Permohonan Dermasiswa Yayasan Perak Dalam Dan Luar Negara
Pelajar anak Negeri Perak yang ingin melanjutkan pengajian ke peringkat Universiti Awam (UA)/Institut Pengajian Tinggi (IPT) di dalam dan luar negara boleh memohon insentif Dermasiswa Yayasan Perak Dalam Dan Luar Negara.
Dermasiswa Yayasan Perak Dalam Dan Luar Negara ialah bantuan permulaan secara one-off kepada pelajar untuk melanjutkan pengajian ke peringkat UA/IPT di dalam dan luar negara.
Objektif pelaksanaan dermasiswa ini adalah untuk:
- Meringankan beban bakal mahasiswa dan keluarga bagi membuat persediaan sebelum melanjutkan pelajaran ke IPT di dalam dan luar Negara seperti urusan visa, tiket kapal terbang dan penginapan.
- Mengiktiraf kecemerlangan anak Negeri Perak yang berjaya mendapat tawaran melanjutkan pelajaran di Institusi Pengajian Tinggi di dalam dan luar Negara.
- Menunjukkan keprihatinan Kerajaan Negeri Perak kepada kebajikan anak Negeri Perak yang melanjutkan pelajaran di Institusi Pengajian Tinggi di dalam dan luar Negara.
- Melahirkan ikon kepimpinan dalam pelbagai bidang yang akan menjadi sumber rujukan kepada Kerajaan Negeri dan Yayasan Perak.
Permohonan dermasiswa ini boleh dibuat secara atas talian dengan melayari laman web Yayasan Perak di pautan www.yayasanperak.gov.my.
Kadar Pemberian
Kadar pemberian bagi dermasiswa ini ditentukan mengikut peringkat pengajian pelajar.
Untuk mahasiswa Dalam Negara, kadar bantuan yang ditetapkan adalah seperti berikut:
Peringkat Pengajian | Nilai Bantuan (RM) |
Sijil (Termasuk Sijil & Diploma Vokasional) | RM300.00 |
Diploma | RM500.00 |
Ijazah Sarjana Muda | RM1,000.00 |
Ijazah Sarjana (Master) | RM1,500.00 |
Ijazah Doktor Falsafah (PhD) | RM2,000.00 |
Bagi mahasiswa Luar Negara pula, kadar bantuan adalah berbeza mengikut kategori negara iaitu:
Peringkat Pengajian | Kategori A | Kategori B |
Diploma | RM1,500 | RM2,500 |
Ijazah Sarjana Muda | RM3,000 | RM5,000 |
Ijazah Sarjana / Ijazah Doktor Falsafah | RM4,000 | RM6,500 |
Negara di dalam kategori A adalah seperti berikut:
- India
- Pakistan
- Thailand
- Myanmar
- Indonesia
- Laos
- Vietnam
- Mesir
Manakala negara yang di dalam kategori B pula adalah seperti berikut:
- Singapura
- Amerika Syarikat
- Arab Saudi
- Emiriah Arab Bersatu
- Jordan
- Turki
- China
- New Zealand
- Jerman
- Perancis
- Rusia
- Sepanyol
- United Kingdom
- Jepun
Syarat Kelayakan
Syarat kelayakan bagi bantuan dermasiswa dalam negara adalah seperti berikut:
- Permohonan adalah bagi kemasukan pengajian sepenuh dan separuh masa bagi semester pertama di tahun pertama sahaja di peringkat Sijil, Diploma, Ijazah Sarjana Muda, Ijazah Sarjana (Master) dan Ijazah Doktor Falsafah (PhD) ke IPT
- Permohonan bagi Ijazah Sarjana (Master) dan Ijazah Doktor Falsafah (PhD) adalah terbuka kepada pelajar sepenuh masa atau separuh masa serta sama ada yang bekerja atau tidak bekerja.
- Pemohon mestilah anak kelahiran Negeri Perak sama ada:
– Pemohon dan ibu atau bapa lahir di Negeri Perak; atau
– Pemohon dan ibu atau bapa lahir di luar Negeri Perak tetapi telah bermastautin di Negeri Perak lebih daripada 10 tahun; atau
– Pemohon dan ibu atau bapa yang lahir di Negeri Perak tetapi beralamat di luar Negeri Perak dan telah bermastautin di Negeri Perak lebih dari 10 tahun. - Keutamaan diberikan kepada mahasiswa yang masih menetap di Negeri Perak.
- Isi rumah (Ibu dan Bapa) keluarga pemohon mestilah berpendapatan di bawah RM5,000 sebulan sahaja (gaji pokok).
Untuk mahasiswa Luar Negara pula, syarat kelayakan adalah seperti berikut:
- Pemohon mestilah menghantar permohonan sewaktu semester pertama dan tahun pertama pengajian sahaja.
- Pemohon mendapat tawaran melanjutkan pengajian sepenuh masa di peringkat Diploma, Ijazah Sarjana Muda, Ijazah Sarjana (Master) dan Ijazah Doktor Falsafah (PhD) di IPT luar Negara yang diiktiraf oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).
- Mahasiswa yang mengikuti Program Pertukaran Pelajar, Mobiliti Pelajar, Program Berkembar atau Latihan Industri di IPT luar Negara adalah tidak termasuk dalam bantuan ini.
- Pemohon mestilah anak kelahiran Negeri Perak sama ada:
– Pemohon dan ibu atau bapa lahir di Negeri Perak; atau
– Pemohon dan ibu atau bapa lahir di luar Negeri Perak tetapi telah bermastautin di Negeri Perak lebih daripada 10 tahun; atau
– Pemohon dan ibu atau bapa yang lahir di Negeri Perak tetapi beralamat di luar Negeri Perak dan telah bermastautin di Negeri Perak lebih dari 10 tahun.
– Keutamaan diberikan kepada mahasiswa yang masih menetap di Negeri Perak. - Isi rumah (Ibu dan Bapa) keluarga pemohon mestilah berpendapatan di bawah RM5,000 sebulan sahaja (gaji pokok).
Cara Memohon
Mahasiswa yang ingin memohon Dermasiswa Yayasan Perak boleh memohon menerusi langkah-langkah berikut:
- Layari laman web permohonan di pautan http://dsys.com.my/syarat2.php?id=f151d68894e3596d4c646070ce1f3d1ccc50a94a.
- Tandakan pada ‘Saya faham dan bersetuju dengan syarat-syarat berikut’ dan klik butang ‘Permohonan Online.’
- Masukkan no kad pengenalan dan tekan butang ‘OK.’
- Isi semua maklumat yang diperlukan.
- Tekan butang ‘Hantar Permohonan’ untuk menghantar permohonan.
- Cetak borang permohonan tersebut.
- Hantar borang permohonan dan dokumen sokongan perlu dihantar melalui pos/faks/serahan kaunter/Pusat Khidmat DUN dalam masa 1 minggu ke Yayasan Perak di alamat:
Yayasan Perak,
Tingkat 1, Wisma Yayasan Perak,
No.111, Jalan Sultan Idris Shah,
30000 Ipoh, Perak.
Dokumen Sokongan
Dokumen sokongan yang diperlukan bagi permohonan Dermasiswa Yayasan Perak bagi dalam dan luar Negara adalah seperti berikut:
- Salinan surat tawaran terkini (wajib), Salinan Pengesahan Terima atau Tolak Tawaran (jika ada).
- Salinan kad pengenalan mahasiswa, bapa dan ibu yang lahir di Perak/Surat Pengesahan Bermastautin (jika berkaitan)
- Salinan penyata akaun bank pelajar (pemohon)(wajib), Salinan Slip ‘Bank-In’ Yuran Pendaftaran (jika ada).
- Salinan pendapatan (isi rumah) bapa & ibu/penjaga. Sekiranya pesara sila kepilkan salinan penyata pencen bulanan atau jika bekerja sendiri sila dapatkan pengesahan pendapatan daripada Penghulu/Ketua Kampung kawasan masing–masing.
- Salinan Surat kematian atau Surat Bercerai (Jika Berkaitan).
- Borang Permohonan perlu mendapat:
a) Sokongan: Penghulu/Ketua Kampung (Kawasan tempat tinggal di Negeri Perak sahaja)
b) Perakuan: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN)/Wakil Rakyat/Pemimpin Tempatan (kawasan tempat tinggal di Negeri Perak sahaja). - Semua dokumen ini perlu disahkan oleh Wakil Rakyat/Pegawai Kerajaan Kelas A/Penghulu/Ketua Kampung.
Maklumat Lanjut
Sebarang maklumat lanjut, sila hubungi Yayasan Perak di talian 05-255 2929/253 7779 atau emel ke [email protected].