Koleksi Ucapan dan Pantun Selamat Hari Ibu

Kasih ibu tiada tandingannya. Tanpa ibu, maka tiadalah kita di dunia ini. Kepada si ibu jugalah kita mengharapkan restu serta doa yang mustajab.

Pada tahun ini, kita akan menyambut Hari Ibu pada 14 Mei (Ahad). Hari istimewa ini disambut bagi meraikan pengorbanan serta jasa para ibu yang telah membesarkan kita sejak kecil.

Hari Ibu biasanya disambut pada hari Ahad kedua dalam bulan Mei di seluruh dunia, termasuklah di negara kita.

Namun, sebagai umat Islam, kita perlulah berbuat baik pada ibu setiap hari tanpa perlu menunggu Hari Ibu.

Namun, tidak salah untuk anda memberikan hadiah istimewa atau berkumpul bersama keluarga pada hari tersebut.

Sempena sambutan Hari Ibu yang bakal tiba tak lama lagi, di sini kami ingin kongsikan beberapa ucapan Selamat Hari Ibu untuk anda kongsikan buat ibu tercinta.

Baca Juga : Koleksi Pantun Hari Raya Aidilfitri Untuk Keluarga & Sahabat

Selamat Hari Ibu
Sumber gambar : Adobe

Contoh Ucapan Selamat Hari Ibu

Ibu,

Doamu tiada hijab,

Kurniakanlah restu kepada anakmu ini,

Maafkan aku yang ada kalanya mengingkari nasihatmu,

Tanpamu, takkan ku kenali erti kehidupan

Selamat Hari Ibu.


Tiada pelukan sehangat pelukan ibu,

Tiada doa semakbul doa ibu,

Tiada cinta sesuci kasih ibu,

Tanpa ibu, tiadalah ertinya hidup ini,

Semoga Allah memberkati setiap pengorbananmu


Kau selalu ada disisiku,

Di kala aku sedih,

Di kala aku gembira,

Di kala aku sihat,

Di kala aku sakit,

Mungkin kini aku tidak dapat bersamamu setiap hari,

Namun diri ini sentiasa mendoakanmu,

Selamat Hari Ibu.


Ibu,

Kasihmu selembut sutera,

Sesuci embun pagi,

Senyaman angin dinihari,

Siapalah diriku tanpa kau disisi,

Selamat Hari Ibu


Oh ibu,

Di kala semua meragukanku,

Kau sahaja yang mempercayai,

Di kala semua meninggalkanku,

Kau sahaja yang setia menemaniku,

Di kala semua membenciku,

Kau sahaja yang tetap mencintaiku,

Semoga Allah membalas segala kebaikanmu dengan syurga abadi.


Ibu yang kucintai,

Anakmu yang dahulu sekecil tapak tangan,

Kini mampu berbakti kepada dunia,

Namun segala kejayaan ini,

Tiada maknanya tanpa iringan doa daripadamu,

Ku dedikasikan kejayaan ini buatmu ibu,

Satu-satunya orang yang setia bersama dalam setiap jatuh bangunku.

Selamat Hari Ibu

Pantun Hari Ibu

Pisang emas di dalam peti,

Disimpan bersama buah delima,

Kasih ibu tiada pengganti,

Hanya satu di dalam dunia.


Beli susu ikat mati,

Untuk dibawa ke rumah nenda,

Cintailah ibu sepenuh hati,

Berbaktilah selagi dia masih ada


Harum sungguh aroma setanggi,

Baunya wangi sehingga melekat,

Dengan doa ibu mengiringi,

Hidup si anak semakin berkat


Pergi ke hutan di tengah hari,

Buat mencari pohon kekabu,

Ibarat lilin membakar diri,

Begitulah pengorbanan murni si ibu.


Sudah lama tidak bertemu,

Kini tubuhku dimamah usia,

Besar sekali pengorbananmu,

Hanya syurga yang setimpal membalasnya


Manis sungguh air tebu,

Lebih manis lagi senyuman kamu,

Sungguh besar pengorbananmu ibu,

Semoga Allah dirikan syurga untukmu

Selamat Hari Ibu

Semoga perkongsian ucapan Selamat Hari Ibu ini dapat memberi lebih makna buat anda menyambut hari istimewa bersama si ibu.

SHARE DI WHATSAPP ATAU MEDIA SOSIAL:

Sertai Komuniti Kami

Dapatkan UPDATE terkini lebih pantas terus ke emel anda!