Contoh Teks Pengacara Majlis Ringkas & Padat

Contoh Teks Pengacara Majlis Lengkap (Majlis Perasmian/Penutup, Persaraan Guru, Anugerah Cemerlang)

Adakah anda sedang mencari contoh teks ucapan majlis untuk program atau acara yang bakal diadakan tak lama lagi?

Sesungguhnya, tanpa teks atau ucapan, tak akan lengkap sesebuah majlis rasmi tersebut. Dengan itu, di sini kami ingin kongsikan beberapa contoh teks pengacara majlis sebagai rujukan.

Mari sama-sama kita semak beberapa teks pengacara majlis berdasarkan majlis-majlis yang sering diadakan.

Baca Juga : Contoh Ucapan ‘Selamat Hari Lahir’ Untuk Ibu, Ayah, Romantik, dll

Contoh Teks Pengacara Majlis Lengkap (Majlis Perasmian/Penutup, Persaraan Guru, Anugerah Cemerlang)

teks pengacara majlis
Sumber gambar : https://www.japantimes.co.jp/

Teks Majlis Perasmian/Penutup

Mengumumkan ketibaan Yang Berbahagia ___ diiringi oleh dif-dif jemputan berarak masuk ke dewan.

Hadirin sekalian dipersilakan untuk terus berdiri bagi menyanyikan lagu Negaraku dan lagu negeri __.

Hadirin sekalian dipersilakan duduk.

Ke Pekan Kuala membeli bingka,

Burung merbah di pohon cemara,

Majlis bermula tirai dibuka,

Assalamualaikum pembuka bicara.

Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum wbt dan salam sejahtera diucapkan buat semua para hadirin.

Yang Berbahagia _____, Yang Berusaha ___, barisan ahli jawatankuasa dan seterusnya para peserta yang dikasihi sekalian.

Setinggi-tinggi kesyukuran kepada Rahmat Pencipta kerana di atas limpah kurnia dan rahmat-Nya kita dapat bersama-berkumpul pada hari ini bagi menghadiri Majlis Perasmian/Penutupan Program ____ bagi tahun __.

Hadirin yang dimuliakan,

Bagi memberkati majlis penyampaian hadiah pada hari ini, majlis ingin menjemput Al Fadhil Ustaz ___ untuk membacakan doa.

Amin Ya Rabbal Alamin. Majlis mengucapkan terima kasih kepada Al Fadhil Ustaz __ atas bacaan doa sebentar tadi.

Seterusnya, majlis mempersilakan ___, wakil peserta program bagi menyampaikan sepatah dua kata. Dipersilakan.

Terima kasih saudara/saudari atas ucapan itu tadi.

Hadirin sekalian, marilah kita sama-sama menyaksikan video ringkas sepanjang berlangsungnya program ini. Dipersilakan.

Terima kasih diucapkan atas persembahan multimedia tadi.

Seterusnya, majlis menjemput Yang Berusaha ____ untuk menyampaikan ucapan. Dengan segala hormatnya dipersilakan.

Majlis mengucapkan jutaan terima kasih atas ucapan tadi.

Memulakan bingkisan ucapan, majlis seterusnya menjemput Yang Berbahagia ___ untuk menyampaikan ucapan dan seterusnya merasmikan majlis perasmian / penutupan program ___. Dengan segala hormatnya, dipersilakan.

Majlis merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih atas ucapan itu tadi.

Seterusnya, majlis sekali lagi mempersilakan Yang Berbahagia ___ diiringi oleh dif-dif jemputan bagi menyampaikan sijl penyertaan kepada para peserta.

Untuk itu dipersilakan wakil kumpulan / peserta __

Majlis mengucapkan terima kasih atas penyampaian sijil penyertaan itu tadi.

Seterusnya, majlis mempersilakan Yang Berusaha ___, bagi menyampaikan cenderahati kepada Yang Berbahagia ____. Dipersilakan.

Majlis mengucapkan terima kasih atas penyampaian cenderamata itu tadi.

Hadirin sekalian,

Dengan berakhirnya penyampaian cenderamata itu tadi, maka berakhirlah majlis kita pada hari ini.

Akar keladi melilit selasih,

Selasih tumbuh di tepi jambangan,

Kalungan budi junjungan kasih,

Mesra kenangan sepanjang zaman.

Dengan itu, maka sempurna sudah majlis kita pada hari ini. Saya mewakili jawatankuasa program memohon ampun ke atas salah dan silap sepanjang pengendalian majlis.

Assalamualaikum warahmatullah wabarakatuh.

Sekian terima kasih dan salam hormat.

Teks Ucapan Majlis Persaraan Guru

contoh teks pengacara majlis

Assalamualaikum warahmatullah wabarakatuh dan selamat sejahtera.

Yang Diraikan Yang Berbahagia ___

Yang Berusaha ____, Ahli- ahli jawatankuasa PIBG SMK __ serta  anak-anak pelajar yang dikasihi sekalian.

Alhamdulillah, setinggi-tinggi kesyukuran dirafakkan kepada Yang Maha Esa kerana dengan limpah dan kurniaNya dapat kita bersama pada pagi yang berbahagia ini untuk meraikan majlis persaraan pengetua/guru yang kita kasihi ___. Semoga majlis yang bermakna ini akan menjadi memori di hati kita warga SMK ___.

Hadirin yang dimuliakan,

Terlebih dahulu, saya mewakili warga sekolah terutamanya para pendidik merakamkan rasa terharu atas perpisahan ini.

Suasana seakan redup dan keindahannya seakan hilang apabila nanti pengetua/guru kita Yang Berbahagia __ berlalu meninggalkan sekolah ini.

Walaupun hati masih lara, namun kami semua reda dengan persaraan Yang Berbahagia ___.

Persaraan ini merupakan detik paling bahagia untuk Yang Berbahagia ___.

Hadirin yang dirahmati,

Kami percaya walaupun amat berat dan menyedihkan namun perpisahan sebenarnya mengajar kita erti keikhlasan serta kedewasaan dalam kehidupan.

Justeru, kita pasti akan mengenang kembali saat-saat ketika bersama dan tetap akan menjadi satu memori yang tidak akan dilupakan sampai bila-bila.

Begitu juga halnya dengan keberadaan kita bersama-sama Yang Berbahagia ____, semuanya akan terhimpun menjadi sejarah dan terukir jitu dalam sanubari semua warga SMK ___.

Hadirin yang dikasihi,

Yang Berbahagia ___ bukan sahaja berperanan sebagai pengetua/guru, tetapi pemimpin dalam keluarga SMK ___, malah Yang Berbahagia ___ juga ialah ibu yang menjadi tonggak menerajui kita semua ke arah kecemerlangan. Masa berlalu begitu pantas, tidak terasa sudah _ tahun Yang Berbahagia __ menabur jasa dan bakti di sekolah ini.

Akibat kesibukan dengan tugas seharian dan pelbagai komitmen yang kita tempuhi, menyebabkan kita tidak terasa dan tidak perasan begitu pantasnya tempoh perkhidmatan Yang Berbahagia ___ sebagai pengetua telah berakhir.

Anak ikan berlima-lima,

Mati ditimpa punggur berdaun,

Kasihnya __ kami terima,

Sebagai hutang seribu tahun.

Hadirin yang dimuliakan,

Peribadi yang lembut, tenang dan penuh pengertian menjadi sanjungan.

Itulah frasa yang tepat bagi menggambarkan keperibadian Yang Berbahagia __. Perwatakan mithali inilah yang menyebabkan Yang Berbahagia __ sentiasa mendapat tempat utama di hati semua warga SMK __.

Hadirin yang dikasihi,

Sepanjang tempoh perkhidmatan Yang Berbahagia __ di sekolah ini, terlalu banyak sumbangan serta pembangunan yang telah ditaburkan bagi kemajuan sekolah baik dari segi akademik, kokurikulim mahupun pembinaan modal insan.

Yang Berbahagia ___ tidak lokek dengan ilmu pengetahuan, malah segala pendapat dan pandangan kami sentiasa akan diperhalusi dan diterima dengan hati yang terbuka. (Kongsikan jasa serta sumbangan pengetua / guru yang diraikan)

Hadirin yang dirahmati,

Tak tumbuh tak melata, tak sungguh orang tak kata. Kami sebagai warga SMK ___ amat berbangga menerima kepimpinan beliau.

Walaupun beliau akan bersara, namun ketokohan, kecemerlangan dan dedikasi beliau telah memberi suntikan semangat kepada kami dalam meneruskan tanggungjawab yang telah diamanahkan.

Burung kedidi disambar helang,

Bawa naik ke pohon tinggi,

Budi __ mana nak hilang,

Sudah mesra di dalam hati.

Kita semua pasti akan merindui gelak tawa dan senyuman manis Yang Berbahagia __ selepas ini di sekolah. Semoga silaturrahim ini akan berkekalan sepanjang zaman.

Pada kesempatan ini,

saya bagi pihak semua warga SMK __ merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan

terima kasih yang tidak terhingga kepada Yang Berbahagia__ atas sumbangan dan komitmen sepanjang tempoh perkhidmatan di sekolah ini.

Kami berdoa semoga Allah SWT akan melimpahkan rahmatNya dan peliharaanNya kepada Yang Berbahagia __, dipanjangkan usia, diberikan kesihatan tubuh badan dan dipermudahkan segala urusan pada setiap masa.

Semoga Allah mengganjari kebaikan atas usaha murni yang telah Yang Berbahagia __ sumbangkan.

Sabda Rasululah “Barangsiapa menunjukkan seseorang kepada kebaikan, maka dia dapat ganjaran sebagaimana ganjaran orangorang yang melakukannya” (Riwayat Muslim)

Selamat Bersara __ daripada Kami semua Warga SMK __.

Wabilhitaufik Walhidayah Wasalamualikum Warah Matullah Hiwa Barakatuh.

Sekian terima kasih.

Contoh Teks Pengacara Majlis Bagi Majlis Anugerah Cemerlang

contoh teks pengacara majlis
Kredit : Facebook MRSM Alor Gajah – Page Rasmi

Mengumumkan ketibaan tetamu kehormat majlis Yang Berbahagia ______, diiringi oleh guru-guru SMK __.

Majlis dimulakan dengan nyanyian lagu Negaraku, lagu negeri ___ dan lagu sekolah. Hadirin diminta berdiri.

Majlis mengucapkan terima kasih kepada tetamu kehormat kita pada hari ini Yang Berbahagia / Yang Berhormat/ Yang Berusaha ____ kerana sudi hadir dalam majllis Hari Anugerah Cemerlang SPM bagi SMK __ pada tahun ini.

Selamat datang juga diucapkan kepada semua tetamu, ibu bapa serta hadirin hadirat sekalian. Semoga dengan kehadiran semua, maka majlis ini lebih bermakna dan berseri.

Indah berbalam si awan petang,

Berarak di celah pohon cemara,

Pemanis kalam selamat datang,

Awal bismillah pembuka bicara.

Bagi memberkati majlis penyampaian hadiah pada hari ini, majlis ingin menjemput Al Fadhil Ustaz ___ untuk membacakan doa.

Amin Ya Rabbal Alamin. Majlis mengucapkan terima kasih kepada Al Fadhil Ustaz __ atas bacaan doa sebentar tadi.

Hadirin yang dihormati,

Tirai ucapan pada pagi ini, dimulakan dengan ucapan serta laporan daripada Pengetua SMK __ dan sekaligus merasmikan Majlis Penyampaian Anugerah Cemerlang SPM bagi tahun 2023. Untuk itu, majlis dengan segala hormatnya mempersilakan Yang Berusaha ____ untuk menyampaikan ucapan. Dipersilakan.

Majlis merakamkan ucapan terima kasih kepada Yang Berusaha ___ atas kesudian menyampaikan ucapan sebentar tadi.

Seterusnya, majlis dengan penuh takzimnya mempersilakan tetamu kehormat kita diiringi oleh tuan pengetua untuk memukul gong sebagai simbolik perasmian Hari Anugerah Cemerlang 2023. Dipersilakan.

Hadirin dan hadirat yang dihormati,

 Kini, tibalah kita ke acara penyampaian anugerah kepada para pelajar dan guru-guru yang telah pun menyumbang kepada kecemerlangan bidang akademik SMK ____.  Bagi menyempurnakan upacara ini, majlis dengan segala hormatnya mempersilakan Yang Berhormat ____ diiringi oleh ____ untuk menyampaikan anugerah kepada pelajar cemerlang.

Dimulakan dengan kategori Pelajar Terbaik Keseluruhan, majlis mempersilakan saudara/saudari ____. Untuk makluman saudara/saudari telah mencatatkan keputusan ___ dalam peperiksaan SPM lalu. Setinggi-tinggi tahniah diucapkan.

Kita beralih pula ke kategori seterusnya iaitu bagi para pelajar yang mendapat pencapaian keputusan SPM dengan keputusan A+ dan A. Berikut merupakan senarai para pelajar yang mencatatkan keputusan cemerlang A+ dan A.

Syabas diucapkan buat para pelajar.

Majlis penyampaian anugerah berhenti rehat seketika bagi memberi laluan kepada persembahan pelajar / multimedia.

Majlis mengucapkan ribuan terima kasih kepada ___ atas persembahan sebentar tadi.

Seterusnya, majlis penyampaian hadiah akan diteruskan dengan penyampaian hadiah bagi kategori pelajar dengan keputusan A dan A-. Para penerima anugerah diminta bersedia untuk menerima anugerah.

Majlis merakamkan ucapan terima kasih kepada ___ atas kesudian menyempurnakan hadiah sebentar tadi.

Sekali lagi tahniah diucapkan buat semua penerima anugerah pelajar cemerlang SPM pada tahun ini. Semoga pencapaian saudara dan saudari dapat menjadi pemangkin kepada kejayaan yang lebih besar pada masa akan datang.

Hadirin sekalian, dengan berakhirnya penyampaian hadiah itu tadi, maka sempurna sudah majlis kita pada hari ini.

Gugur menguning buah kuini,

Menghijau pohon subur dibaja,

Majlis kita berakhir di sini,

Salah dan silap lupakan saja.

Sebarang kelemahan harap dimaafi, Terima kasih sekalung budi, kenangan indah simpanlah di hati. Semoga kita berjumpa lagi.

 Bagi pihak Sekolah ___, kami mengucapkan jutaan terima kasih kepada __ atas kesudian untuk menghadiri majlis penyampaian hadiah kepada Pelajar Cemerlang SPM 2023.

Jutaan terima kasih juga diucapkan kepada semua bagi menjayakan majlis ini.

Sekian, wabillahitaufik walhidayah. Assalamualaikumwarahmatullahiwabarakatuh

Semoga perkongsian contoh teks pengacara majlis ini dapat memberi inspirasi buat anda merangka program atau majlis yang bakal berlangsung.

Anda bebas untuk ubahsuai teks mengikut kesesuaian majlis yang ingin diadakan. Anda juga boleh menambah atau mengurangkan teks mengikut aliran program yang bakal diadakan. Semoga majlis yang ingin diadakan berjalan dengan lancar.

SHARE DI WHATSAPP ATAU MEDIA SOSIAL:

Sertai Komuniti Kami

Dapatkan UPDATE terkini lebih pantas terus ke emel anda!