Cara Sujud Syukur : Panduan Ringkas & Bacaan (JAKIM)

Cara Sujud Syukur : Panduan Ringkas & Bacaan (JAKIM)

Sujud merupakan salah satu rukun solat yang wajib dilakukan bagi semua umat Islam. Selain perbuatan sujud dalam solat, terdapat banyak jenis sujud yang boleh diamalkan seperti sujud tilawah, sujud sahwi dan sujud syukur.

Kali ini kita akan berbincang mengenai sujud syukur. Meskipun ia merupakan perbuatan yang ringkas, namun masih ada yang keliru mengenai cara untuk melakukannya.

Perlulah seseorang itu ada wudhuk dan menutup aurat seperti bersolat untuk melakukan sujud syukur? Untuk membahas soal ini, ayuh kita semak dengan lebih lanjut cara sujud syukur serta panduan ringkas untuk rujukan anda.

Dalil Sujud Syukur

Berdasarkan perkongsian daripada Mufti Wilayah Persekutuan ,dalil yang menunjukkan kepada pensyariatan sujud syukur adalah berdasarkan hadith Nabi SAW daripada Abu Bakrah RA:

أَنَّهُ كَانَ إِذَا جَاءَهُ أَمْرُ سُرُورٍ أَوْ بُشِّرَ بِهِ خَرَّ سَاجِدًا شَاكِرًا لِلَّهِ

Maksudnya: Adalah Nabi SAW ketika telah datang sesuatu perkara yang menggembirakan ataupun diceritakan sesuatu yang gembira dengannya akan turun sujud, bersyukur terhadap Allah SWT.

(Riwayat Abu Daud (2774), disahihkan oleh Al-Albaani)

Begitu juga diriwayatkan daripada para Sahabat yang mana turut juga melakukan sujud syukur ketika menerima satu perkhabaran yang gembira. Sebagai contoh, diriwayatkan bahawa Abu Bakar RA sujud syukur ketika pembukaan Yamamah.

Begitu juga Ali RA telah sujud syukur apabila mendapati bahawa Dzu al-Thudayyah berada dalam kawanan Khawarij. Seterusnya, diriwayatkan juga bahawa Ka’ab bin Malik telah sujud syukur ketika mana mendengar khabar bahawa taubatnya telah diterima oleh Allah SWT.

Baca Juga : Doa Dhuha & Panduan Solat Sunat Dhuha Lengkap  

Waktu Paling Sesuai Sujud Syukur

Mufti Wilayah Persekutuan turut berkongsi waktu paling sesuai untuk melaksanakan sujud syukur iaitu apabila seseorang berada dalam keadaan seperti berikut :

Ketika menerima kurniaan nikmat daripada Allah SWT seperti kelahiran anak, mendapat harta, lulus peperiksaan dengan cemerlang dan sebagainya.

Ketika terbebas daripada segala bala dan bencana seperti terselamat daripada kemalangan atau bencana alam.

Cara Sujud Syukur & Bacaan Ketika Bersujud

1. Berniat (Sahaja aku mengerjakan sujud syukur kerana Allah Taala)

2. Bertakbir sepertimana takbiratul ihram dengan mengangkat tangan kerana diqiyaskan dengan solat

3. Bertakbir sekali lagi tanpa mengangkat tangan untuk sujud

4. Sujud sekali seperti di dalam solat. Bacaan sujud syukur sama dengan bacaan sujud di dalam solat. Anda boleh bacakan doa ketika bersujud seperti yang dikongsikan oleh JAKIM seperti berikut.

Cara Sujud Syukur

5. Bangun dari sujud (dalam keadaan duduk antara dua sujud) lalu memberi salam.

Sujud Syukur Tanpa Wudhuk dan Tidak Menghadap Kiblat

Walaupun terdapat kaifiyat yang mengatakan sujud syukur ada seperti sujud di luar solat yang memerlukan seseorang untuk berwudhuk dan menghadap kiblat, namun terdapat juga perbahasan para ‘ulama mengenai sujud syukur tanpa wudhuk dan tanpa menghadap kiblat.

Berdasarkan perkongsian daripada Mufti Wilayah Persekutuan, ini merupakan pendapat kebanyakan salaf  serta sebahagian al-Malikiyyah.

Begitu juga ianya adalah pendapat jemaah muhaqqiq seperti Ibn Jarir al-Tabari, Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah, Ibn al-Qayyim, al-Syaukani dan al-San’ani.

Bagi yang berpendapat sedemikian, berikut adalah alasan serta justifikasi bagi menyokong pendapat mereka:

  1. Pendapat yang mengatakan bahawa sujud syukur memerlukan wudhu’ perlu mendatangkan dalil. Mengqiyaskan sujud syukur dengan solat adalah tidak tepat kerana sujud syukur itu adalah sujud dan bukannya seperti solat.
  2. Zahir hadith Abu Bakrah RA yang menunjukkan bahawa Nabi SAW terus sujud syukur tatkala menerima sesuatu yang menggembirakan Baginda. Tiada pula disebutkan perlunya dalam keadaan berwudhu’. Sekiranya memerlukan wudhu’ pasti akan diterangkan oleh Baginda SAW kerana berhajatkan kepadanya bahkan hadith menyebutkan Nabi SAW terus sujud tatkala menerima khabar yang gembira.
  3. Sujud syukur dilakukan apabila mendapat nikmat atau terselamat dari mudarat tanda syukur kepada Allah SWT. Ianya dilakukan secara serta merta. Jika memerlukan kepada wudhu’, sudah tentu ianya tidak dapat dilakukan dengan segera kerana perlu mencari air untuk berwudhu’, mencari kiblat kemudian barulah boleh melakukan sujud syukur. Ini boleh menghilangkan rahsia makna disyariatkan sujud syukur itu sendiri.

Jadi, dapatlah kita simpulkan yang sujud syukur boleh dilakukan tanpa berwudhuk dan menghadap ke kiblat memandangkan tiada dalil yang menjadi pemutus mengenai keperluan ini.

Namun, jika ingin beramal dengan pendapat yang mengatakan perlunya wudhuk serta menghadap kiblat juga tiada masalah kerana isu ini terdedah kepada perbahasan ilmiah yang boleh diperbahaskan lagi.

Semoga perkongsian cara sujud syukur ini dapat membantu anda untuk sempurnakan sujud syukur dengan lebih baik pada masa akan datang. Selamat beramal!

Sumber :

Mufti Wilayah Persekutuan

JAKIM

SHARE DI WHATSAPP ATAU MEDIA SOSIAL:

Sertai Komuniti Kami

Dapatkan UPDATE terkini lebih pantas terus ke emel anda!