TUBE : Program Tunas Usahawan Belia Bumiputera PEMERKASA Tahun 2022

Permohonan dalam talian Program Tunas Usahawan Belia Bumiputera @ PEMERKASA tahun 2022 kini di buka. Warganegara Bumiputera berusia 18 -30 tahun di pelewa untuk menyertai program ini. Cara mohon, semakan status kelayakan seperti di nyatakan di bawah. Tarikh tutup permohonan adalah pada 27 April 2022

 

Pengenalan Program Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE)

program tunas usahawan belia bumiputera 2022

Program ini merupakan inisiatif Kerajaan bagi menggalakkan generasi belia menceburi bidang perniagaan. Ia tercetus sewaktu Kongres Usahawan Muda Bumiputera pada 27 – 29 Mac 2014. Semasa Majlis Penutup Kongres pada 29 Mac 2014, YAB Perdana Menteri telah mengumumkan peruntukan berjumlah RM10 juta kepada SME Corp. Malaysia bagi melaksanakan Program Tunas Usahawan Bumiputera pada tahun 2014.

Program ini secara langsung menyokong dasar pembangunan belia negara yang mana keusahawanan merupakan antara bidang tumpuan utama untuk belia maju ke hadapan.

 

Maklumat Program Tunas Usahawan Belia Bumiputera

Program ini menyasarkan golongan belia Bumiputera yang berumur di antara 18 – 30 tahun yang mempunyai minat yang mendalam untuk melibatkan diri dalam bidang keusahawanan, khususnya belia yang mempunyai sijil kemahiran asas daripada institusi latihan atau pusat kemahiran tempatan. Objektif utama Program Tunas Usahawan Belia Bumiputera adalah untuk:

  1. Memupuk dan menanam semangat keusahawanan di kalangan belia
  2. Anjakan paradigma belia dari pencari pekerjaan kepada pemilik atau pengusaha perniagaan; serta
  3. Membentuk daya tahan dan jati diri di kalangan belia dalam mengendalikan perniagaan sendiri

Program TUBE ini direka khas bagi mempersiapkan belia yang ingin memulakan perniagaan agar mempunyai daya tahan dari segi mental dan fizikal, selain didedahkan dengan lanskap dan cabaran dunia perniagaan yang sebenar. Ini dilaksanakan menerusi tiga (3) Fasa pelaksanaan, iaitu :

Fasa Pertama

Peserta yang layak akan mengikuti latihan fizikal asas ala ketenteraan berkonsepkan bootcamp untuk menguji kecekalan minda, mempelajari cara membuat keputusan strategik, keberanian, penonjolan ciri kepimpinan serta semangat kerja berpasukan. Ini sebagai persediaan untuk menghadapi pelbagai cabaran yang bakal dihadapi semasa menjalankan perniagaan.

 

Fasa Kedua

Peserta akan didedahkan dengan lanskap perniagaan terkini; termasuk maklumat mengenai jenis bantuan dan kemudahan yang disediakan oleh pelbagai Kementerian dan Agensi untuk memulakan perniagaan. Peserta juga akan mempelajari pelbagai acumen perniagaan termasuk perakaunan asas, pemasaran produk dan perkhidmatan, serta pembentangan idea dan Rancangan Perniagaan (RP) atau business plan.

Fasa Ketiga

Peserta yang melepasi Fasa 1 dan Fasa 2 akan menjalankan perniagaan berdasarkan Rancangan Perniagaan (RP) yang telah dibentangkan kepada Panel Penilai semasa di Fasa 2. Perkembangan perniagaan peserta di Fasa ini akan dibimbing dan dipantau menerusi Sistem Buddy oleh Kaunselor Perniagaan SME Corp. Malaysia. Tempoh bimbingan dan pemantauan ini yang mengambil masa selama 12 bulan bertujuan untuk memastikan TUBErs mendapat khidmat nasihat yang bersesuaian dan mencukupi, supaya perniagaan yang dijalankan akan dapat terus berdaya tahan dan mampan.

 

Bantuan Yang Akan Diterima Peserta Program Tunas Usahawan Belia Bumiputera

Peserta yang layak menyertai Program ini akan menerima bantuan seperti berikut:

  1. Latihan asas untuk menjalankan perniagaan
  2. Layak dipertimbangkan Geran Memulakan Perniagaan sehingga maksimum RM15,000.00 selepas menamatkan latihan
  3. Khidmat nasihat dan pemantauan perniagaan melalui Buddy System oleh Kaunselor Perniagaan selama 12 bulan. Selepas tamat tempoh pemantauan, adalah diharapkan syarikat telah mempunyai asas perniagaan yang kukuh dan boleh mengendalikan perniagaan secara lebih efektif dan cekap; dan
  4. Syarikat yang berjaya di bawah Program ini juga boleh mendapatkan bantuan tambahan yang disediakan oleh agensi Kerajaan seperti SME Corp. Malaysia, MARA, PUNB, SME Bank, Bank Rakyat dan Agro Bank untuk memperkembangkan perniagaan yang dijalankan

Syarat Dan Kelayakan Calon Program Tunas Usahawan Belia Bumiputera

  1. Warganegara Malaysia bertaraf Bumiputera berumur di antara 18 – 30 TAHUN ;
  2. Sekiranya telah mendaftar perniagaan hendaklah kurang dari 12 bulan / Sekiranya belum mendaftar perniagaan, pemohon telah menjalankan perniagaan tidak rasmi sekurang-kurangnya 3 bulan dan tidak melebihi 12 bulan. Perlu lampirkan pembuktian akaun bank perniagaan/ individu yang menunjukkan terdapat aktiviti debit/ kredit melalui pautan yang boleh dimuat turun. (Contoh: Dropbox, Google Drive dan lain-lain)
    • Hanya mengambilkira pendaftaran perniagaan kali pertama. Sekiranya pembaharuan pendaftaran atau pendaftaran kali kedua, maka tarikh perdaftaran baharu/ kali kedua tersebut tidak diambil kira.
    • Bagi graduan institusi pengajian yang telah mendaftarkan perniagaan, tempoh tamat pengajian rasmi mestilah kurang dari 12 bulan. Pemohon perlu lampirkan salinan surat pengesahan tamat belajar melalui pautan yang boleh dimuat turun (Contoh: Dropbox, Google Drive dan lain-lain)
  3. Sihat tubuh badan/ tidak hamil dan komited untuk mengikuti latihan secara dalam talian (8.00 pagi hingga 5.00 petang).
  4. Pemohon tidak pernah disabitkan dengan kesalahan jenayah dan tidak pernah diisytiharkan muflis atau disenaraihitam oleh bank;
    • Pemohon yang sedang berada di dalam proses kebankrapan dan / atau proses tindakan Mahkamah juga tidak layak memohon
  5. Pemohon bukan merupakan keluarga terdekat dengan mana-mana kakitangan SME Corp. Malaysia.
    • Keluarga terdekat merujuk kepada pasangan suami/isteri dan anak-anak.
  6. Bagi pemohon yang merupakan pasangan suami isteri atau adik-beradik, hanya salah seorang sahaja yang layak/ boleh dipertimbangkan menyertai program pada tahun semasa.
    • Hanya salah seorang sahaja daripada pasangan suami/ isteri / adik-beradik untuk setiap pengambilan.
  7. Pemohon tidak bekerja tetap@sementara/ telah diberhentikan kerja sama ada di dalam sektor awam atau sektor swasta;
  8. Pemohon tidak pernah menyertai Program ini sebelumnya (TUBE 1.0 hingga TUBE 8.0, TUBE@PENJANA).
  9. Bagi pemohon yang merupakan pelajar IPT tahun akhir, sekiranya memenuhi kriteria kelayakan permohonan dan diterima mengikuti program, pemohon dikehendaki untuk TIDAK menyambung pelajaran dalam tempoh satu (1) tahun/ dua belas (12) bulan dari tarikh akhir sesi latihan TUBE yang disertai sebagai komitmen kepada Fasa 3 program ini; dan
  10. Keutamaan akan diberikan kepada pemohon yang mempunyai Sijil Kemahiran/ telah diberhentikan kerja, namun mempunyai minat mendalam menjalankan perniagaan sebagai kerjaya.

Pemohon hendaklah MEMENUHI SEMUA kriteria kelayakan yang dinyatakan. Sekiranya didapati bahawa pemohon tidak memenuhi salah satu / mana-mana kriteria dinyatakan di atas, pemohon secara langsung adalah TIDAK LAYAK untuk dipertimbangkan. Sekiranya didapati pemohon mengemukakan maklumat palsu, permohonan akan DIBATALKAN serta merta

 

Peringatan Kepada Calon Yang Memohon

  1. Pemohon mesti membaca serta memahami konsep pelaksanaan Program Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE) serta kriteria kelayakan permohonan sebelum melengkapkan dan mengemukakan permohonan untuk menyertai Program TUBE@PEMERKASA 2022
  2. Permohonan dalam talian akan dibuka mulai 21 sehingga 27 April 2022 (8.00 pagi – 5.00 petang ) sahaja. Permohonan sebelum atau selepas tarikh yang ditetapkan tidak akan diterima dan hanya permohonan yang melalui sistem dalam talian sahaja akan diterima dan diproses.
  3. Permohonan melalui dalam talian hanya boleh dibuat sekali sahaja.
  4. Sila pastikan emel yang digunakan semasa Pendaftaran ID adalah aktif dan sah untuk dihubungi kelak.
  5. Sila lengkapkan semua soalan di setiap Seksyen dengan maklumat yang tepat dan betul sebelum menekan butang “Sah & Hantar”
  6. Sebarang pengemaskinian maklumat tidak boleh dilakukan setelah anda menekan butang “Sah & Hantar”. Urus Setia tidak akan bertanggungjawab sekiranya terdapat kesilapan atau perubahan selepas dihantar secara on-line.
  7. Pemohon diwajibkan untuk mencetak makluman penerimaan permohonan untuk simpanan dan rujukan pada masa akan datang.
  8. Berdasarkan kepada dasar dan prosedur yang diterima pakai, SME Corp. Malaysia berhak untuk meminda, mengganti, membatal atau mengubah mana-mana terma dan syarat permohonan ini pada bila-bila masa tanpa memberi notis terlebih dahulu. Keputusan penilaian permohonan adalah muktamad dan sebarang surat-menyurat atau rayuan TIDAK AKAN DIPERTIMBANGKAN.
  9. Berikut adalah tarikh-tarikh penting Program TUBE@PEMERKASA 2022 (tertakluk kepada pindaan, jika ada):-
    • Permohonan dalam Talian – 21 sehingga 27 April 2022 (8.00 pagi – 5.00 petang ) sahaja
    • Saringan Permohonan – Mei 2022
    • Persediaan Latihan dalam Talian – 14 sehingga 15 Jun 2022
    • Latihan dalam Talian – 16 sehingga 25 Jun 2022 (secara berperingkat)
    • Pelaksanaan Perniagaan & Pemantauan (Fasa 3) – 12 bulan mulai 1 Ogos 2022 sehingga 31 Julai 2023 (mengikut sesi latihan dalam talian)

Cara Mohon

Permohonan program keusahawan ini boleh dibuat secara atas talian melalui pautan https://tube.smecorp.gov.my/

Maklumat Lanjut

Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan mengenai Program Tunas Usahawan Bumiputera (TUBE) 2022 anda boleh hubungi ;

SME Corporation Malaysia
Level 6, SME 1, Block B, Platinum Sentral
Jalan Stesen Sentral 2
Kuala Lumpur Sentral
50470 KUALA LUMPUR
Email: [email protected]
Infoline: 1-300-30-6000

Website : https://tube.smecorp.gov.my/

SHARE DI WHATSAPP ATAU MEDIA SOSIAL:

Sertai Komuniti Kami

Dapatkan UPDATE terkini lebih pantas terus ke emel anda!