Niat Puasa Ramadan Harian dan Sebulan (JAKIM)

Niat Puasa Ramadan

Sedar tak sedar, bulan Ramadan kini menjelma lagi. Adakah anda sedang refresh semula cara lafaz niat puasa Ramadan?

Anda tak perlu risau kerana kami akan kongsikan lafaz niat puasa harian dan sebulan sebagai rujukan dan persediaan bagi anda menyempurnakan rukun Islam ketiga pada tahun ini.

Ikuti perkongsian kami untuk ketahui dengan lebih lanjut.

Baca Juga : Kadar Fidyah 2023 Ikut Negeri & Kalkulator Fidyah

Apa Itu Puasa?

Sebelum kita pelajari lafaz niat puasa, ayuh kita kenali erti sebenar puasa terlebih dahulu.

Dari segi bahasa, puasa bermaksud “menahan diri“.

Dari segi istilah syarak pula, puasa bermaksud “menahan diri daripada makan, minum dan perkara-perkara yang membatalkan puasa bermula daripada terbit fajar shadiq sehingga terbenam matahari berserta niat“.

Niat Puasa Ramadan

Lafaz Niat Puasa Ramadan

Lafaz niat puasa harian dan sebulan adalah seperti berikut :

1. Lafaz Niat Puasa Harian di Bulan Ramadhan 

نَوَيْتُ صَوْمَ غَدٍ أَنْ أَدَاءِ فَرْضِ رَمَضَانَ هَذِهِ السَّنَةِ لِلَّهِ تَعَالَى 

Nawaitu Souma Ghadin ‘An Ada-‘i, Fardhi Syahri Ramadhana Hazihis Sanati Lil’lahi Ta’ala 

Maksud: Sahaja aku puasa esok hari pada bulan Ramadhan tahun ini kerana Allah Ta’ala

2. Lafaz Niat Puasa Sebulan di Bulan Ramadhan 

نَوَيْتُ صَوْمَ شَهْرِ رَمَضَانَ كِلِّهِ لِلَّهِ تَعَالَى 

Nawaitu Souma Syahri Ramadhana Kul’lihi Lil’lahi Ta’ala 

Maksud: Sahaja aku berpuasa keseluruhan pada bulan Ramadhan kerana Allah Ta’ala 

Waktu niat berpuasa adalah bermula pada terbenamnya matahari (waktu Maghrib) sehingga terbit fajar sidiq (waktu subuh). Niat puasa boleh dilakukan pada bila-bila masa pada tempoh tersebut.

Sumber: JAKIM

Perlu Niat Puasa Setiap Malam atau Sebulan?

Setiap kali bulan puasa tiba, persoalan tentang niat puasa setiap atau sebulan sering menjadi tanda tanya bagi umat Islam.

Bagi menjelaskan perkara ini, jom kita rujuk pandangan daripada bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Dalam hal ini, para ulama telah terbahagi kepada dua pendapat iaitu :

Boleh Diniatkan Terus Sebulan Berpuasa

Menurut pandangan al- Imam Zufar dan al-Iman Malik, berpadalah bagi seseorang itu untuk berniat sekali sahaja iaitu dengan meniatkan sebulan berpuasa pada awal permulaan niat.

Ianya sepertimana solat yang mana seseorang itu hanya perlu niat dipermulaan solat dan tidak perlu mengulanginya pada rakaat-rakaat yang lain. Begitu juga pendapat mereka bagi puasa yang berturutan seperti puasa kafarah dan juga puasa kafarah bagi had zihar.

Perlu Memperbaharui Niat Pada Setiap Malam

Puasa Ramadan dilihat sebagai ibadah yang bersendiri (mustaqil) tidak terikat antara satu sama lain (dengan hari lain-lainnya). Puasa pada hari berikutnya juga tidak rosak sekiranya pada hari ini rosak atau terjejas.

Tidak seperti solat yang mana sekiranya batal di rakaat pertama, maka batallah keseluruhan solat itu.

Datuk Dr Zulkifli yang juga merupakan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) menyimpulkan bahawa adalah dibolehkan untuk berniat sekaligus untuk berpuasa selama sebulan di permulaan niat.

Maka, tiada masalah untuk melakukannya sebagai langkah berjaga-jaga.

Seseorang itu juga hendaklah berniat pada setiap malam seperti yang disarankan oleh mazhab kita, mazhab Syafi’ie.

Semoga perkongsian ini bermanfaat dan dapat membantu anda mempersiapkan diri dalam melaksanakan puasa di bulan Ramadan.

Dalam kesempatan ini, kami ingin mengucapkan selamat menunaikan ibadah puasa kepada semua.

Semoga kita diberi pengampunan dan rahmah daripada Allah SWT.

Sumber : Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan / JAKIM

SHARE DI WHATSAPP ATAU MEDIA SOSIAL:

Sertai Komuniti Kami

Dapatkan UPDATE terkini lebih pantas terus ke emel anda!