Senarai Pemenang AJL 37 (Anugerah Juara Lagu 2023)

Senarai Pemenang AJL 37 : Anugerah Juara Lagu 37 telah sampai pada malam kemuncaknya!

Mengangkat martabat komposer, penulis lirik dan penyanyi, anugerah ini menyaksikan 12 buah lagu berentap untuk merebut gelaran Juara Lagu serta hadiah lumayan berjumlah sehingga RM 100,000.  

Acara anugerah muzik berprestij ini telah dihoskan oleh Jihan Muse dan Sherry Al-Hadad dan telah berlangsung pada 12 Februari 2023, di Axiata Arena, Bukit Jalil.

Rancangan ini juga telah ditayangkan secara langsung di saluran TV3 dan secara online di platform penstriman di Tonton.

AJL 37 diserikan lagi oleh Alha Alfa Cosmetics sebagai penaja utama untuk menghangatkan lagi acara muzik tahunan yang gilang-gemilang ini.

Selain 12 finalis yang berentap, acara ini turut dimeriahkan dengan persembahan istimewa daripada DeFam, Waris, Syamel, Blues Gang, Exists, Kugiran Masdo dan ramai lagi.

Sempena Anugerah Juara Lagu yang baru melabuhkan tirai Ahad lalu, jom kita semak senarai pemenang AJL 37.

Baca Juga : Keputusan Gegar Vaganza 2022 & Juara Konsert Akhir

Senarai Pemenang AJL 37

Senarai Pemenang AJL 37

Lagu Terus Hidup ciptaan serta nyanyian daripada Aina Abdul dinobatkan sebagai juara Anugerah Juara Lagu 37.

Selain itu, Aina Abdul juga terpilih sebagai pemenang Vokal Terbaik menerusi lagu yang sama sekaligus membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM 12,000 berserta trofi.

Tempat kedua pula dirangkul oleh Joe Flizzow dan Sonaone bagi lagu Satu Malam di Temasek. Naib juara membawa pulang hadiah wang tunai RM 50,000 berserta trofi.  

Sementara itu, tempat ketiga pula dimenangi oleh Alif Satar & The Locos yang membawakan lagu Anugerah Terindah ciptaan Alif Star, Shah Shamshiri, Romeo, Tam Cobain dan Efry Arwis.

Pemenang tempat ketiga memenangi hadiah wang tunai RM 30,000 berserta trofi.

Kategori Persembahan Terbaik dimenangi oleh Shiha Zikir yang membawa lagu Irama.

Beliau turut membawa pulang hadiah wang tunai RM 12,000 dan trofi.

Anugerah khas oleh penaja iaitu Penyanyi Pilihan Popular Alha Alfa pula diberikan kepada Khai Bahar yang mendapat undian tertinggi menerusi platform TikTok.

Senarai Pemenang AJL 37

Berikut merupakan senarai penuh pemenang bagi AJL37 :

Juara : Terus Hidup (Aina Abdul)

Tempat Kedua : Satu Malam di Temasek (Joe Flizzow & Sonaone)

Tempat Ketiga : Anugerah Terindah (Alif Satar & The Locos)

Vokal Terbaik : Aina Abdul (Terus Hidup)

Persembahan Terbaik : Irama (Shiha Zikir)

Penyanyi Pilihan Popular Alha Alfa : Khai Bahar

Diketuai oleh Datuk Mokhzani Ismail, barisan juri yang mengadili malam anugerah tersebut merupakan pakar dalam industri muzik iaitu Datuk Acis, LY, Altimet, Noryn Aziz, Jari, Ad Samad, Azlan Abu Hassan, Khir Rahman dan Damian.

Ketua Juri, Datuk Mokhzani turut memuji kebolehan vokal Aina Abdul yang berupaya untuk menyampaikan keseluruhan lagu dengan cemerlang.

Menurut Mokhzani, Terus Hidup bersaing rapat dengan lagu Satu Malam di Temasek bagi kedudukan juara namun persembahan vokal telah menjadi penentu bagi kedua-dua lagu ini.

“Kalau disemak kembali bahagian akhir lagu yang dipersembahkan secara langsung, ada ‘progression chord’ yang boleh ‘menjerat’ Aina.

“Menariknya, bahagian ‘susah’ itu disampaikan Aina dengan baik. Jadi, juri sebulat suara meletakkan Aina sebagai juara AJL 37 tanpa menidakkan kekuatan lagu Semalam Di Temasek yang hadir dalam satu naskhah bersifat luar biasa,” katanya lagi.

Sumber : xtra.com.my

SHARE DI WHATSAPP ATAU MEDIA SOSIAL:

Sertai Komuniti Kami

Dapatkan UPDATE terkini lebih pantas terus ke emel anda!