MAVCOM : Cara Buat Tuntutan Pampasan Jika Penerbangan Ditunda / Dibatalkan

Ketahui hak anda, apakah kriteria dan cara buat tuntutan pampasan jika penerbangan anda ditunda atau di batalkan syarikat penerbangan.

Untuk pengetahuan, pengguna boleh membuat tuntutan pampasan sekiranya penerbangan mereka ditunda atau dibatalkan oleh syarikat penerbangan melalui Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM).

MAVCOM merupakan suruhanjaya yang telah ditubuhkan secara rasmi pada 1 Mac 2016 di bawah Akta Suruhanjaya Penerbangan Malaysia 2015 (Akta 771).  Bertanggungjawab untuk mengawal selia perkara ekonomi dan komersial berhubungan dengan industri penerbangan awam di Malaysia.

 

Antara peranan dan fungsi MAVCOM eperti yang dinyatakan di dalam Akta 771 tersebut, merangkumi:

  • mengawal selia perkara ekonomi yang berhubungan dengan industri penerbangan awam;
  • memperuntukkan suatu mekanisme bagi perlindungan pengguna;
  • memperuntukkan suatu mekanisme bagi penyelesaian pertikaian antara penyedia perkhidmatan penerbangan;
  • mentadbir dan menguruskan hak trafik udara; dan
  • menasihati Kerajaan, mentadbir dan menguruskan laluan-laluan di bawah obligasi perkhidmatan awam.

 

Semenjak pembukaan semula sempadan negara, dan syarikat penerbangan mulai rancak semula menerima penumpang, terlalu banyak aduan dan keluhan dapat dilihat di media sosial berkaitan penerbangan lewat dan asyik dijadualkan semula tanpa notis.

 

Keluhan ini memuncak pada musim perayaan hari raya aidilfitri baru-baru ini. Berikutan daripada itu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna, melalui Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) menggesa pengguna yang terjejas untuk mengemukakan aduan mengenai isu penjadualan semula penerbangan

 

MAVCOM ingin menegaskan sekali lagi bahawa hak-hak pengguna penerbangan perlu sentiasa diutamakan oleh syarikat penerbangan. Penyiasatan Suruhanjaya mengenai isu penjadualan semula penerbangan oleh syarikat penerbangan semasa musim perayaan baru-baru ini juga sedang dijalankan.

MAVCOM : 3 Kriteria Tuntutan Pampasan Jika Penerbangan Ditunda atau Batalkan

tuntutan pampasan penerbangan ditunda dibatalkan

 

Jika penerbangan anda ditunda atau dibatalkan, syarikat penerbangan anda berkemungkinan besar perlu menyediakan anda pampasan bagi membantu anda meneruskan perjalanan. Bergantung kepada punca penundaan atau pembatalan, pampasan ini mungkin merangkumi:

  • Makanan, panggilan telefon dan akses internet (bagi penangguhan selama 2 jam atau lebih);
  • Penginapan hotel dan pengangkutan (untuk penangguhan selama 5 jam atau lebih);
  • Pembayaran balik secara penuh atau penerbangan alternatif (jika penerbangan anda dibatalkan).

Baca juga : Super App AirAsia | Check in Melalui Website sudah Tidak Tersedia Anda Perlu Guna Apps Ini

Satu-satunya pengecualian adalah apabila berlakunya suatu “keadaan luar biasa” yang termasuk risiko keselamatan atau cuaca ekstrem, yang mana syarikat penerbangan tidak dapat menjangkanya.

Jika anda berpandangan bahawa anda tidak menerima pampasan sewajarnya, sila kemukakan aduan rasmi kepada syarikat penerbangan tersebut sebelum anda menghubungi MAVCOM.

 

Contoh Dan Situasi Tuntutan Pampasan Penerbangan Ditunda /Batalkan

 

Ilustrasi 1 – Penundaan Penerbangan

Ali telah membeli dua tiket penerbangan berlainan dari Penang ke Kuala Lumpur daripada Syarikat Penerbangan ABC dan dari Kuala Lumpur ke Singapura daripada Syarikat Penerbangan XYZ. Penerbangan beliau dengan Syarikat Penerbangan ABC telah ditunda selama 8 jam. Disebabkan penundaan ini, Ali telah terlepas penerbangan sambungan beliau dengan Syarikat Penerbangan XYZ ke Singapura. Adakah Ali berhak untuk mendapat pampasan dan jagaan bagi penerbangan sambungan beliau ke Singapura?

  • Syarikat Penerbangan ABC hanyalah bertanggungjawab untuk penerbangan Ali dari Penang ke Kuala Lumpur. Oleh kerana penundaan ini lebih daripada 5 jam, Syarikat Penerbangan ABC bertanggungjawab untuk menyediakan Ali dengan yang berikut:
    i. Makanan, panggilan telefon yang terhad dan akses kepada internet (di mana tersedia)
    ii. Penginapan di hotel (di mana pengguna didapati perlu bermalam)
    iii. Pengangkutan antara lapangan terbang dan hotel (di mana perlu);
  • Oleh kerana Ali mempunyai tempahan yang berasingan dengan Syarikat Penerbangan XYZ ke Singapura, Syarikat Penerbangan ABC tidak akan bertanggungjawab ke atas sebarang kos langsung yang berkaitan dengan urusan perjalanan Ali untuk penerbangan sambungan beliau.

 

Ilustrasi 2 – penundaan penerbangan

Hani mempunyai satu tiket penerbangan dari Pulau Pinang ke London dengan transit di Kuala Lumpur dengan Syarikat Penerbangan ABC. Penerbangan beliau dari Pulau Pinang ke Kuala Lumpur telah ditunda selama 3 jam. Akibat daripada itu, dia akan terlepas penerbangan sambungan beliau ke London. Apakah hak Hani sebagai penumpang pesawat?

  • Syarikat Penerbangan ABC bertanggungjawab untuk membawa Hani ke destinasi terakhir beliau (London) kerana dia memegang satu tiket daripada Syarikat Penerbangan ABC dari Pulau Pinang ke London. Oleh kerana kelewatan itu disebabkan oleh Syarikat Penerbangan ABC, ia adalah tanggungjawab Syarikat Penerbangan ABC untuk menempatkan Hani dalam penerbangan seterusnya ke London tanpa sebarang kos tambahan.
  • Sementara itu, Hani juga berhak untuk mendapat makanan, panggilan telefon, akses internet (di mana tersedia) dan penginapan (di mana pengguna didapati perlu bermalam).

 

Ilustrasi 3 – pembatalan penerbangan

Penerbangan Ali dari Kuala Lumpur ke Beijing dengan Syarikat Penerbangan ABC telah dibatalkan. Oleh itu, Syarikat Penerbangan ABC menawarkan samaada penerbangan alternatif pada keesokan hari kerana itu merupakan penerbangan yang tersedia serta-merta, atau bayaran balik sepenuhnya. Ali mendapati bahawa penerbangan alternatif itu tidak bersesuaian dan membuat keputusan untuk membeli tiket lain dengan Syarikat Penerbangan XYZ. Bolehkah Ali meminta Syarikat Penerbangan ABC untuk membayar tiket penerbangan beliau yang telah dibeli dengan Syarikat Penerbangan XYZ?

  • Penjadualan semula penerbangan tidak dapat dielakkan dalam industri penerbangan oleh sebab pelbagai keadaan operasi. Namun, syarikat penerbangan wajib memberi notis yang mencukupi serta menyediakan penerbangan alternatif seawal mungkin atau bayaran balik sepenuhnya kepada penumpang yang terjejas.
  • Dalam kes ini, Syarikat Penerbangan ABC telahpun menawarkan penerbangan alternatif atau bayaran balik sepenuhnya kepada Ali. Syarikat Penerbangan ABC telah menjalankan tanggungjawabnya dan tidak bertanggungjawab untuk membayar tiket yang Ali telah beli dengan Syarikat Penerbangan XYZ.

Untuk keterangan lanjut, sila rujuk kepada Kod Perlindungan Pengguna Penerbangan Malaysia 2016 (MACPC) – Bahagian III, Perenggan 12: Hak Penumpang Pesawat Udara – Kelewatan dan Pembatalan

Cara Buat Aduan Tuntutan Pampasan Kepada MAVCOM

aduan mavcom

Sekiranya anda mengalami penundaan penerbangan atau isu penerbangan lain dan tidak mendapat penjagaan yang sewajarnya, anda boleh menghubungi syarikat penerbangan berkaitan untuk mendapatkan penyelesaian.

Jika penyelesaian yang diterima adalah tidak memuaskan, sila kemukakan aduan anda dengan dokumentasi yang lengkap melalui laman web FlySmart di www.flysmart.my, aplikasi mudah alih FlySmart atau hubungi MAVCOM di talian hotline pengguna kami di 1-800-6966 (dalam Malaysia) untuk bantuan selanjutnya.

 

Butiran dan Dokumentasi Diperlukan

  • Aduan bertulis yang anda telah kemukakan kepada syarikat penerbangan atau lapangan terbang, bersama-sama dengan maklum balas syarikat tersebut;
  • Butiran penerbangan anda, termasuk
  • Nombor penerbangan dan tarikh/masa;
  • Nama lapangan terbang, lokasi dan tarikh; dan
  • Apa-apa bukti lain, seperti salinan tiket/tempahan, salinan imbasan pas masuk pesawat, gambar/ tangkap layar (screenshot), salinan sijil perubatan (jika berkenaan), salinan pasport/kad pengenalan (jika berkenaan), laporan bagasi dll.

Semak Status Aduan / Pampasan MAVCOM

Sekiranya anda telah membuat aduan kepada MAVCOM melalui laman web FlySmart, anda boleh menyemak status kes anda di semakan status

 

Jika anda tidak dapat mengesan atau terlupa nombor rujukan kes, sila e-mel kepada [email protected].

 

Maklumat Lanjut

 

Bagi pengguna yang terjejas dan tidak menerima maklum balas atau tidak berpuas hati dengan penyelesaian yang diberikan oleh penyedia perkhidmatan penerbangan digalakkan untuk mengemukakan aduan kepada MAVCOM melalui laman web FlySmart di www.flysmart.my, atau aplikasi mudah alih FlySmart yang boleh dimuat turun secara percuma di Apple App Store dan Google Play Store. Pengguna juga boleh menghubungi talian pengguna kami di 1800-18-6966 bagi panggilan dalam Malaysia atau +603-7651 2777 bagi panggilan di luar Malaysia

 

SHARE DI WHATSAPP ATAU MEDIA SOSIAL:

Sertai Komuniti Kami

Dapatkan UPDATE terkini lebih pantas terus ke emel anda!