Hari Wesak 2023 (Tarikh & Cuti Umum Malaysia)

TARIKH CUTI HARI WESAK 2023

Hari Wesak adalah tarikh penting dalam kalendar Buddha. Hari tersebut melambangkan Kelahiran, Pencerahan Agung dan Kematian Gautama Buddha.

Di sini kami ingin kongsikan tarikh sambutan Hari Wesak di Malaysia bagi tahun 2023 serta cuti umum bagi setiap negeri.

Sebelum itu, jom kita kenali sedikit latar belakang agama serta budaya di sebalik perayaan ini.

Baca Juga : Pengumuman Hari Raya Aidilfitri 2023 Malaysia – JAKIM

Pengenalan

Tidak kira sama ada penganut adalah daripada aliran Mahayana atau Theravada, mereka akan merayakan Hari Wesak bagi memperingati Siddharta Gautama Buddha yang lahir di Lumbini, Nepal sekitar 563-483 SM.

Perkataan Wesak adalah berasal daripada perkataan Pali iaitu Vesakha. Sementara itu, dalam bahasa Sanskrit, ia disebut sebagai Vaisakha. Vaisakha merujuk kepada nama bulan di dalam kalendar Hindu yang mengisyaratkan masuknya bulan kelima.

Memetik buku The Philosophy of Vesak karya Ven. Dr. Madawela Punnaji, penganut Buddha menyambut perayaan ini bagi memperingati Siddharta Gautama Buddha berpandukan tiga perkara.

Buddha dipercayai lahir pada purnama bulan Vesakha, mendapat pencerahan agung dalam pertapaan dan juga dikatakan meninggal dunia di dalam bulan ini.

Oleh sebab itulah bulan ini dikira sangat penting bagi penganut Buddha untuk memperingatinya.

Hari Wesak

Sejarah memperingati Buddha pada bulan Vesakha bermula selepas kematian Siddharta Gautama Buddha.

Perayaan ini diselaraskan secara rasmi pada persidangan pertama World Fellowship of Buddhists di Sri Lanka pada tahun 1950. Dalam persidangan tersebut, mereka bersepakat untuk meraikan setiap kali purnama dalam bulan Mei.

Di Malaysia, Hari Wesak telah diumumkan sebagai cuti umum berkuatkuasa bermula pada tahun 1962 selepas rayuan dilakukan oleh penganut Buddha kepada kerajaan pada tahun 1961.

Sambutan

Pada hari tersebut, para penganut Buddha akan menziarahi biara dan kuil Buddha pada waktu pagi untuk memberikan penghormatan kepada Buddha.

Khususnya bagi penganut Cina Buddha (Mahayana), mereka akan berarak beramai-ramai sambil membawa seni hias dalam bentuk patung Buddha dan simbol berkaitan Buddha di jalan raya pada malam Wesak.

Antara simbol ikon yang dilambangkan kepada Buddha seperti Pagoda, patung Buddha, pokok Bodhi dan benda peninggalan Buddha.

Para penganut Buddha juga akan melafazkan tiga ucapan perlindungan kepada Buddha, Dhamma dan Sangha yang dikenali sebagai Triratna untuk memperbaharui azam mereka kepada ajaran Buddha.

Pada hari sambutan ini, mereka akan menyediakan hiasan simbol bunga teratai berwarna merah jambu. Ia dikira sebagai tahap tertinggi dan simbolik kesucian seseorang seperti Buddha dan dewa-dewi.

Hari Wesak

Cuti Hari Wesak 2023

Pada tahun ini, Hari Wesak jatuh pada 4 Mei 2023 (Khamis).

Sumber : kabinet.gov.my

Ia merupakan cuti umum bagi semua negeri di Malaysia. Bagi yang berpeluang untuk bercuti atau sambung beraya, anda bolehlah lanjutkan cuti memandangkan 1 Mei pula merupakan cuti Hari Buruh!

Semoga perkongsian ini dapat membantu anda menguruskan cuti serta rutin dengan lebih baik.

SHARE DI WHATSAPP ATAU MEDIA SOSIAL:

Sertai Komuniti Kami

Dapatkan UPDATE terkini lebih pantas terus ke emel anda!