Nuzul Quran 2023 & Cuti Umum Bagi Negeri Di Malaysia

Tarikh Nuzul Quran 2023 jatuh pada 8 April 2023M bersamaan 17 Ramadan 1444H. Antara negeri yang cuti umum sempena Nuzul Quran 2023 termasuk negeri Selangor,Kuala Lumpur,Putrajaya,Kelantan, Terengganu, Pahang,Perak,Perlis, Pulau Pinang,Wilayah Persekutuan dan Labuan

Bagi umat islam, peristiwa Nuzul Al-Quran merupakan satu peristiwa besar yang bersejarah yang sangat penting hingga ke akhir zaman untuk diingati. Kerana pada peristiwa ini Allah S.W.T telah menurunkan ayat pertama Al-Quran kepada Baginda Rasulullah S.A.W menerusi perantaraan malaikat Jibril.

Ianya berterusan secara berperingkat-peringkat selama 23 tahun hingga menjadi lengkap sebagaimana kitab Al-Quran yang ada pada hari ini. Peristiwa Nuzul Al-Quran berlaku ketika Nabi Muhammad S.A.W berusia 41 tahun iaitu pada malam Jumaat 17 Ramadan, bersamaan dengan tarikh 6 Ogos 610M, sewaktu Baginda sedang beribadat di dalam Gua Hira

Pengertian Nuzul Al-Quran

nuzul quran 2023

Daripada segi bahasa, perkataan ‘Nuzul’ itu bererti menetap di satu tempat atau turun dari tempat yang tinggi. Kata perbuatannya ‘nazala’ (نزل) membawa maksud ‘dia telah turun’ atau ‘dia menjadi tetamu’. Sebenarnya penggunaan istilah Nuzul al-Quran ini secara majaz atau (simbolik) sahaja yang bermaksud pemberitahuan al-Quran. Tujuannya untuk menunjukkan ketinggian al-Quran.

 Secara teknikalnya Nuzul al-Quran bererti penurunan al-Quran dari langit kepada Nabi Allah yang terakhir. Perkataan Nuzul dalam pelbagai wajah sama ada kata nama, kata perbuatan atau lainnya digunakan dalam al-Quran sebanyak lebih kurang 290 kali. Sebagai contoh:

وَأَنْزَلَ مِنَ السَّمَاءِ مَاءً

Maksudnya: “Dia yang telah menurunkan hujan.”

(Surah al-Baqarah:22)

نَزَّلَ عَلَيْكَ الْكِتَابَ بِالْحَقِّ

Maksudnya: “Dialah yang menurunkan Taurat Dan Injil.”

(Surah Ali-Imran:3)

Rujukan Mufti Wilayah Persekutuan

Tujuan Al-Quran diturunkan

 Antara tujuan al-Quran diturunkan ialah untuk tadabbur kandugannya sebagaimana firman Allah SWT:

كِتَابٌ أَنْزَلْنَاهُ إِلَيْكَ مُبَارَكٌ لِيَدَّبَّرُوا آيَاتِهِ وَلِيَتَذَكَّرَ أُولُو الْأَلْبَابِ

Maksudnya: “(Al-Quran ini) sebuah Kitab yang Kami turunkan kepadamu (dan umatmu Wahai Muhammad), -Kitab yang banyak faedah-faedah dan manfaatnya, untuk orang-orang yang berakal sempurna beringat mengambil iktibar.”

(Surah As-Sad: 29)

Syeikh Sya’rawi Rahimuhullah ketika mentafsirkan ayat di atas menghuraikan makna kalimah ‘Mubarak’ iaitu benda yang sedikit tetapi manfaat dan kebaikannya jauh melebihi apa yang digambarkan. Seumpama orang yang bergaji sedikit tetapi kehidupan keluarganya mencukupi. Segala perbelanjaannya dihalakan kepada perkara yang bermanfaat dan berfaedah. Seakan hidup sebagai orang yang kaya.

Persoalannya bagaimanakah Allah SWT memberkati rezeki yang sedikit? Pertamanya Allah memberikan rasa qana’ah (mencukupi) kepada tuannya. Kedua, rezeki yang sedikit itu dibelanjakan kepada perkara yang memberi faedah sahaja. Ramai yang menyangka bahawa rezeki hanya harta. Perlu diingat rezeki juga ialah tidak membelanjakan kepada perkara yang dilarang.

Maksud al-Quran Mubarak ialah ayat-ayatnya punyai keberkatan dari sudut hukum zahir di mana ia mentarbiyahkan jiwa untuk hidup dengan istiqamah. Hakikatnya istiqamah tidak memberi beban walaupun sedikit dan yang membebankan manusia ialah penyelewengan. Kerana itu sabda Rasulullah SAW: “Sesungguhnya orang mukmin makan dengan perut yang satu dan orang kafir makan dengan tujuh perut.”

Ayat Al-Quran Yang Pertama Di Turunkan Kepada Nabi Muhammad S.A.W

Ayat Al-Quran yang mula-mula sekali diturunkan Allah S.W.T kepada Nabi Muhammad S.A.W melalui perantaraan Malaikat Jibril yang berlaku pada peristiwa Nuzul Quran ialah lima ayat pertama daripada Surah Al-Alaq.

Firman Allah سبحانه وتعالى:

بِسْمِ ٱللَّـهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ

ٱقْرَأْ بِٱسْمِ رَبِّكَ ٱلَّذِى خَلَقَ ﴿١﴾ خَلَقَ ٱلْإِنسَـٰنَ مِنْ عَلَقٍ ﴿٢﴾ ٱقْرَأْ وَرَبُّكَ ٱلْأَكْرَمُ ﴿٣﴾ ٱلَّذِى عَلَّمَ بِٱلْقَلَمِ ﴿٤﴾ عَلَّمَ ٱلْإِنسَـٰنَ مَا لَمْ يَعْلَمْ ﴿٥

“Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk), (1) Ia menciptakan manusia dari sebuku darah beku; (2) Bacalah, dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah, – (3) Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan, – (4) Ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya. (5).” [Surah Al-Alaq (96): Ayat 1-5].

Amalan Ketika Nuzul Quran

Tiada amalan khusus ketika nuzul al-quran. Namun adalah di galakan untuk memperbanyakkan dan mengandakan amalan-amalan sunnah yang biasa dilakukan kerana hadirnya Nuzul Al-Quran juga bermakna umat Islam kini dalam pusingan akhir Ramadan bagi memburu Lailatul Qadar. Antaranya ;

Membaca Al Quran

Membaca al-Quran pada bulan Ramadan tidak sama dengan membacanya pada bulan lain kerana hukum membaca al-Quran bukan wajib, tetapi sunat. Namun, apabila dibaca pada bukan Ramadan, ganjarannya ibarat melakukan amalan wajib pada bulan lain.

I’tikaf

Hukum beriktikaf adalah sunnah mu’akkadah (yang sangat dituntut). Ianya disunatkan pada keseluruhan waktu manakala pada sepuluh hari terakhir bulan Ramadhan ia lebih dituntut. Dengan tujuan untuk mengikut petunjuk Nabi S.A.W dan mencari Lailatul Qadr. Rujuk Raudhah al-Thalibin, al-Nawawi (2/389)

Ceramah Nuzul Quran

Kebiasanya masjid-masjid dan surau-surau mengambil peluang ini untuk mengadakan ceramah sempena nuzul quran 2023. Majlis-majlis ilmu juga merupakan satu majlis yang sangat dituntut oleh agama.

Baca juga : Panduan Qiamullail Ringkas (JAKIM)

Senarai Negeri Yang Cuti Umum Nuzul Quran 2023

Bagi umat islam di Malaysia, terdapat negeri yang mengistiharkan hari nuzul quran sebagai cuti umum. Antara negeri-negeri yang mengistiharkan cuti umum sempena nuzul quran ialah ;

  • Selangor
  • Kuala Lumpur
  • Putrajaya
  • Kelantan
  • Terengganu
  • Pahang
  • Perak
  • Perlis
  • Pulau Pinang
  • Wilayah Persekutuan
  • Labuan

Baginda Nabi Muhammad SAW apabila masuk bulan Ramadan, Baginda memperbanyakkan membaca al-Quran bahkan khatam dalam bulan Ramadan.

Sempena sambutan Nuzul Quran 2023 ini marilah kita mengambil ibrah dan pedoman untuk memperbanyakkan bacaan al-quran dan memperbaiki bacaan al-quran dibulan ramadan yang mulia ini, moga-moga ianya dapat meningkatkan amal dan keimanan kita kepada Allah S.W.T

SHARE DI WHATSAPP ATAU MEDIA SOSIAL:

Sertai Komuniti Kami

Dapatkan UPDATE terkini lebih pantas terus ke emel anda!