Cara Mandi Wajib : Rukun & Panduan Lengkap (JAKIM)

Setiap umat Islam yang sudah baligh perlu ambil tahu cara mandi wajib yang lengkap dan betul.

Mandi wajib yang juga dikenali sebagai mandi junub serta mandi hadas ini juga tidak boleh dipandang ringan.

Untuk memastikan ibadah kita diterima Allah, kita perlulah memastikan mandi wajib yang dilaksanakan sempurna dan sah.

Ikuti perkongsian kami untuk ketahui mengenai cara mandi wajib yang betul.

cara mandi wajib

Keperluan Untuk Mandi Hadas

Umat Islam diwajibkan untuk mandi hadas apabila berlakunya perkara-perkara berikut :

  • Jimak iaitu melakukan persetubuhan (bertemu dua khitan) apabila zakar dimasukkan ke dalam faraj walaupun tidak keluar air mani.
  • Keluar air mani walaupun zakar tidak dimasukkan ke dalam faraj. Begitu juga keluar air mani kerana bermimpi syahwat (wet dream)
  • Keluar darah Haid bagi wanita.
  • Nifas iaitu darah yang keluar dari faraj wanita ketika melahirkan anak (Wiladah)
  • Wiladah – wanita yang melahirkan anak.
  • Mati kecuali mati syahid
  • Masuk Islam orang dari ajaran sebelumnya (kafir)

Rukun Mandi Wajib

  • Niat dengan tujuan membezakan ibadat dan adat.
  • Menghilangkan kotoran dan najis pada badan
  • Meratakan air ke seluruh anggota badan yang zahir termasuk segala lipatan-lipatan badan. (Sayyid Sabiq, Fiqh Sunnah)

Niat Mandi Wajib

cara mandi wajib

Bacaan Rumi : Nawaitu Raf’al hadathil akbari lillahi ta’ala.

Maksud: Sahaja aku mengangkat hadas besar kerana Allah Taala.

Niat ini hendaklah disertakan ketika air sampai ke bahagian anggota badan.

Lafaz Niat Yang Lain

i. Untuk Mandi Junub

Bacaan Rumi : Nawaitul ghusla ‘anil janabati lillahi ta’ala

Maksud : Sahaja aku mandi junub kerana Allah Taala

ii) Untuk Mandi Wajib Kerana Haid

cara mandi wajib

Bacaan Rumi : Nawaitul ghusla ‘anil haidhi lillahi ta’ala

Maksud : Sahaja aku mengangkat hadas haid kerana Allah Taala

Untuk Mandi Wajib Setelah Tamat Nifas

Bacaan Rumi : Nawatul ghusla ‘aninnafaasi lillahi ta’ala

Maksud : Sahaja aku mengangkat hadas nifas kerana Allah Taala

Baca Juga : Bacaan Dalam Solat Serta Maksudnya Yang Perlu Kita Tahu

Cara Mandi Wajib / Langkah-Langkah Mandi Wajib Sempurna

Berikut dikongsikan cara mandi wajib yang sempurna mengikut panduan daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) :

1. Niat ketika air sampai ke tubuh

2. Membaca “Bismillah”

3. Mencuci tangan sebanyak tiga kali

4. Mencuci kemaluan dengan tangan kiri

5. Membersihkan atau menyucikan tangan kiri dengan sabun

6. Berwuduk. Wuduk boleh dilakukan seperti wuduk biasa sepertimana biasa dilakukan sebelum melakukan solat. Ataupun boleh menangguhkan mencuci kaki selepas selesai mandi.

7. Membasuh kepala dengan mengusap rambut secara meratakan kepala lau siram 3 kali dengan air. Ini berdasarkan hadith dari ‘Aisyah (R.A) di dalam Sahih al-Bukhari yang maksudnya:

“Kemudian Baginda SAW memasukkan jari-jarinya ke dalam air, kemudian mengusap rambutnya, kemudian menyiram kepalanya 3 kali dengan kedua-dua tangannya”

Ketika menyiram kepala, hendaklah dimulai dengan bahagian kanan, kemudian bahagian kiri dan seterusnya bahagian tengah kepala. Ini berdasarkan hadith ‘Aisyah (R.A) yang maksudnya:

“Baginda menyiram kepalanya di bahagian kanan, kemudian bahagian kiri”

Bagi wanita yang mandi untuk haid atau mandi junub, perlu melepaskan ikatan rambut tersebut. Ini pula berdasarkan hadith ‘Aisyah (R.A) di dalam Sahih al-Bukhari di mana beliau kedatangan haid ketika menunaikan haji. Lalu Baginda Rasulullah SAW berkata sedemikian:

“Tinggalkanlah umrahmu, lepaskanlah ikatan rambutmu (ketika mandi) dan sisirlah rambutmu”

8. Memulakan dengan bahagian kanan tubuh.

Dari ‘Aisyah (R.A): “Sesungguhnya Rasulullah SAW suka mendahulukan bahagian kanan pada semua urusannya, ketika memakai kasut, ketika bersikat dan ketika bersuci”. (Sahih Muslim)

9. Meratakan air ke seluruh tubuh badan

10. Berwuduk jika hendak mengerjakan solat fardhu. Perbezaan antara mandi wajib dengan mandi sunat hanyalah pada niatnya sahaja. Cara kaedah mandi adalah sama.

Sumber:

  • Majalah Cahaya, Bil 106, Tahun 24, Isu 3/2012, Bahagian Penerbitan, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)
  • Portal myHadith JAKIM
SHARE DI WHATSAPP ATAU MEDIA SOSIAL:

Sertai Komuniti Kami

Dapatkan UPDATE terkini lebih pantas terus ke emel anda!