Academy in Industry (AiI) : Syarat & Cara Memohon
Modal insan, tenaga buruh dan bakat merupakan antara aset utama yang menyumbang ke arah pertumbuhan produktiviti negara yang pesat.
Demi menjamin perkembangan ekonomi Malaysia yang lebih dinamik, terdapat keperluan untuk membangun tenaga kerja masa hadapan yang kukuh.
Inisiatif Academy in Industry (AiI) merupakan salah satu program kerjasama inovatif antara pihak Kerajaan, industri dan akademia dalam mendepani cabaran-cabaran yang dihadapi dalam peningkatan bakat.
AiI merupakan program selama 18 bulan di mana peserta akan diterima masuk bekerja sambil belajar di syarikat-syarikat yang terpilih. Melalui AiI, peserta akan menerima gaji yang setimpal dengan kelulusan dan kemahiran.
Objektif Inisiatif AiI ialah untuk:
1. Membangunkan tenaga kerja masa hadapan yang mampan berasaskan permintaan pasaran dan keperluan industri;
2. Merapatkan jurang antara penawaran dan permintaan tenaga kerja;
3. Membangunkan bakat tempatan yang menerima upah yang berpadanan dengan kemahiran;
4. Mengurangkan kebergantungan terhadap pekerja asing; dan
5. Meningkatkan pencapaian pendidikan negara.
Kategori Bakat AiI
1. Lepasan sekolah
Menyediakan laluan kerjaya untuk pekerjaan mahir dan meningkatkan purata tahun persekolahan;
2. TVET dan lepasan universiti
Menyediakan kemahiran semula dan peningkatan kompetensi bagi TVET dan graduan universiti;
3. Kembali bekerja
Memberi peluang kembali bekerja kepada suri rumah, ibu tunggal, penganggur dan pesara; dan
4. Tenaga kerja yang belum diterokai
Tingkatkan kemahiran tenaga kerja orang asli, orang parol, orang kurang upaya (OKU) dan lain-lain.
Syarat Penyertaan Academy in Industry (AiI)
Individu yang berminat untuk menyertai AiI perlu memenuhi syarat seperti berikut:
- Warganegara Malaysia;
- Berusia 18 hingga 40 tahun;
- Mempunyai kemahiran menulis, membaca dan mengira (3M);
- Lulus ujian saringan AiI;
Cara Memohon Program AiI
Untuk menyertai program ini, calon perlu ikuti langkah-langkah berikut :
- Daftar sebagai calon perantis AiI di laman pendaftaran AiI.
- Seterusnya, calon perlu hadir temu duga (secara fizikal atau atas talian)
- Kemudian, calon perlu ikuti ujian saringan Ail (kemahiran membaca, menulis dan mengira). Pergi ke laman web aii.mpc.gov.my untuk ambil ujian ini.
- Peserta yang berjaya akan mendapatkan status penerimaan tawaran dari emel atau panggilan telefon.
- Terima sijil Ail & SKM setelah tamat kerja.
Maklumat Lanjut
Untuk keterangan lanjut mengenai program Academy in Industry (AiI) ini, sila layari laman web aii.mpc.gov.my atau hubungi talian 012-9254820 (Puan Nor Idayuniza Rahmat – Sekretariat).