Sajak Merdeka 2023, Koleksi Contoh Puisi Kenegaraan Terbaik
Kumpulan Sajak Merdeka 2023, Contoh Sajak Merdeka Sekolah Rendah, Sekolah Menegah, & Koleksi Sajak Merdeka Terbaik Usman Awang
Sajak Merdeka 2023
MERDEKA MALAYSIA MADANI
Merdekakah kita?
Andai masih kabur mentafsir perpaduan Langkah yang diatur kadang tak sehaluan Arah yang dituju adakala bertentangan Yakinkah kita?
Sudah benar-benar merdeka di jiwa
Iltizam dan tekad bersatu bersama
Agar Malaysia terus aman, makmur dan sejahtera?
Merdekakah kita?
Andai beza masih dicari dan dikira
Dalam bicara masih ada aku, kau dan dia
Ada jurang tak terlihat tapi ketara
Nampak sama tapi nyata dibeda-beda Inikah yang dikatakan merdeka yang sebenar?
TPr Rosmizawati binti Mohamed Salleh
Bahagian Rancangan Fizikal Negara
Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia)
24 Julai 2023.
Kredit : Bahagian Rancangan Fizikal Negara
KOTA
Duhai bangsaku yang merdeka
Terbang bebas memacu pembangunan nusa Dari serpihan runtuhan kota
Bangkit segar dek keringat para pembela
Dengan hasil muafakat bangsa Biar berbeza ras dan juga norma Biar berbeza pangkat dan juga harta Biar berbeza umur dan juga geliga Seiring menongkah arus masa Sepakat berpadu tenaga
Demi kelestarian kerukunan negara
Duhai bangsaku yang merdeka
Hargailah warisan perjuangan nenek moyang kita Inilah tanah kita, inilah darah kita, inilah janji kita Kerana ini tidak akan ada galang gantinya.
HAIZA WAHIDA BINTI HARON
PLANMalaysia Melaka 26 Julai 2023
Kredit : PLANMalaysia Melaka
Sekolah Rendah & Menengah
Berikut pula antara sajak merdeka popular dan sesuai untuk deklamasi sajak prasekolah, tadika, sekolah rendah mahupun sekolah menengah
SUMPAH ANAK MERDEKA
Aku anak merdeka Bangkit dari persada luka Berdiri megah di pentas wira Inginku tebus maruah bangsa
Terjaga dari ranjang kecewa Berpaksi gagah di panggung perkasa Ingin ku bela nasib bangsa
Harapan nusa dan bangsa Akan kutentang petualang negara Yang tegar membuat angkara
Di hati semangat waja Di dada penuh satria Aku anak merdeka
Tajuk Sajak : Sumpah Anak Merdeka
Karya : Taufiq Ismail
LUAHAN ANAK PERTIWI
Enam dekad sudah berlalu
Tanda telah henti sengsara pilu
Tanah tidak lagi dirobek bertalu-talu
Diganti gema sorakan Stadium Merdeka
Dengan laungan azimat yang sama disahut
Namun sekarang ku dengar ia di cabul
Izhar lah! Kita belum merdeka
Hari ini …
Anak muda telah diracuni
Budaya songsang telah meresap dirohani
Kononnya…inilah gaya terkini
Saksi aku akan bangsaku
Merempit buta mencari penyakit
Fikirnya ramai mengepit?
Berpakaian singkat dan ketat
Fikirnya ramai terpikat?
Gerun jiwaku …
Saat si teruna telah hilang jati diri
Si dara melayang harga diri
Lagu tarian penjajah dihadam satu satu
Puisi warisan langsung kau tertawa
Adat budaya telah diabaikan
Bahasa pula kian pudar keaslian
Perkauman semakin menebal
Rusuhan semakin membedal
Apakah ini sebuah pemikiran mentah
Tindakan musnah
Ternyata …
Luka semalam kembali berdarah
Bila … kita mahu buka mata
Adakah saat Malaysia juga turut hilang dari peta dunia?
Baru lintang pukang tak tentu rasa
Baru terhegeh-hegeh bersatu jiwa
Sudah terlambat wahai saudaraku
Aku sedar …
Luahan ku tidak di peduli
Kerana aku bersuara melalui puisi
Namun, marilah kita teguhkan hati
Dengan rasa cinta yang sejati
Aku rindukan Malaysia pertiwi
Bukan seperti Malaysia Hari ini
Mohon… pulang lah Malaysia ku kembali
Tajuk Sajak: Luahan Anak Pertiwi
Karya : Syahmi Zufayri
Kredit: yayaazura
Koleksi Sajak Merdeka Usman Awang
Nukilan sajak daripada penulis sasterawan negara Usman Awang, antara nukilan yang selalu menjadi pilihan bagi acara deklamasi sajak merdeka di peringkat sekolah, mahu pun peringkat kebangsaan.
Antara sajak merdeka yang popular hasil karya Usman Awang adalah seperti, Tanah Air (Menjelang Kemerdekaan), Jiwa Hamba dan banyak lagi…
TANAH AIR (Menjelang Kemerdekaan)
Engkau Tanah Air
pemilik perut yang berbudi
penampung hujan penyedut sinar mentari
lahirlah anakmu dari semaian petani
Engkau Ibu Murni
dengan jasa abadi
berdetik didenyut nafas kami
kerna kita satu sama dipunyai
Telah kau rasa
segala seperti kami
dalam ngeri perang dadamu dibongkar besi
di mana-mana wajahmu tak pernah mati
Tapi begitu
sejarah hidup zaman berzaman
pernah merangkul pahlawan kemerdekaan
mereka sujud dalam kaku
mohon perlindungan
Bukankah dengan
kasih dan harapan
kau tenggelamkan mereka dalam dakapan
di mana bunga ganti nisan bertaburan
Negara baru
di atas rongga jantungmu
akan tertegak bertapak dalam kebebasan
cinta antara kita wahyu dari Tuhan.
Tajuk Sajak : Tanah Air (Menjelang Kemerdekaan)
Karya : Dato’ Usman Awang (Tongkat Warrant)
JIWA HAMBA
Menung seketika sunyi sejenak kosong di jiwa tak berpenghuni hidup terasa diperbudak-budak hanya suara melambung tinggi
Berpusing roda, beralih masa berbagai neka, hidup di bumi selagi hidup berjiwa hamba pasti tetap terjajah abadi
Kalau hidup ingin merdeka takkan tercapai hanya berkata tetapi cuba maju ke muka melempar jauh jiwa hamba
Ingatan kembali sepatah kata dari ucapan seorang pemuka di atas robohan Kota Melaka kita dirikan jiwa merdeka
Tajuk Sajak : Jiwa Hamba
Karya : Tongkat Warrant (Dato’ Usman Awang)
1948
Kredit : SK Parit 13
MELAYU
Melayu itu orang yang bijaksana
Nakalnya bersulam jenaka
Budi bahasanya tidak terkira
Kurang ajarnya tetap santun
Jika menipu pun masih bersopan
Bila mengampu bijak beralas tangan.
Melayu itu berani jika bersalah
Kecut takut kerana benar,
Janji simpan di perut
Selalu pecah di mulut,
Biar mati adat
Jangan mati anak.
Melayu di tanah Semenanjung luas maknanya:
Jawa itu Melayu, Bugis itu Melayu
Banjar juga disebut Melayu,
Minangkabau memang Melayu,
Keturunan Acheh adalah Melayu,
Jakun dan Sakai asli Melayu,
Arab dan Pakistani, semua Melayu
Mamak dan Malbari serap ke Melayu
Malah mua’alaf bertakrif Melayu
(Setelah disunat anunya itu)
Dalam sejarahnya
Melayu itu pengembara lautan
Melorongkan jalur sejarah zaman
Begitu luas daerah sempadan
Sayangnya kini segala kehilangan
Melayu itu kaya falsafahnya
Kias kata bidal pusaka
Akar budi bersulamkan daya
Gedung akal laut bicara
Malangnya Melayu itu kuat bersorak
Terlalu ghairah pesta temasya
Sedangkan kampung telah tergadai
Sawah sejalur tinggal sejengkal
tanah sebidang mudah terjual
Meski telah memiliki telaga
Tangan masih memegang tali
Sedang orang mencapai timba.
Berbuahlah pisang tiga kali
Melayu itu masih bermimpi
Walaupun sudah mengenal universiti
Masih berdagang di rumah sendiri.
Berkelahi cara Melayu
Menikam dengan pantun
Menyanggah dengan senyum
Marahnya dengan diam
Merendah bukan menyembah
Meninggi bukan melonjak.
Watak Melayu menolak permusuhan
Setia dan sabar tiada sempadan
Tapi jika marah tak nampak telinga
Musuh dicari ke lubang cacing
Tak dapat tanduk telinga dijinjing
Maruah dan agama dihina jangan
Hebat amuknya tak kenal lawan
Berdamai cara Melayu indah sekali
Silaturrahim hati yang murni
Maaf diungkap senantiasa bersahut
Tangan diulur sentiasa bersambut
Luka pun tidak lagi berparut
Baiknya hati Melayu itu tak terbandingkan
Segala yang ada sanggup diberikan
Sehingga tercipta sebuah kiasan:
“Dagang lalu nasi ditanakkan
Suami pulang lapar tak makan
Kera di hutan disusu-susukan
Anak di pangkuan mati kebuluran”
Bagaimanakah Melayu abad dua puluh satu
Masihkan tunduk tersipu-sipu?
Jangan takut melanggar pantang
Jika pantang menghalang kemajuan;
Jangan segan menentang larangan
Jika yakin kepada kebenaran;
Jangan malu mengucapkan keyakinan
Jika percaya kepada keadilan.
Jadilah bangsa yang bijaksana
Memegang tali memegang timba
Memiliki ekonomi mencipta budaya
Menjadi tuan di negara Merdeka “
Tajuk Sajak : MELAYU
Karya : Usman Awang
Dato Usman Awang merupakan sasterawan negara ketiga yang dilantik selepas Kamaludin Muhammad (1981) dan Shahnon Ahmad (1982) pada tahun 1883
Selain mengunakan nama pena Tongkat Warrant, Dato Usman Awang juga memepunyai beberapa nama pena yang lain seperti Adi Jaya, Amir, Atma Jiwa, Manis, Pengarang Muda, Rose Murni, Setiabudi, U.A., Zaini dan lain-lain lagi.
Baca juga :