضُحَاءِكَ وَبَهَاءِكَ وَجَمَالِكَ وَقُوَّتِكَ وَقُدْرَتِكَ
آتِنِىْ مَآاَتَيْتَ عِبَادَكَ الصَّالِحِيْنَ

Semoga panduan solat sunat serta doa Dhuha ini dapat menjadi pembimbing serta pelindung daripada perkara-perkara yang dimungkari Allah SWT.

Ertinya :

Ya Allah, sesungguhnya waktu Dhuha itu waktu DhuhaMu, kecantikanny adalah kecantikanMu,
keindahan itu keindahanMu, kekuatan itu kekuatanMu,
kekuasaan itu kekuasaanMu dan perlindungan itu perlindunganMu.
Ya Allah, jika rezekiku masih di langit, turunkanlah, dan jika di dalam bumi, keluarkanlah,
jika sukar, permudahkanlah, jika haram, sucikanlah dan jika jauh, dekatkanlah.
Berkat waktu dhuha, kecantikan. keindahan, kekuatan, kekuasaanMu,
Limpahkan kepadaku segala yang Engkau telah limpahkan kepada hamba-hambaMu yang soleh.

Ayuh kita beramal dan beristiqamah dalam melakukan solat sunat dan doa Dhuha dalam kehidupan seharian.

Tambahan pula, ia merupakan ibadah sunnah Rasulullah SAW.

Luangkanlah sedikit masa walaupun sekadar dua rakaat. Semoga usaha kita untuk perbanyakkan ibadah sunat bakal mendapat ganjaran pahala seperti yang dijanjikan oleh Allah SWT.

SHARE DI WHATSAPP ATAU MEDIA SOSIAL:

Sertai Komuniti Kami

Dapatkan UPDATE terkini lebih pantas terus ke emel anda!